Friday, November 28, 2014

Senaman tingkat stamina kanak-kanak

Persekitaran, susun atur dan peralatan yang digunakan dalam gimnasium Zac & Zibbo direka khas untuk keselesaan kanak-kanak.


MELIHAT kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun melakukan senaman di gimnasium merupakan satu pemandangan yang pelik bagi sesetengah masyarakat di negara ini.
Pusat kecergasan kebiasaannya sangat sinonim dengan golongan dewasa.
Mengekalkan kondisi tubuh yang cergas dan aktif sangat penting untuk dimulakan daripada usia muda bagi menjamin kesihatan agar sentiasa terjaga rapi apabila menginjak dewasa kelak.
Seorang pelajar yang gemar melakukan aktiviti kecergasan, Carmen Siah Su Fong, 12, mengakui teruja apabila ibu bapa menghantarnya ke pusat kecergasan khusus untuk kanak-kanak di Pusat Gimnasium Kanak-Kanak Zac & Zibbo (Zac & Zibbo) sejak Julai lalu.
Meskipun penat melakukan aktiviti-aktiviti yang menguji stamina, segala usaha yang dilakukan itu berbaloi. Selain dapat meningkatkan stamina, tumpuan pembelajaran di sekolah juga semakin meningkat secara tidak langsung.
“Senaman sangat penting untuk semua orang tidak kira kanak-kanak seperti saya atau orang dewasa kerana ia dapat mengeluarkan peluh dan memastikan tubuh badan sentiasa cergas serta dijauhkan daripada pelbagai penyakit.
“Saya memang suka melakukan aktiviti-aktiviti di sini (Zac & Zibbo) kerana semua jurulatihnya sangat mesra dan suka memberikan tunjuk ajar mengenai cara-cara yang betul untuk melakukan sesuatu senaman serta gerakan bagi mengelak daripada mengalami kecederaan.
“Melakukan senaman di sini juga sangat selesa berbanding di rumah atau taman rekreasi kerana dilengkapi dengan pendingin hawa selain peralatan yang disediakan serba lengkap,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, selain menyihatkan badan, aktiviti tersebut juga dapat mengisi masa lapang pada hujung minggu dan waktu petang selepas tamat sesi persekolahan.
Kurangkan tekanan

Bagi kanak-kanak yang inginkan aktiviti bertenaga dan banyak bergerak, mereka boleh mengikuti kelas tinju dengan iringan muzik rancak.


“Saya sangat berpuas hati apabila dapat bersenam di sini kerana boleh kurangkan tekanan daripada kerja-kerja sekolah yang banyak selain dapat meningkatkan stamina badan,” kata Su Fong yang menyertai kelas tinju dan kardio setiap dua kali seminggu itu.
Menyedari impak positif yang diperoleh daripada aktiviti senaman, seorang ibu, Satwant Kaur, 38, yakin ia sedikit sebanyak mampu memberikan pendidikan secara tidak formal kepada anak-anak mengenai kepentingan penjagaan kesihatan tubuh badan.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini sangat menarik dan saya lihat anak saya juga seronok mengikuti kelas-kelas seperti yoga dan gimnastik.
“Zac & Zibbo ini memang berlainan daripada pusat kecergasan lain kerana semua kelas dan program yang diadakan menggabungkan elemen-elemen seperti penceritaan, muzik dan pembelajaran,” kongsi Penasihat Kewangan sebuah syarikat swasta itu.
Hampir tiga bulan menghantar anaknya ke pusat kecergasan itu, dia berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan kerana menepati ciri-ciri keselamatan.
“Saya tidak perlu bimbang tentang keselamatan anak saya semasa dia melakukan aktiviti di sini kerana saya lihat mereka benar-benar mengambil berat mengenai kanak-kanak dengan menyediakan peralatan yang menepati ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya.
“Selain itu, saya juga dapat memantau anak saya ketika dia sedang melakukan aktiviti bersama rakan-rakannya. Tambahan pula, setiap sesi yang diadakan juga singkat dan tidak membosankan,” ujarnya.
Pusat kecergasan yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini menawarkan empat jenis kelas yang boleh disertai oleh kanak-kanak berusia antara 2 hingga 12 tahun.
Antara kelas senaman menarik yang terdapat di Zac & Zibbo ialah Zac’s Advanture iaitu senaman menggunakan peralatan khusus untuk sesetengah bahagian anggota badan contohnya bahu, kaki, dada dan belakang badan.

Zac & ZIBBO menawarkan empat jenis kelas yang boleh disertai oleh kanak-kanak berusia antara 2 hingga 12 tahun.


“Selain Zac’s Advanture, kami ada menawarkan kelas berbentuk gimnastik iaitu Secret Island yang terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu Cheeky Tumble untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun, Bumble Tumble (4 hingga 6 tahun) dan Blockbuster
(7 hingga 12 tahun).“Kanak-kanak yang inginkan aktiviti lebih bertenaga dan banyak bergerak, kita ada Zibbo’s Kick Boxing iaitu kelas tinju dengan iringan muzik rancak.
“Secara kontranya, kami turut menyediakan Kids Yoga untuk mereka yang lebih gemar aktiviti santai dan menenangkan fikiran,” jelas Pengurus Zac & Zibbo, Fariza Ishak.
Program yang diadakan bukan sahaja dapat menguatkan ketahanan dan stamina anggota badan kanak-kanak tetapi ia juga membantu mengembangkan minda kreatif mereka apabila kelas seperti Zac’s Advanture, Secret Island dan Kids Yoga diadun bersama penceritaan kisah tauladan.
Mengulas lanjut, Fariza memberitahu, kesemua sesi yang dikendalikan tidak bermotifkan persaingan antara peserta sebaliknya dilakukan dalam suasana mesra, bersahaja dan ceria.
Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak masing-masing mereka kerana persekitaran, susun atur dan peralatan yang digunakan dalam gimnasium tersebut direka khas untuk keselesaan golongan tersebut.
“Peralatan yang terdapat di sini agak unik kerana ia sama dengan mesin senaman di gimnasium dewasa tetapi yang membezakannya adalah dari segi saiz dan reka bentuknya sedikit kecil selain mempunyai ciri keselamatan yang tinggi.
“Sebagai contoh, besi pemberat yang terdapat pada mesin senaman kaki, bahu, belakang badan dan dada mempunyai penutup khas supaya tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak semasa mereka melakukan aktiviti.
Kekunci khas
“Mesin kardio juga tidak terlalu laju dan sesuai dengan kemampuan kanak-kanak selain mempunyai kekunci khas yang boleh memberhentikan mesin secara automatik bagi mengelakkan kemalangan,” katanya sambil memberitahu semua peralatan tersebut diimport dari Itali dan mempunyai nama unik tersendiri berdasarkan karakter kartun popular dari negara Eropah tersebut iaitu Tommy dan Oscar.
Bercerita mengenai jurulatih, Fariza menjelaskan kesemua program yang ditawarkan dikendalikan oleh tenaga-tenaga pengajar berpengalaman dan bertauliah.
“Di sini, kami ada empat orang jurulatih sepenuh masa yang bertauliah. Setiap daripada mereka akan dihantar untuk mengikuti kursus khas mengajar kelas kecergasan kanak-kanak daripada pakar di Korea Selatan,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: