Saturday, December 6, 2014

Projek robotik pelajar ke Rusia

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.


MEMINATI bidang sains dan kejuruteraan mekanikal sejak daripada kecil menjadi batu loncatan kepada Zahin Arif Saiful, 14, untuk meneroka bidang robotik di peringkat sekolah.
Sejak di tahun enam, dia terpilih untuk mewakili Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ke Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC).
Zahin Arif menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Sasbadi Holdings Berhad (Sasbadi Holdings) itu buat kali ketiga berturut-turut pada tahun ini.
Lebih manis, anak sulung daripada empat orang adik-beradik yang mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kota Kinabalu, Sabah itu membawa sekolahnya ke peringkat antarabangsa apabila terpilih menyertai Pertandingan Robotik Dunia (WRO) 2014 di Sochi, Rusia pada 21 hingga 23 November lalu.
Sebanyak 18 pasukan sedang sibuk mengadakan persiapan terakhir di kem Persediaan Teknikal Kontinjen Malaysia ke WRO 2014 di Pusat Sains Negara, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Zahin Arif yang mewakili pasukan Aramaitee FC, MRSM Kota Kinabalu bersama rakannya, Mohd. Fawwaz Zakwan Mohd. Noor, 15, turut memperkemaskan robot yang bakal berentap dalam kategori Gen II Bola Sepak.
Seramai enam orang pelajar mewakili pasukan Aramaitee FC. Setiap pasukan terbahagi kepada dua orang untuk tiga kategori berbeza.
Zahin Arif memberitahu, kem tersebut merupakan peluang terbaik untuk melihat projek robotik yang dihasilkan oleh sekolah-sekolah lain yang turut terpilih untuk mewakili negara ke Sochi.
“Guru pembimbing Aramaitee FC yang juga jurulatih skuad bola sepak sekolah, Mohd. Shamsul Haq banyak memberi tunjuk ajar mengenai strategi robot kami untuk menjaringkan gol dalam pertandingan sebelum ini.
“Selain strategi, pengaturcaraan sensor robot juga mesti tepat untuk memastikan ia mengesan sensor inframerah pada bola di kawasan gelanggang,” ujarnya ketika ditemui Kosmo!.
Empat kategori

PESERTA menggunakan perisian pengaturcaraan asas, Lego Mindstorm NXT untuk menggerakkan robot mereka.


Seramai 49 orang peserta daripada 18 pasukan menjalani latihan intensif sepanjang kem tersebut sebelum berangkat ke Rusia. WRO 2014 mempertandingkan sebanyak empat kategori iaitu Kategori Regular (biasa), Terbuka dengan tema Robot dan Angkasa, Gen II Bola Sepak dan Kolej.
Kategori Regular, Terbuka dan Gen II Bola Sepak terbahagi kepada tiga acara iaitu sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas. Sebanyak 450 pasukan daripada 52 negara mengambil bahagian pada edisi ke-11 pertandingan WRO itu.
Dalam kategori Gen II Bola Sepak, Zahin Arif dan rakan-rakan sepasukan di Aramaitee FC melakukan persiapan sejak September lalu iaitu sejurus merangkul gelaran juara kebangsaan pada pertandingan RoboFair MRSM.
Baginya, cabaran yang paling utama dalam robotik ialah menghasilkan sistem pengaturcaraan untuk menggerakkan robot. Format kategori Gen II Bola Sepak sama seperti perlawanan sebenar sukan tersebut. Dua buah robot bertindak sebagai penjaga gol dan penyerang digunakan akan mengasak kubu lawan. Pemenang dikira berdasarkan jumlah jaringan.
“Guru pembimbing kami sering mengingatkan bahawa asas robotik tidak tepat dan tidak stabil sepenuhnya kerana ia hanyalah sebuah alat. Kami perlu memperbaiki setiap kelemahan robot menerusi pengaturcaraan terutama bahagian sensor inframerah agar ia lebih cekap mengesan bola di gelanggang.
“Penyertaan dalam pertandingan ini banyak memberi peluang kepada saya untuk mempelajari aspek robotik. Kami diajar perisian bahasa pengaturcaraan asas seperti C++ dan Lego Mindstorm NXT.
“Pelatih dari Sasbadi Holdings berkunjung ke setiap sekolah untuk mengajar dan memantapkan kaedah mengendalikan sistem pengaturcaraan pada robot kami,” ujarnya.
Badan robot yang dibina berteraskan kepingan set permainan Lego yang dicantum itu akan bergerak dengan mengesan sensor yang dipasang pada bola. Situasi itu membolehkan pengaturcaraan menjadikan sistem elektronik robot bergerak lebih laju.

MOHD. SHAMSUL (kanan) sedang menguji kelajuan robot anak-anak murid yang menyertai pasukan Aramaitee FC di atas gelanggang.


Kontinjen Malaysia mempunyai reputasi yang baik pada pertandingan WRO. Dalam tempoh lima tahun lalu, Malaysia telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan sebanyak empat kali.
Pada pertandingan WRO Jakarta, Indonesia tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Sarawak memenangi pingat emas dalam kategori Gen II Bola Sepak.
Selain penglibatan para pelajar dan murid-murid, guru pembimbing turut memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju pasukan robotik sekolah.
Bagi guru pembimbing atau mentor Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China, Georgetown, Pulang Pinang, Chan Huan Zhi, 26, beliau mementingkan komitmen dan disiplin murid-murid setiap kali sesi latihan diadakan.
SJKC Perempuan China terpilih menyertai kategori Regular sekolah rendah dalam acara Roket pada pertandingan WRO 2014 di Sochi. Kategori Regular terbahagi kepada tiga acara iaitu Roket, Sputnik (satelit buatan) dan Stesen Angkasa.
Huan Zhi yang membimbing sekolah berprestasi tinggi itu sejak empat tahun lalu memberitahu, anak-anak muridnya diajar untuk menyelesaikan masalah robotik dalam tempoh masa yang singkat.
Kepemimpinan
“Bagi kategori ini, peserta perlu menyiapkan robot dalam kadar segera mengikut tema yang akan diberi semasa pertandingan kelak. Justeru, saya amat menekankan aspek masa dalam setiap sesi latihan termasuk pada kem ini.
“Pihak sekolah juga menyediakan set robotik yang lengkap untuk kami berlatih dan menyertai pertandingan. Bukan sekadar pengetahuan dalam bidang robotik, murid-murid belajar mengenai aspek kepimpinan dalam kumpulan, terutamanya ketika menyelesaikan masalah,” ujarnya yang membimbing tiga orang murid dari sekolah itu.
Sebanyak 1,500 buah sekolah iaitu 700 sekolah rendah dan 800 sekolah menengah menyertai pertandingan NRC yang dianjurkan bagi memilih pasukan yang layak mewakili negara pada pertandingan WRO. Sebanyak 3,096 buah pasukan dibentuk daripada 1,500 sekolah itu.

KONTINJEN Malaysia diraikan dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang untuk WRO 2014 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Sufa’at Tumin di Pusat Sains Negara baru-baru ini.


Sementara itu, wakil pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor dalam kategori Gen II Bola Sepak, Muhammad Aiman Hafiz Mohd. Nazri, 16, memberitahu, pasukannya bertambah yakin untuk bertanding pada peringkat antarabangsa selepas memenangi acara kebangsaan di Port Dickson, September lalu.
Pada saingan di peringkat kebangsaan, pasukan Gen II Bola Sepak Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi atau Sakti Tigers berjaya menumpaskan juara WRO 2013, SMK Bintulu 6-5.
“Kem Persediaan Teknikal Kontinjen Malaysia ke WRO 2014 merupakan lapangan terbaik untuk kami memantapkan aspek teknikal robotik. Guru pembimbing, Mohd. Ahir Samsuri memberi panduan agar kami mencipta robot dengan alat membawa bola yang besar.
“Selain itu, sistem pengaturcaraan juga telah dipertingkatkan agar robot kami bergerak lebih laju untuk menjaringkan gol. Rekaan robot Sakti Tigers lebih besar agar ia tidak mudah jatuh apabila dirempuh pihak lawan.
Namun, saiznya masih mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera petroleum.
Walaupun sibuk dalam pertandingan robotik peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa, Muhammad Aiman Hafiz tidak pernah mengabaikan pelajarannya.
Pelajar yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu menjelaskan, dia akan memastikan pelajaran dan penyertaannya dalam pertandingan robotik sentiasa seiring tanpa sebarang masalah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: