Friday, November 28, 2014

Bantu mak nyah kembali dalami ajaran Islam


  • Wan Muhamad Hafizzul (kiri) mengajar mak nyah membaca al Quran pada kelas agama yang diadakanWan Muhamad Hafizzul (kiri) mengajar mak nyah membaca al Quran pada kelas agama yang diadakan

KUANTAN - Pendekatan berhemah yang digunakan dalam mendekati golongan mak nyah akhirnya berjaya menarik golongan itu kembali mendalami ajaran Islam secara sukarela.

Guru agama, Wan Muhamad Hafizzul Wan Ismail, 21, berkata, situasi itu bermula selepas dia melakukan tesis mengenai kehidupan mak nyah di bandar ini ketika berada di tahun akhir pengajian.

Menurutnya, bertitik tolak dari situ, hubungannya dengan golongan tersebut semakin rapat malah sering menjadi rujukan mereka berhubung hal-hal agama.

“Tiada istilah paksaan malah saya perlu bersabar untuk melihat perubahan diri mereka. Saya tidak boleh mendesak mereka untuk berubah dalam sekelip mata.

“Sejak mengajar mereka di kelas agama secara percuma sejak empat tahun lalu, banyak perubahan yang boleh dilihat,” katanya.

Wan Muhammad Hafizzul berkata, setiap kali kelas agama diadakan, hatinya sering tersentuh melihat kesungguhan golongan itu untuk mendalami ilmu agama.

“Pemakaian bukanlah penghalang untuk golongan ini berkumpul setiap malam Jumaat bagi belajar fardu ain dan membaca al-Quran," katanya.

Katanya, setiap minggu, terdapat kira-kira10 hingga 30 mak nyah menghadiri kelas itu yang diadakan di Taman Perumahan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Bukit Setongkol, di sini.

Bekas pelajar Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) itu berkata, golongan itu tidak malu dan merasa tersisih untuk belajar walaupun ada dalam kalangan mereka tidak pernah kenal al-Quran walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam.

“Semua mak nyah yang mengikuti kelas agama bernaung di bawah Persatuan Insaf Pahang (PIP) termasuk ada juga daripada mereka adalah golongan profesional.

“Selain kelas fardu ain dan membaca al-Quran, saya dan rakan mengadakan program motivasi dan lawatan dalam usaha mendekatkan mereka dengan  masyarakat,” katanya.

Dia yang memiliki Diploma Dakwah dan Pengurusan berkata, dia terpaksa mengambil keputusan membatalkan cita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang agama di Indonesia bagi meneruskan kelas agama untuk golongan mak nyah itu.

Rakannya, Che Mohamad Ariff Luqman Che Ghani, 22,  pula berkata, dia dan rakan  bertemu golongan mak nyah yang terbabit dengan kegiatan pelacuran di bandar ini.
“Kami tidak menghadapi sebarang masalah setiap kali berkunjung ke ‘lorong gelap’ itu. Mereka berikan kerjasama dan menerima nasihat diberikan.
“Saya dan rakan-rakan akan terus mengadakan program untuk golongan mak nyah. Kita berharap pendekatan agama yang digunakan dapat membuka hati mereka untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: