Sunday, November 23, 2014

Klinik Sosial bantu komuniti Desa Mentari




TIGA orang kanak-kanak itu melompat keriangan tatkala melihat susuk tubuh Lee Hock Heng memasuki pekarangan flat Desa Mentari di Petaling Jaya, Selangor.
Mereka berlari-lari anak meluru masuk ke Klinik Sosial yang terletak di tingkat bawah blok 10 flat berkenaan.
Masing-masing mengambil tempat di dalam ruang yang disusun atur seperti bilik darjah itu dan mula menyalin tugasan yang diberikan guru mata pelajaran Bahasa Ing­geris tersebut.
Riak ceria bercampur teruja jelas tergambar pada wajah comel mereka biarpun secara lahiriah keadaan flat di kawasan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) itu kelihatan tidak terurus dan sesak sehingga gagal mencetuskan suasana pembe­lajaran yang harmoni.
Namun, bagi Hock Heng yang juga bekas jurutera perisian serta pensyarah di sebuah kolej swasta di ibu negara, kekurangan itu tidak menjadi masalah buat dirinya, malah dia menganggap penduduk di flat itu lebih bertuah lantaran nasib mereka mendapat perhatian sehingga wujudnya Klinik Sosial.
Lahir dan dibesarkan dalam keluarga miskin di Teluk Intan, Perak, lelaki berusia 56 tahun itu berkata, dia melakukan kerja sukarelawan bersama Klinik Sosial sejak awal tahun ini bagi membantu golongan kanak-kanak miskin di kawasan itu untuk berjaya dalam pelajaran sekali gus mengubah nasib ke­luarga mereka.
“Saya juga bukanlah datang dari keluarga yang senang. Perjalanan hidup kanak-kanak di sini mengingatkan tentang diri saya suatu ketika dahulu yang terpaksa menolong datuk menjual gula-gula bagi menyara kehidup­an. Jadi saya faham apa yang dilalui mereka dan sebab itu saya tergerak hati untuk membantu de­ngan menjalankan kelas tuisyen,” ujarnya tersenyum.
Keazaman belajar
Hock Heng memberi­tahu, mendidik kanak-kanak di situ menuntut kesabaran yang lebih tinggi selain memerlukan pendekatan berbeza memandangkan ada dalam kalangan pelajar yang buta huruf dan lambat dalam meng­uasai satu-satu mata pelajaran.
“Jumlah pelajar di sini tidak menentu. Kadangkala ramai dan ada masanya sedikit sahaja yang datang.
“Jujur saya sendiri pernah berasa putus asa apabila melihat kedatangan yang sedikit sebegini, namun apabila melihat keazaman mereka untuk belajar, saya kuatkan semangat untuk mendidik anak-anak ini,” katanya.
Berbeza dengan Hock Heng, Nurfatin Anera Alias, 21, akan menaiki komuter dari stesen Pantai Dalam ke stesen Seri Setia pada setiap hari Ahad untuk mengajar kelas agama kepada kanak-kanak di flat tersebut.
Biarpun jadual kelasnya agak padat, tiada apa yang menghalang penuntut jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor itu daripada menjalani rutin hari minggunya.

PROGRAM pemeriksaan kesihatan merupakan antara aktiviti anjuran Klinik Sosial untuk komuniti Desa Mentari.


Menurut anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu, dia mula menjadi sukarelawan Klinik Sosial kira-kira tiga ming­gu yang lalu selepas terlihat iklan mengenainya di laman sosial Facebook.
“Pada hari pertama saya tiba di sini, saya terkejut apabila melihat hanya ada tiga orang pelajar di sini. Biarpun hanya berbekalkan sebuah buku latihan dan sebatang pensel, mereka sangat teruja untuk belajar.
“Saya terfikir kalau mereka sanggup datang setiap minggu untuk mengikuti kelas ini, masakan saya tidak boleh berkorban masa dan tenaga untuk me­nyalurkan ilmu serta kebaikan kepada mereka,” katanya yang menyediakan khidmat bim­bingan mengaji dan Iqra’ selain mengajar subjek Pendidikan Islam kepada golongan kanak-kanak supaya mereka dapat mempelajari asas agama Islam dengan baik.
Bagi seorang pelajar, Irfan Idraki Abdul Jamal, 11, dia sangat gembira setiap kali mengikuti kelas tambahan itu lebih-lebih lagi ia dijalankan secara percuma.
“Saya dapat memahami pelajaran yang diajar di sekolah de­ngan lebih baik selepas mengikuti kelas tuisyen ini. Selain itu, saya dapat memanfaatkan hari minggu dengan perkara berfaedah,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis apabila dewasa kelak.
Kelas bimbingan Bahasa Inggeris dan kelas mengaji itu adalah sebahagian daripada aktiviti anjuran Klinik Sosial sejak ia ditubuhkan oleh organisasi bukan kerajaan, Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM) pada November 2009.
Selain di blok 10, kelas tui­syen juga turut dijalankan di blok 4 dan 5 flat Desa Mentari, Kampung Lindungan serta Kampung Minangkabau dengan bantuan sukarelawan dari UIAM.
Di samping itu, Klinik Sosial yang bertindak sebagai pusat sehenti itu turut menjalankan aktiviti lain seperti gotong-royong, senamrobik, pemeriksaan kesihatan selain menyediakan khid­mat nasihat undang-undang keluarga secara percuma tanpa perlu mendapat khidmat guaman daripada pihak mahkamah.

KELAS bimbingan agama anjuran Klinik Sosial dapat membantu golongan kanak-kanak mempelajari asas agama Islam dengan baik.


Hubungan etnik
Pengarah Klinik Sosial PPPM, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, tujuan penubuhan klinik itu adalah bagi meningkatkan perpa­duan kaum dan mengeratkan hu­bungan etnik menerusi pelbagai aktiviti supaya masyarakat dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Cerita beliau, idea untuk menubuhkan Klinik Sosial timbul selepas dia mengunjungi kawasan perumahan flat Desa Mentari bagi mengumpul maklumat untuk salah satu projek penyelidikannya.
“Agak sedih apabila melihat konflik hubungan etnik di sini meskipun kawasan kejiranan ini dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, masalah kemiskinan yang membelenggu majoriti penduduk menjadikan persekitaran lebih tegang dan bermasalah,” katanya sambil memberitahu, komposisi penduduk di flat Desa Mentari adalah terdiri daripada 60 peratus berketurunan Melayu dan ba­kinya kaum India dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 40,000 orang.
Sebahagian besar penduduknya berasal dari Kampung Medan dan Kampung Gandhi yang dipindahkan selepas kes pergaduhan antara kumpulan masyarakat India dan Melayu di kedua-dua kampung terbabit pada bulan Mac 2001.
Menurut Fatimah, kunci untuk mewujudkan komuniti yang sihat dan berjaya adalah menerusi pendidikan, interaksi positif dan persekitaran hidup yang bersih.
Beliau yang juga Presiden PPPM berpendapat, kelas tu­­i­syen misalnya, dapat membantu golongan ibu bapa yang tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tambahan.
“Kadar buta huruf dalam kalangan pelajar di kawasan ini agak tinggi. Apabila kanak-kanak tidak boleh membaca dan menulis, mereka akan hilang minat untuk belajar.
“Ini akan menyebabkan pe­luang untuk ke peringkat pengajian lebih tinggi terbantut sekali gus mengakibatkan pilihan kerjaya agak terhad. Justeru, kami amat menitikberatkan aspek pendidikan kerana ia adalah kunci untuk mengubah nasib diri dan keluarga,” jelasnya.
Ujar Fatimah, sejak klinik itu dibuka, ia telah memupuk kerjasama yang lebih baik antara kaum khususnya dalam ka­langan masyarakat Melayu dan India yang hidup di kawasan kejiranan itu.
Pun begitu, beliau berkata, lebih banyak usaha diperlukan untuk mengukuhkan hubungan masyarakat di kawasan tersebut agar integrasi nasional dapat direalisasikan sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: