Monday, November 24, 2014

Guru diarak naik kereta klasik


  • Kamaludin diarak menaiki kereta klasik pada majlis persaraannya.Kamaludin diarak menaiki kereta klasik pada majlis persaraannya.

SEGAMAT - Sebagai mencipta kelainan majlis persaraan wajib seorang pembantu guru besar pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sepinang, di sini, beliau diraikan dengan menaiki kereta klasik Forris Minor 1954.

Kamaludin Mohd Isin, 56, yang juga guru cemerlang berkata, mengakhiri kerjaya selama 32 tahun bukanlah sesuatu yang menyedihkan baginya, tetapi apabila memikirkan dia akan semakin jauh dengan pelajar, hatinya mudah tersentuh.

“Bimbinglah generasi kini tanpa jemu kerana pelajar dan ibu bapa sentiasa percaya perubahan sikap dan masa hadapan bermula dari zaman persekolahan. Tugas kita sebagai guru adalah mendidik dengan ikhlas.

“Walaupun ada masalah, tangani ia dengan bijak tanpa menjejaskan hubungan baik bersama masyarakat sekeliling kerana tidak dinafikan sepanjang perkhidmatan saya ini terlalu banyak pengalaman yang diperoleh,” katanya ketika berucap pada majlis di dewan sekolah itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai guru, beliau hanya mengajar di dua sekolah iaitu SK Sungai Dua, Sarawak, selama tujuh tahun kemudian di SK Sepinang sebagai guru Bahasa Malaysia selama 25 tahun.

Bapa tiga anak itu berkata, beliau adalah guru paling lama berkhidmat di sekolah berkenaan dan salah seorang anak muridnya kini menantunya.

“Walaupun sekolah ini dikategorikan sekolah kurang murid dengan hanya 121 pelajar, saya harap semua pelajar dapat terus belajar bersungguh-sungguh, meningkatkan disiplin diri dan menghormati guru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: