Sunday, November 23, 2014

Fathia impi bergelar penyanyi


FATHIA mengharapkan hubungannya dengan kekasih hati membawa ke jinjang pelamin.


ALAM percintaan pastinya merupakan antara pengalaman yang amat menggembirakan buat sesiapa sahaja yang sedang dilamun asmara.
Begitu juga dengan si empunya nama Nur Fathia Abdul Latiff yang sedang menyulam cinta dengan aktor kacak Aiman Hakim Ridza, 25.
Bibit perkenalan yang bermula ketika sama-sama membintangi drama Diandra pada tahun lalu, kini sudah bertukar fasa menjadi sebuah perhubungan serius.
Ketika berpeluang bertemu dengannya pada sesi fotografi yang diatur di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini digunakan sebaik-baiknya oleh penulis untuk mendekati perjalanan kisah karier dan cintanya.
Ketika ditebak tentang hala tuju hubungan dengan kekasih hatinya, Fathia mengakui, sasaran untuk membawa hubungan mereka berdua ke gerbang perkahwinan sedang dalam perbincangan.
“Saya percaya dengan kenyataan jodoh itu di tangan Allah. Apa yang boleh saya kongsikan, hubungan saya dan Aiman memang serius. Kami mahu hubungan yang terjalin ini berkekalan hingga ke alam perkahwinan.
“Buang masa jika suatu perhubungan itu sekadar mahu berseronok atau bersifat sementara. Saya cuba membawa hubungan yang terbina selama dua tahun ini ke fasa seterusnya. Tidak dinafikan kami ada berbincang mengenai hal ini, namun saya tidak tahu bila masa itu akan tiba. Saya serah semuanya pada takdir Ilahi,” kongsi Fathia yang kini berusia 27 tahun.
Tambahnya, dia masih belum merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan pelakon drama Vanilla Coklat itu dalam waktu terdekat.
“Biar keadaan menentukan. Bagi saya, tumpuan pada kerjaya lebih penting sekarang kerana banyak perkara yang belum saya laksanakan. Sejujurnya, kami belum bercadang untuk bertunang dalam waktu terdekat. Kalau ada jodoh tak ke mana,” katanya lagi.
Sementara itu, Fathia memberitahu, Aiman merupakan jejaka hebat dan menepati ciri-ciri lelaki idaman yang dicari-cari selama ini.
“Orang kata, kalau nak tengok personaliti seseorang itu, kita harus melihat bapanya terlebih dahulu. Tidak dinafikan dia memang seorang lelaki yang matang dan penyayang.
“Dia juga lelaki yang tidak mudah melatah. Maksudnya, dia boleh menyelesaikan masalah dengan tenang. Perkara yang lebih saya tertarik ketika mengenalinya ialah dia seorang yang prihatin dengan masalah orang. Dia akan pastikan saya sentiasa dalam keadaan selamat dan sihat. Dia banyak memberi sokongan ketika saya mempunyai masalah,” kongsi Fathia.
PEMUJA ELLIE SURIATI
DALAM industri seni lakonan tanah air, siapa yang tidak kenal dengan Ellie Suriati. Dia adalah antara pelakon yang sering dijadikan sumber ramai pelakon baharu sekarang.
Dikenali sebagai seorang pelakon drama, filem dan teater. Kini, isteri kepada pelakon Azri Iskandar itu telah melangkah setapak dalam mengembangkan portfolio kerjayanya sebagai seorang anak seni apabila berjaya mengarahkan filem pertama berjudul Penanggal. Baru-baru ini, dia telah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan pada Malam Perasmian, Festival Filem Malaysia ke-26.
Tanpa berselindung, Fathia mengakui, dia mengagumi bakat lakonan yang dimiliki aktres yang sudah hampir 16 tahun berkecimpung dalam industri seni lakonan itu.
“Saya mengikuti perkembangan karier lakonan Ellie sejak di bangku sekolah lagi. Kalau boleh, saya mahu berlakon sepertinya. Dia begitu handal ketika beraksi dalam setiap naskhah yang ditawarkan, malah lakonannya tidak pernah mengecewakan penonton.



“Jujur saya katakan, sejak kecil saya hanya menonton cerita lakonannya sahaja. Jika diberikan peluang, saya teringin untuk berlakon dengannya,” kata Fathia yang turut meminati hasil lakonan selebriti antarabangsa seperti Drew Barrymore dan Cameron Diaz.
GITAR
KETIKA ditanya tentang aktiviti masa lapang, Fathia berkata, dia gemar bermain gitar.
Katanya lagi, sejak di bangku sekolah, dia lebih berminat untuk menjadi penyanyi berbanding bergelar pelakon.
“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi penyanyi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rezeki lakonan datang dahulu. Kalau diberikan peluang bergelar penyanyi, saya pasti akan pertimbangkannya.
“Bercakap mengenai aktiviti masa lapang, saya suka bermain gitar apabila bosan di rumah. Sejak kecil, saya sudah dihantar ke kelas muzik,” kongsi Fathia yang tidak menyukai aktiviti sukan.
PEGUAM
SELAIN berlakon, Fathia memberitahu, jadual hariannya juga agak padat sejak bergelar pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.
Bagaimanapun, hasrat untuk menamatkan pengajian pada akhir tahun ini nampaknya tidak kesampaian memandangkan dia terikat dengan jadual lakonan yang padat.
“Alhamdulillah, saya hanya tinggal satu semester lagi. Malangnya, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu kerana terikat dengan jadual kerja yang padat sehingga bulan Mei tahun depan.
“Sebelum ini, saya akui mampu membahagikan masa dengan sebaiknya. Sejak akhir-akhir ini, jadual lakonan saya semakin padat dan sukar untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Saya juga manusia normal yang perlukan rehat secukupnya. Oleh itu, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier,” kata Fathia.
Ditanya apa yang membuatkan dia menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan, pelakon itu menyatakan, ia sebagai langkah jangka panjang dalam karier seninya.
“Saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian kerana sebagai selebriti, saya tidak tahu bila jangka hayat saya akan berakhir dalam industri seni.
“Disebabkan itu, saya percaya dengan adanya segulung ijazah, jaminan untuk masa depan akan lebih cerah. Seandainya saya tidak lagi diterima dalam industri seni, saya memilih untuk menjadi peguam hartanah suatu hari nanti,” jelas Fathia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: