Saturday, December 6, 2014

Kombinasi kepakaran KHI



Penganalisis industri dan syarikat pengeluar motosikal global mula memberi tumpuan kepada setiap pergerakan Kawasaki Heavy Industries (KHI) sejak berlangsungnya pameran Tokyo Motor Show 2013 di Jepun.
Semuanya disebabkan KHI ada menayangkan seunit model enjin empat silinder yang diintegrasikan bersama komponen sistem pengecas lampau (supercharger) pada pameran automotif edisi ke-43 itu.
Ia seolah-olah memberi petanda awal bahawa KHI sedang merangka pelan untuk membangunkan sebuah motosikal supercharger.
Spekulasi mengenai pembangunan enjin itu bertiup kencang sehingga ada yang percaya unit rangkaian kuasa itu akan digunakan pada model Ninja ZX-14. KHI masih memilih untuk mendiamkan diri pada waktu itu.
Beberapa bulan lalu, KHI memberi bayangan model motosikal baharunya menerusi laman web www.ninja-h2.com. Sebanyak 21 klip video durasi pendek dipaparkan untuk tontonan umum.
Bertempat di Pameran Antarabangsa Intermot 2014 di Cologne, Jerman, KHI akhirnya memperkenalkan model supercharger itu. Nama motosikal itu ialah Ninja H2R.
Selang sebulan selepas itu, KHI sekali lagi mengejutkan industri motosikal apabila memperkenalkan varian kedua supercharger iaitu Ninja H2 pada Pameran Motor Milan (EICMA) 2014 di Itali.
Kawasaki Ninja H2 dan H2R adalah jentera ikonik KHI. Ia juga merupakan siri motosikal produksi pertama dunia yang dilengkapi komponen pengecas lampau. KHI menetapkan penanda aras baharu dalam segmen motosikal berkuasa tinggi global.
Kedua-dua model motosikal itu membuktikan kemampuan, kepakaran dan kecemerlangan kejuruteraan serta teknologi milik KHI.
Motosikal yang tergolong dalam kelas hypersport itu dicipta dengan adanya perkongsian kepakaran daripada tiga buah subsidiari utama KHI iaitu Aerospace Company, Gas Turbine & Machinery Company dan Corporate
Technology Division.

UNIT ekzos tunggal Ninja H2R sah digunakan di litar-litar lumba sahaja.


Kedua-dua motosikal itu dibina untuk tujuan berbeza. Model Ninja H2R dicipta untuk kegunaan di litar lumba. Kawasaki Ninja H2 pula adalah model yang dihasilkan untuk kegunaan di jalan raya.
Kedua-dua motosikal itu menggunakan unit enjin satu liter yang dibangunkan daripada model ZX-10R. Jurutera KHI mengkaji semula unit rangkaian kuasa itu untuk membolehkan pemasangan pelbagai komponen baharu termasuk komponen pengecas lampau.
Unit pengecas lampau yang ditempatkan di belakang silinder enjin mampu berputar pada kelajuan 130,000 pusingan dalam tempoh seminit dan memampatkan kemasukan udara ke dalam kebuk pembakaran.
Bagaimanapun, kedua-dua motosikal itu mempunyai data kuasa output berbeza. Model H2 berupaya meledakkan kuasa sebanyak 200hp manakala H2R boleh menghamburkan kuasa setinggi 300hp.
Perbezaan kuasa output yang signifikan itu disebabkan faktor talaan enjin berbeza yang melibatkan padanan komponen berbeza termasuk pemetaan semula unit kawalan elektronik Ninja H2R.
Jentera litar itu didatangkan dengan konfigurasi sistem ekzos berbeza dan mampu membantunya mencapai kadar kelajuan sehingga 330 kilometer sejam.
Bagi memastikan motosikal itu kekal stabil pada tunggangan kelajuan tinggi, jurutera KHI memasang dua unit sayap lawi masing-masing pada bahagian kiri dan kanan jentera. Rekaan sayap lawi itu mengaplikasi teknologi aeroangkasa KHI.
Objektifnya adalah untuk memastikan tayar hadapan kekal menyentuh permukaan tar. Selain itu, reka bentuk fairing hadapan kedua-dua motosikal itu menitikberatkan faktor aerodinamik.
Begitu juga dengan cermin pandang sisi Ninja H2, ia juga direka untuk membantu motosikal itu membelah angin sewaktu pecutan kelajuan tinggi.
Kotak gear model H2 dan H2R adalah jenis Dog Ring yang lazimnya digunakan pada jentera perlumbaan MotoGP dan Formula Satu.
Kawasaki Ninja H2 mempunyai tiga mod pemetaan enjin iaitu litar (circuit), jalan raya (street) dan hujan (rain). Model perlumbaan H2R juga dilengkapi tiga mod iaitu dua mod untuk litar dan satu mod jalan raya.

INSTRUMEN meter model H2 dan H2R menggunakan paparan skrin analog digital berwarna.


Aspek kestabilan motosikal sewaktu meredah laluan lurus dan berselekoh ditingkatkan menerusi penggunaan casis jenis trelis ketegaran tinggi.
Sokongan kesimbangan dibantu menerusi sistem fork perlumbaan Kayaba AOS II dan penyerap hentak tunggal Kayaba bersama sambungan Pro-Link pada bahagian belakang motosikal.
Kedua-dua sistem suspensi motosikal H2 dan H2R boleh diselaras mengikut selera penunggang. Tambahan lain diberikan ialah padanan lengan ayun tunggal bersama set rim tempaan khas.
Tugas mengawal pecutan diserahkan kepada set brek cakera kembar bersama angkup jenama Brembo pada roda hadapan. Rim aluminium belakang pula dipasang dengan brek cakera tunggal.
Ergonomik tunggangan motosikal H2 dan H2R adalah sama seperti Ninja ZX-10R tetapi dengan kadar keselesaan yang telah ditingkatkan.
Bahagian belakang pelana tunggal direka untuk membantu menahan punggung penunggang daripada menggelongsor ke belakang apabila pendikit minyak dipulas ke tahap maksimum.
KHI juga menyuntik tiga teknologi bantuan tunggangan iaitu KTRC (Kawasaki Traction Control), KLCM (Kawasaki Launch Control Mode) dan KEBC (Kawasaki Engine Brake Control).
KTRC membantu meningkatkan cengkaman tayar manakala KLCM pula membantu mengelakkan daripada berlaku gelinciran atau tayar hadapan terangkat. KEBC pula mengurangkan tekanan pada unit enjin sewaktu melepaskan pulasan pendikit.
Bagi pasaran tempatan, Kawasaki Malaysia dijangka membawa masuk kedua-dua model itu pada tahun hadapan.
Tag harga anggaran bagi Ninja H2 adalah di bawah paras RM154,000 seunit dan H2R pula dijual pada harga sekitar RM300,000 sebuah. Tempahan untuk siri H2 dan H2R kini dibuka menerusi pengedar-pengedar Kawasaki Malaysia terpilih di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: