Friday, November 28, 2014

Kehamilan berakhir dengan pengguguran

KLINIK swasta di Hanoi menyediakan perkhidmatan menggugurkan bayi secara terbuka di premis mereka.


NGUYEN Van Thao, membuka peti sejuk untuk mengeluarkan sebuah beg di sebuah tanah perkuburan kecil di Hanoi, Vietnam. Beg yang mengandungi janin itu telah siap dibungkus rapi untuk pengebumian.
Situasi di tanah perkuburan itu merupakan satu peringatan serius bahawa Vietnam merupakan sebuah negara dengan kadar pengguguran paling tinggi di dunia.
Menurut laporan daripada seorang doktor Hospital Obstetrik Sentral Hanoi, dianggarkan 40 peratus kehamilan di negara itu berakhir dengan pengguguran.
Jumlah itu pada asalnya dua kali ganda kadar yang diberikan oleh statistik rasmi.
Banyak faktor yang menyebabkan wanita Vietnam memilih untuk menggugurkan bayi sebagai langkah mencegah kehamilan antaranya ialah kuota melahirkan anak, nasihat perancangan keluarga yang lemah dan konflik dalam penyampaian mesej mengenai hubungan seks.
Janin
Sebuah kumpulan kesihatan seksual tanpa keuntungan, Institut Alan Guttmacher yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, dianggarkan sebanyak 83 kes pengguguran bayi dalam jumlah 1,000 wanita yang telah akil baligh di Vietnam.
Vietnam mencatatkan jumlah yang tinggi jika dibandingkan dengan negara Eropah dan AS dengan catatan antara 10 hingga 23 kes pengguguran bayi dalam 1,000 wanita.
“Kami pernah menerima sebanyak 30 janin sehari. Ia merupakan hari yang sibuk,” ujar Van Thao sebagai ketua pasukan sukarelawan Kristian Katolik yang mengumpul janin untuk dilupuskan sebagai sisa perubatan daripada klinik pengguguran bayi di Hanoi sejak sedekad lalu.
Cerita Nguyen Thi Quy, 62, dia sudah lupa jumlah janin yang telah dikebumikan di tanah perkuburan itu. Thi Quv turut membantu Van Thao menguruskan janin sebelum menanamnya di tanah perkuburan daerah Soc Son.
Sejak berdekad lalu, komunis di Vietnam menguatkuasakan polisi dua orang anak setiap keluarga. Ia merupakan campuran penalti dalam pentadbiran dan perancangan subsidi keluarga untuk mengehadkan pertumbuhan penduduk. Walaupun polisi itu telah lama dimansuhkan, ia masih diamalkan sehingga kini.
Pengguguran bayi tidak pernah menjadi pantang larang sosial di negara itu. Kadar rasmi 500,000 kes pengguguran bayi bagi 2.4 juta kehamilan daripada prosedur klinik diuruskan oleh pihak kerajaan.
“Anak-anak muda yang terlibat dalam hubungan seksual ternyata mempunyai masalah. Sistem kesihatan awam tidak menjurus kepada mereka,” ujar Arthur Erken selaku wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNFPA) di Hanoi.
Pakar memberitahu, perlakuan seksual dalam kalangan golongan muda di Vietnam berubah secara drastik sejak beberapa dekad lalu. Mereka melakukan hubungan seks pada peringkat awal dan kemudian berkahwin.
Tetapi bagi keluarga yang mengamalkan tradisi terdahulu, mereka akan memberi nasihat atau langkah pencegahan kehamilan kepada anak muda dan pasangan belum berkahwin.
Kesannya, mereka mengesyaki bahawa pengguguran bayi dibenarkan bermula usia janin 22 minggu dan boleh dilakukan secara meluas terutamanya di klinik swasta.
“Tiada kaedah semakan yang sistematik di klinik swasta dan ia menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pengguguran bayi di negara ini,” ujar Erken.
Hubungan seks

VAN Thao menunjukkan janin yang disimpan di dalam peti sejuk sebelum dikebumikan.


Tambahnya, jumlah tidak rasmi sebanyak 500,000 kes pengguguran bayi di negara itu mungkin akan bertambah sehingga mencecah angka satu juta dalam 2.4 juta kehamilan sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan dilakukan.
Tiada pendidikan mengenai seks di sekolah, kekurangan maklumat mengenai kesihatan kandungan dan tidak mempunyai akses perkhidmatan perancangan keluarga secara percuma dalam kalangan golongan muda menjadi penyebab utama kehamilan yang tidak diingini.
“Saya telah melakukan pengguguran bayi sebanyak tiga kali. Saya agak cemas ketika pertama kali melakukannya. Kini, saya sudah tahu keadaannya,” ujar remaja wanita berusia 20 tahun yang hanya dikenali sebagai Hoa selepas melakukan pengguguran bayi kali ketiga di sebuah klinik swasta di Hanoi.
Jelasnya, dia telah mengambil langkah berjaga-jaga semasa melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya tetapi masih mengandung.
Wakil organisasi perancangan keluarga Pathfinder International di Hanoi, Le Ngic Bao memberitahu, ramai golongan muda di Vietnam tidak mempunyai pengetahuan aspek pencegahan hamil.
Di samping itu, masyarakat lebih berfikiran terbuka dan mereka tidak kisah sekiranya melahirkan anak luar nikah.
“Sekiranya mereka mengandung anak luar nikah, jalan keluar hanyalah dengan pengguguran bayi,” jelasnya.
Ramai golongan muda tidak memahami kesan negatif dan akibat sekiranya melakukan pengguguran bayi. Kos membeli kondom atau pil pencegahan mungkin dianggap mahal daripada risiko yang bakal dihadapi sekiranya tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
Pencegahan
Ngic Bao menambah, kadar pengguguran bayi yang tinggi di Vietnam semakin meningkat walaupun statistik mengenai langkah pencegahan kehamilan telah meluas.
Sesi kaunseling yang diberikan selepas pengguguran bayi amat terhad di klinik-klinik swasta dan kerajaan. Disebabkan itu, kebanyakan wanita muda berulang kali memilih untuk menggugurkan bayi.
Menurut seorang doktor di Persatuan Perancangan Keluarga Vietnam, Dr. Tran Ninh, negara itu perlu meningkatkan aspek pendidikan seksual dan langkah pencegahan kehamilan kepada wanita muda yang belum berkahwin.
Dalam pada itu, polisi dua orang anak dalam keluarga tidak seperti di China yang hanya membenarkan seorang anak sejak sekian lama.
“Jika mempunyai tiga orang anak, mereka akan menghadapi masalah besar dalam karier. Mereka tidak akan dinaikkan pangkat dan gaji, “ ujar Giang Dang yang merupakan seorang pakar Pusat Sokongan Komuniti dan Pengajian Pembangunan.

ANTARA peralatan yang digunakan untuk prosedur menggugurkan bayi. – Gambar hiasan


Tambah Dang, idea sebuah keluarga dengan dua orang anak umpama telah sebati dalam masyarakat di negara itu walaupun ia telah dimansuhkan secara rasmi. Namun, pegawai tempatan di negara itu masih mempraktikkan polisi itu dan menganggap akan menanggung dosa sekiranya tidak mengawal pertumbuhan penduduk.
Kebanyakan ibu bapa juga memilih anak lelaki jika diberi pilihan dan ia menjadi satu budaya di negara itu. Keadaan itu juga memberi sumbangan kepada kadar pemilihan jantina sewaktu melakukan pengguguran bayi di beberapa kawasan di negara itu.
Dalam usaha untuk mengelakkan perbuatan itu, kerajaan Vietnam telah mengharamkan kakitangan perubatan mendedahkan jantina bayi sebelum dilahirkan. Namun, ramai pakar memberitahu, undang-undang itu amat sukar untuk dikuatkuasakan dan ia juga tidak dijalankan di klinik-klinik swasta.
Jelas Erken, kesan daripada kadar pengguguran yang tinggi dan perancangan keluarga dengan mengehadkan jumlah anak menjadikan Vietnam bakal berdepan risiko populasi penuaan penduduk terpantas di dunia.
“Masyarakat akan memberi tekanan terhadap keadaan itu terutamanya aspek pembaharuan skim pencen yang pastinya di luar kawalan,” ujarnya. Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Urologi Hospital Pantai Ampang, Selangor, Dr. Suhaimi Isa memberitahu, sekiranya wanita mengambil langkah pencegahan kehamilan dengan betul, kemungkinan untuk mengandung amat tipis.
Kesan sampingan
Jelas beliau, jika wanita masih mengandung, mungkin langkah pencegahan kehamilan seperti pil dan suntikan yang digunakan tidak sesuai dengan mereka.
“Kebanyakan wanita menyalahkan penggunaan pil dan suntikan sekiranya mereka mengandung. Mereka seharusnya mengambil pil dan ubat yang sesuai mengikut nasihat doktor. Pil dan suntikan bukan boleh diambil dengan sewenang-wenangnya.
“Seperti di AS dan Eropah, pendidikan seks telah didedahkan sejak kecil. Mengikut budaya di sana, masyarakat boleh membeli pil perancang keluarga dan bertemu dengan doktor secara terbuka. Kaedah perancangan keluarga yang berkesan memberi implikasi kepada pengurangan kadar pengguguran bayi,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Ketika ditanya mengenai kesan pengguguran bayi dalam kalangan wanita, Suhaimi memberitahu, pengguguran boleh memberi kesan pada pangkal rahim jika mereka kerap melakukan pembedahan pengguguran janin.
Selain itu, wanita terbabit juga bakal berdepan masalah sukar hamil ekoran haid yang terhenti dalam tempoh panjang.
“Pengguguran boleh mendedahkan rahim wanita dijangkiti kuman dan bahagian uri melekat. Namun, dari aspek perubatan, ia boleh dilakukan dengan selamat dengan bantuan doktor pakar dan rawatan yang mengikut prosedur yang dibenarkan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: