Sunday, November 23, 2014

Tinggal emak macam buang kucing tepi jalan


  • Milah membuat laporan polis di Kuala Nerang.Milah membuat laporan polis di Kuala Nerang.

KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal dari Anak Bukit sedih dengan tindakan anaknya yang sanggup meninggalkannya di tepi jalan rumah adiknya di Kampung Padang Nyior, dekat sini, semalam.

Wanita ibu tunggal, hanya mahu dikenali sebagai Milah, 74, berkata, apabila sampai di rumah adiknya itu, anaknya mengeluarkan beg pakaian serta barangannya dari kereta dan terus beredar.

"Saya sedih kerana mereka buang saya macam anak kucing di tepi jalan. Saya sudah 20 tahun tak jumpa dengan adik. Nasib baik rumah itu milik adik saya sendiri.

"Jika tidak, tak tahulah ke mana saya nak pergi.

"Sepatutnya mereka perlu berjumpa dengan adik saya dan memaklumkan tujuan mereka menghantar saya ke rumah itu,” katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Menurutnya, dia pernah tinggal bersama anak bongsunya itu kira-kira tiga bulan lalu, namun kehadirannya itu kurang disenangi.

"Saya tak tahu di mana lagi saya nak tinggal kerana empat-empat anak tak mahu saya tinggal dengan mereka. Ada yang terima, tetapi menantu pula tak suka," katanya.

Sementara itu, adik Milah, Sulaiman, 71, berkata, dia kecewa dengan sikap anak saudaranya yang membuang ibu mereka di tepi jalan.

“Saya terkejut dengan kedatangan Milah. Selepas mendengar rintihannya, saya terharu dan tetap akan menjaganya kerana dia adalah dari darah daging saya.

“Atas permintaan kakak saya, saya akan hantar dia ke pondok untuk belajar agama di Bukit Pinang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: