Wednesday, December 3, 2014

Pengalaman Menarik 'Glamping' Di Tanah Aina Fahad


DESIRAN air terjun, siulan unggas di jalan masuk ke eko resort, Tanah Aina Fahad bukan sahaja menceritakan kisah sebuah hutan segar, namun ia juga menggambarkan sebuah pusat percutian yang bakal memberi ketenangan kepada pengungjung.
Tanah Aina - satu nama yang sudah sinonim dengan pusat percutian dan Tanah Aina Fahad ini merupakan lokasi yang keenam hasil sentuhan pemilik berjiwa alam semulajadi, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Seperti pusat-pusat percutian sebelum ini, Shariffa Sabrina tetap mementingkan ciri-ciri alam semulajadi tanpa memusnahkan khazanahnya.
Tanah Aina Fahad mengambil masa selama setahun untuk disiapkan bagi memastikan konsep dan fokus utama pembinaan dicapai pemilik selepas membelinya daripada seorang penduduk Kampung di Ulu Dong, Raub.
Selain cintakan khazanah alam, pengalaman mengembara ke negara orang mencetuskan idea kepada Shariffa Sabrina yang tidak kekok dengan selok-belok setiap sudut kawasan bagi memastikan konsep perkhemahan atau lebih dikenali dengan ‘glamping’ (glamour camping) mencapai objektifnya.
Lokasi perkhemahan seluas lima ekar atau 12,140 meter persegi itu terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom.
Menurut Shariffa Sabrina, 52, eko resort  yang mempunyai 20 khemah penginapan itu mampu memuatkan 150 pengunjung dalam satu masa.  Ia bukan sahaja sesuai  untuk individu, tetapi turut menerima kumpulan yang ingin menjalani sebarang kursus motivasi (team building)  atau ’family gathering’ .
Paling menarik, khemah yang disediakan mampu memuatkan empat orang dan ianya bukan sekadar khemah biasa kerana dilengkapi dengan katil bujang, kipas, tuala mandi, penyangkut baju dan cermin bagi memastikan keselesaan sepenuhnya kepada pengunjung.
Antara khemah yang disediakan di Tanah Aina Fahad.

Apa yang pengungjung perlu bawa hanyalah barang-barang peribadi sahaja.
“Eko resort ini lain dari lokasi percutian sebelum ini kerana saya mahu pengunjung merasai sendiri kehidupan di hutan semulajadi, sambil menikmati kemudahan yang disediakan,” ujar pemilik Tanah Aina.
Memahami keselesaan yang diperlukan oleh pengunjung, pemilik eko resort tersebut turut menyediakan surau, dewan (dalam proses pembinaan) dan bilik mandi yang boleh disamakan keselesaan dengan bilik mandi di hotel.
Bagi disesuaikan dengan konsep semulajadi pula,  Shariffa Sabrina mementingkan ciri-ciri organik bagi barangan mandian yang disediakan.
Selain itu, Tanah Aina Fahad turut menyediakan kemudahan bagi aktiviti lasak seperti cabaran ‘flying fox’, mengharungi sungai bersih dengan aktiviti ‘tubing’,  menyusuri hutan dara yang penuh dengan  pelbagai tumbuhan semulajadi melalui program ‘jungle tracking’, melawat kehidupan kampung berdekatan, ‘berbecue’, unggun api dan mandi sungai.
Pengalaman berada di sini, memberi seribu satu ketenangan dan membuatkan penulis lupa seketika kepada kehidupan seharian sebelum ini yang sibuk dengan tugasan serta hiruk pikuk di kota raya.
Untuk pengetahuan pembaca, hanya dengan bayaran RM100, pengunjung boleh menikmati percutian selama dua hari satu malam.
Selain Tanah Aina Fahad, terdapat lima lagi lokasi percutian di bawah kendalian Tanah Aina Sdn. Bhd. iaitu Tanah Aina Farrah Soraya (Raub), Tanah Aina Farouq (Mukim Tras, Raub), Tanah Aina Fareena (Bentong), Tanah Aina Farhana (Desaru) dan sebuah Restoran Tanah Aina Azareena di Bentong.
Bagi anda yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Juliet 60 16 6090 493 atau Neni at 010-2265 815 atau email di booking@tanah-aina.com. 


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: