Friday, December 5, 2014

Semangat Yazit Hidupkan Konsert Search Di Istana Budaya


kemunculan Yazit mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang memenuhi ruang Panggung Sari, Istana Budaya untuk menyaksikan Konsert Search Live in Istana Budaya pada malam Khamis. 
UMUM mengetahui keadaan pemain drum kumpulan Search iaitu Yazit yang uzur akibat penyakit buah pinggang sehingga dia terpaksa menjalani rawatan dialisis sejak beberapa tahun lalu.
Yazit sering tercicir daripada muncul mengadakan persembahan bersama Search ekoran keadaan kesihatannya yang tidak menentu.
Bagaimanapun Amy bersama anggota lain kumpulan itu baru-baru ini mengumumkan dalam satu sidang media bahawa Yazit bakal beraksi bersama mereka pada Konsert Search Live in Istana Budaya yang turut menyaksikan ia persembahan pertama mereka di Panggung Sari.
Membuka tirai persembahan selama empat hari pada malam Khamis, kemunculan Yazit di pentas berprestij itu menggamatkan dewan apabila penonton memberikan tepukan gemuruh dan berdiri sebagai tanda hormat dan gembira atas keberanian lelaki.
Kemantapan vokal Amy memukau pada konsert berkenaan.
Jelas biarpun kesihatannya kelihatan terganggu namun semangat dan minatnya terhadap muzik rock terpancar dan masih belum pudar.
Tampil pada set kedua konsert itu, Yazit memulakan aksinya ketika Amy mendendangkan lagu popular mereka iaitu Kejora sebelum meneruskan persembahan dengan dua lagi buah lagu iaitu Fantasia Bulan Madu dan Isi Dan Kulit.
Biarpun Yazit sepatutnya muncul untuk tiga buah lagu itu sahaja namun dia masih bertenaga untuk meneruskan persembahan menerusi lagu keramat Search iaitu Isabelladan Gadisku.
Peminat turut mengambil peluang itu untuk bersama-sama menyanyikan lagu tersebut sebelum berdiri memberi penghormatan kepada Yazit.
Ia adalah momen indah buat semua peminat tegar kumpulan itu selepas sekian lama tidak melihat Yazit muncul di atas pentas bersama Search.
Search menyampaikan 22 buah lagu pada malam tersebut.
Jelas kehadiran Yazit menghidupkan konsert berkenaan dan untuk menyaksikan sendiri detik tersebut adalah kenangan indah buat semua hadirin pada malam pembukaan itu.
Terdahulu, Search Live in Istana Budaya menyaksikan Amy membuka tirai persembahan dengan Panggung Khayalan dan Balada Pemuzik Jalanan sebelum beralih kepada Kejora Ku Bersatu dan Laila Namamu Teratas.
Amy pada awalnya dilihat bersahaja ketika tampil dipentas sebelum tenaganya mula memuncak pada lagu-lagu seperti Langit dan BumiKau Pergi dan Menuju Puncak.
Pada usia 55 tahun, tenaga Amy barangkali lebih baik daripada sesetengah artis baharu sedia ada dan itu membuatkan Amy dan Search kekal dihati peminat dengan persembahan mengagumkan mereka.
Turut diiringi dengan alunan Cello bagi mengiringi persembahan mereka, persembahan tanpa henti itu diteruskan dengan Honky TongK Kosong dan Pelesit Kota
Selain Amy (vokalis), persembahan itu turut menampilkan Nasir (pemain bes) selain pasangan adik-beradik iaitu Nordin dan Kid masing-masing bermain gitar.
Search Live in Istana Budaya masih berbaki tiga malam persembahan sehingga Ahad ini (7 November) dan tiket untuk menyaksikan persembahan itu boleh didapati di www.ticketpro.com.my. atau kaunter tiket Istana Budaya.
Tiket untuk menyaksikan konset berkenaan dijual pada harga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 (VIP).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: