Saturday, December 6, 2014

Hasilkan 2,000 karipap sehari


SELEPAS tiga tahun, Karipap Gedabak sudah mempunyai tujuh cawangan di sekitar Shah Alam dan Klang di Selangor.


“PERSAINGAN dalam kalangan graduan untuk menembus pasaran pekerjaan pada hari ini terlalu tinggi. Disebabkan itu, mereka perlu berfikir ke hadapan agar tidak bergelar penganggur.
“Alam perniagaan dan bergelar usahawan merupakan antara bidang yang boleh mereka ceburi,” saran Muhd. Syukri Shariffhudin, 24, pemilik dan pengusaha jenama Karipap Gedabak yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.
Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang, Klang di Selangor itu terjun dalam dunia pekerjaan sejurus tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan menjadi ejen insurans.
Dua tahun menceburi dunia pekerjaan insurans, dia menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota dalam diploma perniagaan.
Namun, selepas kira-kira setahun, pengajiannya terkandas dek kerana masalah kewangan. Tidak mahu berputus asa dan dibelenggu rasa sesal, Muhd. Syukri memberanikan diri terjun dalam dunia perniagaan bermodalkan dana sebanyak RM1,000.
“Waktu itu saya memang buntu kerana ingin sekali menggenggam segulung diploma. Apatah lagi bidang perniagaan sememangnya jurusan yang saya minat. Namun, saya anggap ia sebagai tiada rezeki,” katanya yang masih ingin menyambung pengajian.
Kali pertama terbabit dalam perniagaan, modal sebanyak RM1,000 itu dilaburkan untuk membeli peralatan seperti payung, meja, dulang dan bahan mentah seperti tepung gandum.

KARIPAP Gedabak turut membuka ruang kepada individu yang mahu menambah pendapatan dengan pakej RM350.


Selama enam bulan berniaga di pasar malam, Muhd. Syukri sering mengalami kerugian. Sungguhpun begitu dia tidak pernah mengalah sebaliknya berusaha menghasilkan makanan yang unik.
Akhirnya dia bersama adiknya, Muhd. Zhafir, 23, memperkenalkan Karipap Gedabak sebesar tapak tangan dewasa.
Sering mengelak melakukan sebarang pinjaman, dia menggunakan wang simpanan peribadi untuk membeli bahan mentah seperti tepung, mentega, daging dan ayam.
Bermula dengan 100 biji karipap berintikan ayam dan daging, ia meningkat secara berperingkat sehingga mencecah 400 biji sehari.
Kini, setelah berumah tangga dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat bulan, Muhd. Syukri tidak lagi aktif berniaga di pasar malam sebaliknya membuka cawangan di sekitar Shah Alam dan Klang di Selangor.
Jika dahulu karipapnya sebesar tapak tangan dewasa dijual pada harga RM2.50 sebiji tetapi kini, ia diolah kepada saiz sederhana.
Sehingga kini, dia mempunyai tujuh cawangan di sekitar Shah Alam seperti Seksyen 7, Puncak Perdana, dan Klang membabitkan penghasilan karipap sehingga 2,000 biji sehari.
Lima jenis inti
Dijual pada harga RM1 sebiji, Karipap Gedabak menyediakan lima inti berbeza. Anehnya Karipap Gedabak tidak menyediakan inti kentang.
“Ramai pelanggan meminta saya menghasilkan karipap berinti kentang. Walaupun permintaan tinggi, saya tidak mahu menanggung risiko.
“Sukar untuk menjaga kesegaran kentang dalam tempoh lama. Disebabkan itu, saya mengolah inti supaya kesegaran inti dan karipap terpelihara,” katanya sambil memantau 14 pekerja di kediamannya di Batu Belah, Klang.
Lima inti tersebut mempunyai peminatnya yang tersendiri dan laris dijual. Ia membabitkan inti sardin, piza, telur dan filet, telur dan ketam serta telur dan sosej. Karipap Gedabak juga bakal memperkenalkan inti makaroni keju.
Dalam sehari, Muhd. Syukri memerlukan 50 kilogram tepung gandum dan 350 biji telur gred A untuk diadun menghasilkan sehingga 2,000 karipap.
Dia sering melakukan lawatan ke setiap cawangan secara mengejut. Dalam lawatan itu, Muhd. Syukri gemar mendapatkan maklum balas daripada pelanggan untuk menambah baik karipapnya.

BAHAN yang segar diperlukan agar kesegaran inti karipap sentiasa terpelihara selain rasa yang enak.


Malah, bagi membantu golongan yang mahu menambah pendapatan, Muhd. Syukri memperkenalkan pakej memulakan perniagaan dengan kos RM350.
Pakej tersebut menawarkan 200 biji karipap, dulang dan kain rentang promosi. Kos selebihnya seperti payung dan meja perlu disediakan sendiri pengusaha.
Berbicara mengenai pelan jangka masa panjang, dia mahu Karipap Gedabak dijual di pasar raya dan runcit dalam produk makanan sejuk beku.
Sebelum mencapai impian itu, dia perlu memastikan jumlah cawangannya bertambah bagi mengumpulkan modal yang cukup untuk beralih kepada perkhidmatan makanan sejuk beku.
“Ada yang berminat untuk menjadikan Karipap Gedabak sebagai perniagaan francais tetapi saya lebih berminat menjalinkan usaha sama dan menghasilkan produk sejuk beku.
“Idola saya dalam industri ini ialah Ramly Burger,” katanya kini sedang mengumpulkan modal membeli sebuah kilang selain menambah jumlah cawangan kepada 15 lokasi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: