Sunday, November 23, 2014

Eddie Peng tertekan bawa watak hero



EDDIE agak tertekan ketika melakonkan watak hero legenda Wong Fei Hong menerusi filem Rise of The Legend.


LEBIH sedekad menjadi anak seni, bakat pelakon kelahiran Taiwan, Eddie Peng nyata tidak mampu dipertikaikan. Dia antara bintang yang cukup versatil dalam membawakan pelbagai watak.
Terbaharu, pelakon berusia 32 tahun itu tampil dengan sebuah filem baharu berjudul Rise of The Legend.
Diarahkan oleh pengarah Roy Chow, selain Eddie, filem yang bakal ditayangkan pada 27 November itu turut dibintangi oleh pelakon Sammo Hung, Tony Leung Ka Fai dan Angelababy.
Eddie yang memegang watak utama sebagai Wong Fei Hung yang merupakan legend terkenal dalam dunia seni mempertahankan diri itu sempat berkongsi pengalamannya dalam menjayakan watak tersebut.
Masihkah ingat ketika anda berbincang dengan pengarah mengenai watak anda dalam filem ini buat pertama kali?
EDDIE: Ketika pertemuan kami, pengarah telah menyediakan pelbagai bahan, buku, cakera video digital (DVD) dan juga shot uji supaya saya dapat memahami gaya lakonan watak tersebut. Pada pendapat saya, gayanya cenderung ke arah komik dan merupakan sesuatu yang baharu dan bersifat eksperimental. Ia kelihatan agak gila tetapi beliau ingin mencuba dan ingin tahu sekiranya saya berminat untuk melibatkan diri.

FILEM Rise of The Legend berlatarbelakangkan kisah hero pujaan ramai, Wong Fei Hung yang menegakkan keadilan dengan cara tersendiri.


Berapa lamakah tempoh dari peringkat awal hingga akhir?
EDDIE: Pengarah dan saya memulakan perbincangan kami pada hujung Januari dan enam bulan selepas itu, saya masih lagi tidak mengetahui apa-apa mengenai skrip tersebut. Saya cuma tahu bahawa filem ini adalah filem hero Wong Fei Hung yang baharu dan sangat eksperimental, sangat menarik dan sangat moden. Filem ini bakal menjadi filem seni mempertahankan diri yang belum pernah dipertontonkan kepada umum.
Apakah yang membuatkan anda menerima tawaran tersebut akhirnya?
EDDIE: Saya banyak berbincang dengan pengarah dan bos. Kami kerap berjumpa bagi membincangkan perihal watak itu dan amat berbesar hati William Kong mahu saya terlibat dalam filem ini.
Masih ingat lagi, empat atau lima tahun lepas, beliau telah menasihati saya bahawa untuk menjadi pelakon yang baik perlu serius dan melibatkan diri dalam filem secara kerap dan sanggup bereksperimen dengan watak berbeza.
Saya juga turut mengingati nasihat beliau bahawa perlu berlakon dalam 50 filem dalam tempoh lima tahun.
Apakah perasaan anda sepanjang proses pembikinan filem ini?
EDDIE: Setelah mencapai suatu peringkat penggambaran, saya boleh menjadi tenang. Keseluruhan penggambaran tersebut memakan masa selama tiga bulan.
Ketika separuh tempoh pertama penggambaran, terdapat pertindihan dengan jadual latihan menyebabkan saya berasa tidak puas hati.
Ini disebabkan saya tidak mampu mengatur jadual latihan sendiri, terutamanya perkara melibatkan seni mempertahankan diri.
Saya terpaksa mengimbangkan antara masa penggambaran yang panjang dengan melakonkan pelbagai babak dramatik serta berat.
Anda memegang watak Wong Fei Hung yang sedang meningkat dewasa. Adakah watak ini telah mengubah diri anda?
EDDIE: Secara peribadinya, saya amat menghormati Wong Fei Hung. Membawa watak sebagai seorang hero kebangsaan yang saya kenali sejak kecil dengan Jet Li sebagai perintisnya dan juga sebab saya mengetahui Kung Fu, bukanlah suatu perkara yang mudah.
Watak ini amat dihargai. Apabila mengetahui bahawa saya akan membawa watak tersebut, saya berasa sangat tertekan dan tidak bersedia.
Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar serta langkah demi langkah yang diberikan oleh pengarah dan bos, melalui latihan dan komunikasi yang berkesan, saya dapat mengharungi semua itu dengan baik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: