Monday, November 24, 2014

Tuah nama 'Merpati Putih'

  • Tuah nama 'Merpati Putih'

PERNAH menggunakan nama pena, Merpati Putih, bagi Asnidar Shafie, 41, gelaran itu nyata membawa tuah buatnya. Akui Asnidar, dengan nama itulah kariernya dalam bidang penulisan semakin menyerlah, sementelah pernah menyandang gelaran juara ketika menyertai pertandingan sajak sekitar 2000. 

"Saya terlibat dalam dunia penulisan buku secara tidak sengaja apabila didesak kenalan rapat.

"Mulanya saya aktif dengan dunia blogging kemudiannya saya semakin teruja menyertai beberapa siri bengkel anjuran Karangkraf. "Dari situlah saya mengenali dunia baharu ini," katanya.

Yakin peluangnya semakin cerah, Asnidar nekad menghasilkan buku pertamanya, Novelog Mimpi Adif, yang dihasilkan khas untuk golongan kanak-kanak. Sejak itu juga dia selesa menggunakan nama sendiri, berbanding nama pena.

Bercerita mengenai karyanya itu, Asnidar menjelaskan hampir kesemuanya berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya yang berlaku di sekeliling masyarakat.

"Saya suka menyelami isu-isu hangat yang berlaku dalam satu masa. Ada juga kisah yang saya petik dari pengalaman hidup sendiri. Sebagai contoh, saya bawakan kisah penyeludupan dan memperdagangkan kanak-kanak dalam Novelog Mimpi Adif.

"Begitu juga dengan isu penyalahgunaan ubat-ubatan yang bertajuk Isabel Nak Kurus, Mak!," kata wanita kelahiran Kedah ini.

Projek 100 Buku

Dalam pada itu, dia turut berkongsi karya baharunya yang akan dilancarkan bermula Januari depan iaitu Projek 100 Buku.

Katanya, projek ini melibatkan 100 tajuk buku cerita kanak-kanak bergambar yang melalui beberapa proses yang sangat rumit.

"Saya mempertaruhkan buku cerita di bawah tajuk, Beluncas Saya! dan Tentera Kutu.

"Sokongan padu daripada semua untuk projek yang harap dapat menggegarkan dunia buku. Nantikan kemunculannya dan doakan kejayaan saya," katanya yang mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk menghasilkan manuskrip.

Kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek ini, boleh mengikuti hashtag projek #100buku atau melayari laman Facebook Unit Teen @Prima & Kids @Prima Grup Buku Karangkraf.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: