Sunday, December 7, 2014

Nurul Amirah bangkit daripada kesedihan


  • Nurul Amirah menunjukkan antara jubah yang dijual di butiknya.Nurul Amirah menunjukkan antara jubah yang dijual di butiknya.

BANGKIT daripada kesedihan dialami dalam hidupnya dua tahun lalu, Nurul Amirah Mohd Razali, 29, tidak pernah menyangka jalan dipilih untuk menutup rasa kecewa kini menjadi sumber rezeki walaupun pada asalnya dia mahu bergelar pendidik.

Bermula dengan perniagaan atas talian dan mengikuti pesta konvokesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), siapa sangka graduan Sarjana Muda Sains dan Komputer serta Pendidikan (Matematik) itu kini telah berjaya memiliki butik sendiri yang dinamakan SA Bloom hasil usahanya yang tidak putus asa.

Nurul Amirah memberitahu, modal permulaan berjumlah RM600 diberikan suaminya, Azizul Azman, 29, yang mencadangkan supaya dia berniaga atas talian selepas keguguran anak sulung mereka.

“Ketika itu, saya belum bekerja dan temu duga untuk menjadi guru juga saya tolak kerana mahu menyambung pengajian di peringkat sarjana di UTM. Jadi, suami cadangkan saya berniaga daripada terus melayan perasaan sedih.

“Saya mula beli stok jubah cotton terkini daripada Indonesia menerusi ayah saudara yang mempunyai perniagaan di negara jiran dan dimuat naik dalam laman Facebook, namun sedikit hampa kerana tidak mendapat respons. Ketika itu saya sudah mula putus asa dan rasa mahupun pulangkan semula barang-barang itu kepada ayah saudara.

“Tetapi, peluang untuk berniaga dalam satu pameran di UTM telah membuka rezeki saya apabila produk tersebut mendapat sambutan dengan modal tambahan kira-kira RM2,000 daripada dinar emas iaitu hantaran kahwin saya dahulu. Saya nekad sahaja dan syukur rezeki berpihak kepada saya,” katanya.

Nurul Amirah berkata, kemudian peluang memasuki pesta konvokesyen di UTM digunakan sebaik mungkin sebagai medium menarik pelanggan untuk membeli secara dalam talian sekali gus mengukuhkan perniagaannya.

Kemudian, dia berpeluang membuka sebuah kedai di kolej UTM dan dari situ dia mula mengatur strategi untuk melangkah jauh dalam perniagaan ini.

“Syukur empat bulan lalu, dengan modal daripada hasil jualan selama ini, saya kumpul dan buka butik dan turut mendapat sambutan.

“Selain jubah cotton, saya turut mempelbagaikan produk jualan saya dan yang pastinya sesuai untuk mereka yang gemar bergaya sopan serta menutup aurat. Saya turut galakkan rakan lain yang berniaga atas talian untuk letakkan barang jualan mereka di butik ini,” katanya.

Ibu kepada Ayra yang berusia setahun tiga bulan berkata, dorongan suaminya Azizul membawanya sampai ke tahap itu berikutan beliau sentiasa berfikiran positif dalam setiap yang dilakukan selain membantu memberi idea untuk memantapkan perniagaannya walaupun sibuk dengan kerjanya sendiri sebagai pegawai inovasi.

Berpegang kepada prinsip bukan senang untuk senang, rezeki daripada ALLAH SWT dan buat baik kepada semua orang memberitahu insiden pekerja menipu wang jualan sehingga RM4,000 adalah antara cabaran yang dialami selain hampir putus asa di awal pembabitannya dalam dunia perniagaan yang penuh berliku ini.

“Walaupun terdapat banyak butik lain yang turut menawarkan pelbagai fesyen, namun saya anggap itu adalah sebuah persaingan sihat. Kini, saya telah mula menghasilkan tudung dan jubah kanak-kanak sendiri dengan pemilihan material yang sesuai setelah ia dilihat mendapat permintaan.

“Kini saya senang menguruskan perniagaan walaupun pada mulanya saya mahu menjadi guru kepada pada saya perniagaan ini lebih mudah untuk saya uruskan masa bersama keluarga dan menjaga anak sendiri,” katanya yang merancang untuk menghasilkan produk lain atas jenamanya sendiri pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: