Friday, November 28, 2014

Krisis pemuliharaan beruang perang



BERUANG PERANG jantan mampu mencecah berat 350kg manakala beruang betina dengan berat sehingga 200kg.


SEKIRANYA penduduk di sebahagian kawasan di Eropah memasuki hutan, mereka berkemungkinan terserempak dengan beruang.
Di negara-negara yang tidak mempunyai pemangsa besar, mereka pasti tidak berasa selamat melakukan ekplorasi dan aktiviti lasak di dalam hutan. Ia merupakan kesan daripada program pemulihan hidupan liar (rewilding) ke atas beruang perang yang dilaksanakan di sekitar barat Eropah. Bagaimanapun, populasinya di timur benua itu dilaporkan masih stabil.
Sejak akhir-akhir ini, semakin kerap cerita tentang keganasan dan serangan yang dilakukan beruang ke atas haiwan ternakan. Malah, pada bulan Ogos lalu, seorang lelaki di Itali mendakwa telah diserang seekor beruang sehingga ce­dera. Sensasi ‘amukan’ beruang turut didengari sehingga ke South Tyrol, Itali, sebuah kawasan di sekitar pergunu­ngan Alps selepas empat ekor biri-biri mati ditemui mati.
Isteri kepada penternak biri-biri tersebut, Monika Windegger berkongsi kembimbangannya: “Saya memang tidak menyukai beruang kerana bimbangkan keselamatan anak-anak. Berada di luar rumah kini tidak lagi selamat seperti dahulu.”
Beruang jantan yang mencecah berat 350 kilogram (kg) manakala beruang betina sehingga 200kg mampu mengatasi pergerakan manusia dengan mudah. Apabila ia berdiri dengan dua kaki depannya dinaikkan ke atas, ketinggiannya mampu mencapai 2 meter. Sebagai hidupan omnivor, dietnya meliputi buah-buahan seperti beri dan kekacang. Turut menjadi makanan beruang perang ialah haiwan kecil dan besar seperti biri-biri dan anak lembu. Minggu-minggu sebelum berhibernasi, beruang mampu makan sehingga 40kg sehari.
Ladang ternakan
“Beruang merupakan haiwan menakjubkan tetapi ia tidak sesuai tinggal di sini. Dulu ramai orang sering mendaki di sekitar kawasan ini tetapi kerana takutkan beruang, semakin jarang untuk melihat manusia datang ke sini,” dedah seorang pemburu tempatan, Hans Gassebner, 72, yang kini memagar ladang ternakan lebahnya dengan pagar elektrik selepas seekor beruang menceroboh ladang tersebut.
Beruang perang dahulunya terdapat di seluruh utara dan tengah Eropah, Asia, pergunungan utara Afrika dan barat Amerika Utara sehingga ke Mexico. Namun, selepas kehilangan tempat tinggal akibat pene­rokaan hutan dan pemburuan manusia yang mahu mendapatkan bulunya, spesies ini hanya membentuk dua peratus di habitat asalnya dengan jumlah kira-kira 200,000 ekor. Separuh daripadanya ada di Rusia manakala 30,000 ekor lagi di Amerika Utara dan sebanyak 8,000 ekor boleh ditemui di Eropah.
Di utara Itali, sebanyak 10 ekor beruang dari Slovenia dilepaskan ke hutan pada tahun 1999. Sejak itu, populasinya bertambah antara 40 hingga 60 ekor dengan segelintir daripadanya telah berhijrah hingga ke Switzerland, Austria dan Jerman. Bagaimanapun, terdapat sebahagian lain dibunuh manusia.
Antara projek pemuliharaan beruang yang dijalankan termasuklah pemindahan beruang-beruang di Slovenia ke pergunungan Pyrenees yang merentangi sempadan Sepanyol-Perancis dengan populasinya kini dianggarkan sekitar 25 ekor.

PENTERNAK kambing, Herman Alber menunjukkan kambing biri-birinya yang mati kerana diserang beruang perang.


Salah seekor beruang migrasi popular, Balou yang ditaja oleh dua aktor Perancis, Fanny Ardant dan Gerard bagaimanapun ditemui mati awal tahun ini.
Menurut pegawai rasmi di South Tyrol, Andreas Agreiter yang memantau haiwan dan membayar pampasan kepada para peladang dengan bayaran sehingga ¤300 (RM1,247) untuk setiap biri-biri yang mati, penduduk setempat dulu amat menyokong pemuliharaan beruang.
“Beberapa tahun lalu, sebanyak dua pertiga penduduk memberikan sokongan. Namun, kini selepas membaca laporan negatif disiarkan media, ia menjadi sebaliknya apabila dua pertiga penduduk menentang,” luah Agreiter di pejabatnya di Bolzano.
Kumpulan penyokong menegaskan bahawa sebagai salah satu spesies istimewa, pemangsa besar seperti beruang perang memainkan peranan penting dalam ekosistem, yang sebenarnya menyumbangkan banyak faedah. Contohnya seperti di Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat yang menyaksikan projek pembiakan serigala pada sekitar 1990-an. Projek tersebut telah menyebabkan rusa dan pemangsa lain mengelak daripada muncul di tempat terbuka. Situasi itu sekali gus menggalakkan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan yang dimakan rusa, malah menyuburkan tanah dan memperlahankan hakisan oleh laluan air.
Populasi
Dalam konteks beruang, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjelaskan, ia memainkan peranan pen­ting dalam menstabilkan populasi haiwan lain, malah penyuraian benih daripada najisnya juga diperlukan. Bagi Agreiter, media dan ahli politik sengaja memperbesarkan masalah tersebut berbanding melihatnya daripada perspektif berbeza. Maklumat kepada orang awam juga mesti diperbetulkan.
“Dalam tempoh sedekad lalu, kami menerima 11 kes melibatkan beruang menghampiri manusia. Namun, ia tidak bermakna ia menyerang manusia. Berdasarkan statistik, lebih ramai pendaki tercedera akibat terjatuh dari tebing, dilanggar kereta atau diserang anjing pengawal,” kongsi Agreiter.
Selain itu, di utara dan tenggara Eropah, populasi beruang masih tinggi iaitu 400 hingga 500 ekor di Slovania. Di Bulgaria dan Romania, pelancong akan dibawa melihat lokasi tumpuan beruang dan serigala.
“Pada pendapat saya, ia adalah satu tragedi sekiranya kita gagal menemukan solusi untuk hidup bersama beruang,” ulas seorang pencinta alam semula jadi Britain, George Monblot.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: