Wednesday, December 3, 2014

Kes toreh muka: 'Kejam dooh nih'


  • Mazlan (dua, kanan) menyampaikan buah tangan kepada mangsa yang diwakilkan Lah.Mazlan (dua, kanan) menyampaikan buah tangan kepada mangsa yang diwakilkan Lah.

KOTA BHARU - “Kejam dooh nih (terlalu kejam).” Itu luahan bapa mangsa samun, Lah Hassan, 59, terhadap tindakan ganas perompak yang menoreh muka anaknya, Nur Shafiqa, 22, dalam kejadian di Wakaf Berangan, Sri Aman, Pasir Puteh, Ahad lalu.

Lah berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja dan hanya mengetahui melalui jiran yang menghubungi kira-kira jam 2.15 petang.

“Jiran memberitahu ada dua lelaki menceroboh masuk ke dalam rumah saya dan berkata anak serta isteri, Hat Tema Mat Zin, 58, sudah dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan akibat diserang penjenayah,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim turut melawat mangsa, Hat Tema di hospital berkenaan, manakala Nur Shafiqa pula sudah dibenarkan pulang, hari ini.

Hat Tema turut cedera di kepala, dahi, mata dan bibir dipercayai ditumbuk dan diserang dengan pisau oleh penjenayah.

Lah berkata, dia tidak mengesyaki sesiapa, namun berharap pihak polis dapat mengesan penjenayah berkenaan untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“Perbuatan mereka memang sangat kejam sehingga anak bongsu saya, Nur Shafatini, 18, trauma selepas kejadian itu, namun keadaan dia dan kakaknya kini semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, Mazlan menyifatkan tindakan dua penjenayah terbabit sebagai melampau kerana bukan sahaja bertindak merompak, malah menggunakan kekerasan dengan tanpa perikemanusiaan menoreh muka mangsa.

“Gerakan memburu dua suspek lelaki Melayu yang terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan. Motif sebenar masih dalam siasatan, namun pihak kami percaya mereka memang berniat untuk merompak. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan menyebabkan cedera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: