Friday, December 5, 2014

IM2 Nazrul: Berlakon untuk berdakwah


  • NazrulNazrul

BERGELAR seorang ustaz dan pendakwah tidak menjadi penghalang kepada naib juara Imam Muda musim kedua (IM2), Nazrul Izwan untuk mengejar minatnya terhadap bidang lakonan.

Bagaimanapun, teraju utama drama bersiri Warkah Cinta ini menolak untuk tampil berlakon secara sepenuh masa.

"Saya akui saya minat berlakon. Apabila ada minat barulah 'menjadi' akan sesuatu perkara yang dilakukan.

"Sejak kecil saya minat dengan seni, bahkan di sekolah saya aktif dengan persembahan nasyid dan lakonan.

"Bila ada minat, sedikit sebanyak kerja jadi lebih mudah," katanya kepada Zass.

Biarpun ada yang menyelar keputusannya itu ekoran sentimen negatif terhadap bidang berkenaan, Nazrul bagaimanapun menganggapnya sebagai satu cabaran.

"Ramai memandang dunia lakonan sebagai negatif, jadi atas dasar bertanggungjawab, saya mencuba untuk mengubah persepsi berkenaan.

"Bukan nak kata saya pelakon terbaik, tetapi saya cuba membantu dari sudut berkongsi ilmu melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis.

"Apatah lagi, kini banyak drama berunsur Islamik semakin mendapat tempat di hati penonton," katanya yang berhasrat untuk berlakon filem suatu hari nanti.

Mengakui agak memilih watak, bintang drama bersiri Cikgu Sally ini memberitahu, dia harus menilai sesuatu tawaran dengan teliti terutama jalan cerita, babak serta barisan pelakon supaya tidak bercanggah dengan syariat.

"Saya berlakon atas dasar mahu berdakwah.

"Tiba masanya pendakwah mempamerkan indahnya Islam menerusi lakonan.

"Kerjaya lakonan tidak salah selagi apa yang kita pamerkan itu mengikut syariat," katanya yang turut bergiat aktif dalam teater.

Dalam perkembangan lain, dia sedang menunggu tayangan drama lakonannya Mencari Luqmanul Hakim di RTM, selain baharu saja melancarkan album pertamanya, Warkah Cinta iaitu runut bunyi bagi drama lakonannya di samping tampil berduet dengan IM2 Fakhrul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: