Friday, November 28, 2014

Didi Astillah lebih matang

  • Didi AstillahDidi Astillah

JIKA diselak perjalanan karier seninya, gadis kecil molek ini bukanlah bakat baharu yang perlu diperkenalkan lagi.

Memulakan karier dalam bidang nyanyian sejak berusia tiga tahun, bekas peserta program realiti Idola Kecil dan Kamilah Bintang ini sebenarnya sudah pun memiliki pengikut yang tersendiri.

Tampil dengan imej yang lebih matang, bintang kelahiran Sandakan, Sabah ini sudah bersedia melangkah lebih jauh dengan terhasilnya album terbaharu Didi Astillah.

“Semua lagu yang diselitkan dalam album ini mula direkodkan pada pertengahan tahun lalu. Tapi saya terpaksa berehat sebentar untuk beri fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tahun ini barulah saya kembali aktif dalam karier seni dan Alhamdulillah, selepas lebih kurang setahun, album ini akhirnya dapat disempurnakan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album solonya di Warner Music Malaysia, Menara TSR, Mutiara Damansara, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai album itu, Didi memberitahu dia memilih genre pop dance bersesuaian dengan penampilan remajanya.

“Jika sebelum ini saya dikenali dengan nyanyian kanak-kanak, tapi dalam album kali ini semuanya berbeza mengikut usia saya sekarang.

“Mungkin ini juga satu kelebihan yang saya ada untuk menghiburkan peminat muzik sebaya saya,” ujarnya.


Guna sosial media

Memiliki jumlah pengikut lebih seratus ribu di laman Instagram adalah kelebihan buat Didi mempromosikan album terbaharunya.

“Setakat ini, respons yang saya terima daripada peminat menggalakkan dan paling terharu apabila ramai juga yang sudah buat cover lagu saya.

“Memang Instagram banyak bantu saya dekatkan diri dengan peminat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Didi turut berkongsi rasa bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan komposer hebat, L.Y dan Posan yang bertanggungjawab dalam penghasilan albumnya.

Album Didi Astillah memuatkan enam buah lagu iaitu Pujaan Hatiku, La lala, Aku Jatuh Cinta, Fikirkan Kamu, BFFku, Stop Mencintaiku dan I Love You So.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: