Friday, November 28, 2014

Penyanyi cilik yang kekal relevan



EXIST pernah mencipta fenomena menerusi lagu Untukmu Ibu.


TIDAK ramai penyanyi cilik yang berjaya menempa nama sehingga usia dewasa. Namun, di Asia dan Hollywood masih ada penyanyi yang berjaya mengekalkan pengaruh mereka dalam kalangan peminat. Berikut merupakan senarai penyanyi yang masih kekal relevan sejak memulakan karier ketika masih kecil sehingga kini.
Kumpulan Exist
Kumpulan Exist pernah mencetuskan fenomena sekitar tahun 1991 apabila lagu berjudul Untukmu Ibu yang dipetik daripada album pertama mereka, Exist berjaya meraih perhatian ramai,
Lagu yang mendapat sentuhan komposer Rahim Othman dan lirik tulisan Megat Ismail itu juga pernah bertanding dalam Anugerah Juara Lagu pada tahun 1992 bagi kategori rock. Bagaimanapun, Exist tewas di tangan kumpulan Fotografi menerusi lagu Di Alam Fana Cinta.
Exist yang terdiri daripada enam anggota iaitu Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat selaku vokalis, Mohd. Faizal Maas atau Ajai (keyboard), Shah Nizam Abdul Halim atau Shah (Gitar), Azrul Nasir atau Along (Gitar kedua) serta Musa Radhi (Misrad), turut berjaya menjual album pertama mereka itu sebanyak 250,000 unit.
Walaupun kini mereka tidak lagi bergerak dalam satu kumpulan, namun, anggota-anggota asal kumpulan Exist masih lagi berkarya dalam karier pilihan masing-masing.
Ajai masih aktif mencipta lagu sementara Mamat kini sedang mengikuti pertandingan nyanyian Gegar Vaganza yang disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di Astro Maya HD (Astro 135). Selain itu, dia juga baru melancarkan sebuah single duet bersama Ikka Razman berjudul Keluhan Cinta.
Gita Gutawa
Memulakan karier nyanyian seawal usia 14 tahun, namun itu tidak menjadi penghalang buat Aluna Sagita Gutawa atau lebih popular dengan nama pentasnya, Gita Gutawa untuk menjual album pertamanya sebanyak 150,000 unit hanya selepas empat bulan dipasarkan.
Selepas dikenali ramai, anak gadis kepada maestro muzik terkemuka, Eriwn Gutawa itu mula melebarkan sayapnya dalam bidang muzik dengan menyertai beberapa pertandingan bertaraf antarabangsa.
Pada tahun 2008, dia berjaya merangkul gelaran juara bagi penganjuran keenam Festival Antarabangsa Lagu Kanak-Kanak Nile yang diadakan di Kaherah, Mesir.
Mengambil keputusan bersara daripada bidang nyanyian pada tahun 2011 bagi melanjutkan pengajian di Universiti Birmingham dan di London School of Economics and Political Science, United Kingdom, Gita kini kembali mengubati rindu peminatnya menerusi album baharu berjudul The Next Chapter.
Miley Cyrus

ROCHELLE (berdiri paling kanan) memulakan kariernya sebagai penyanyi menerusi kumpulan S Club Juniors.


Penyanyi dan pelakon, Miley Cyrus memulakan karier nyanyiannya seawal usia 14 tahun menerusi rancangan kanak-kanak popular, Hannah Montana.
Memegang dua watak yang berbeza, iaitu Miley dan Hannah, karier nyanyiannya mula meledak ketika lagu runut bunyi rancangan tersebut, See You Again mendapat perhatian dan berjaya menduduki tangga kesepuluh carta Billboard 100.
Sejak itu, Miley terus melebarkan sayapnya dengan menghasilkan tiga buah album solo dan berlakon dalam beberapa buah filem pecah panggung.
Sherina
Sherina Munaf atau Sherina mula melakar karier sebagai penyanyi seawal usia sembilan tahun menerusi album Andai Aku Besar Nanti. Ketika itu juga, dia telah dilamar untuk membintangi sebuah filem muzikal yang pada asalnya berjudul Petualangan Vera dan Elmo.
Selepas album pertama dipasarkan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat, produser filem tersebut, Mira Lesmana, memutuskan untuk mengubah tajuk filem tersebut kepada Petualangan Sherina.
Setelah berjaya mengutip jualan sebanyak 1.4 juta tiket dalam masa enam bulan ditayangkan, sebuah album runut bunyi berjudul sama turut diterbitkan.
Karier Sherina terus bersinar apabila penyanyi yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia itu diberi peluang untuk berduet bersama kumpulan popular dari Ireland, Westlife menerusi lagu I Have A Dream.
Sepanjang 15 tahun bergelar penyanyi, Sherina telah melahirkan empat studio album, lapan album kompilasi, sebuah album mini dan satu album runut bunyi.
Rochelle Humes (The Saturdays
& S Club Juniors)
Bermula sebagai peserta rancangan nyanyian S Club Search, karier Rochelle Humes sebagai penyanyi berkumpulan berkembang ketika berusia 12 tahun apabila tertubuhnya kumpulan kanak-kanak S Club Juniors pada tahun 2001.
Portfolio Rochelle bersama kumpulan S Club Juniors dilihat sungguh memberangsangkan apabila lagu Automatic High dan New Direction masing-masing berjaya terjual sebanyak 110,000 dan 130,000 unit di United Kingdom selepas beberapa minggu dipasarkan.
Selepas lima tahun bersama kumpulan itu, Rochelle mengembangkan langkahnya dalam bidang nyanyian dengan menyertai sebuah uji bakat pencarian kumpulan pop wanita pada tahun 2007 yang dianjurkan oleh syarikat rakaman Polydor.
Setelah berjaya diuji bakat oleh syarikat rakaman tersebut, Rochelle bersama Frankie Bridge, Una Foden, Mollie King dan Vanessa White bergabung membentuk kumpulan The Saturdays sehingga kini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: