Thursday, October 30, 2014

Artis veteran dapat kasut tajaan



SEBAHAGIAN daripada ahli Yayasan Artis Veteran yang menerima kasut tajaan MediFeet.


SERAMAI 55 orang artis veteran terpi­lih untuk menerima penajaan kasut yang bernilai RM34,000 daripada sebuah jenama kasut untuk kesihatan, Medifeet. Penyampaian tajaan itu disampaikan kepada Yayasan Artis Veteran Malaysia apabila salah seorang artis veteran, pelawak Hamid Gurkha bekerjasama dengan mereka untuk promosi produk tersebut.
Timbalan Pengerusi Yayasan Artis Vetaran Malaysia, pelakon Kismah Johar, 62, berkata, persatuan itu telah ditubuhkan pada Januari tahun lalu oleh Allahyarham Datuk Aziz Satar. Menjadi pemangku presiden yayasan itu, Kismah memberitahu, pelbagai aktiviti telah dilakukan untuk membantu artis veteran termasuklah tajaan kasut yang diberikan oleh jenama MediFeet.
“Pihak MediFeet berbesar hati menaja kasut bernilai RM34,000 kepada ahli-ahli yayasan. Kasut jenama ini baik untuk orang veteran yang mengalami pelbagai penyakit seperti kencing manis. Ini adalah salah satu usaha yayasan untuk membantu golongan ahli sekali gus mengeratkan hubungan antara kami,” ujar Kismah.
Pemberian penajaan kasut kesihatan kepada ahli-ahli Yayasan Artis Veteran Malaysia itu merupakan satu program besar yang berjaya dilakukan oleh yayasan terbabit. Sepanjang dua tahun penubuhan, Yayasan Artis Veteran Malaysia setakat ini telah mengumpul seramai 100 orang ahli dan merupakan antara yayasan yang aktif melakukan pelbagai aktiviti.
“Tujuan menubuhkan persatuan ini bukan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk semua artis veteran yang berusia 50 tahun ke atas. Kami mengumpulkan dana untuk membantu ibu tunggal serta artis veteran kerana apabila tua mereka tidak banyak mendapat tawaran lakonan dan nyanyian,” ujar Kismah mengenai misi penubuhan yayasan berkenaan.
Disoal adakah persatuan seni yang sedia ada tidak memadai untuk golongan artis veteran sehingga mereka terpaksa menubuhkan sebuah persatuan lain, jawab Kismah, penubuhan Yayasan Artis Veteran Malaysia bukan untuk bersaing dengan persatuan seni yang lain.
“Kami tubuhkan yayasan ini bukan untuk bersaing dengan persatuan lain, tetapi kami ada alasan tersendiri. Persatuan lain mempunyai perjuangan yang lebih besar, sebaliknya, yayasan ini memberi fokus untuk membantu golo­ngan artis veteran dan ibu tunggal sahaja.
“Saya juga masih ahli kepada beberapa persatuan seni lain tetapi, apabila sudah berusia, aktiviti kami tidak sama dengan aktiviti orang muda. Setakat ini kebanyakan ahli memberi respon yang positif terhadap aktiviti yang diadakan,” tutur Kismah.
Selain menganjurkan aktiviti melibatkan dunia seni, pihak yayasan juga berhasrat untuk menaja dua orang ahli menunaikan umrah pada tahun hadapan.
“Setiap tahun pihak kami akan membuat cabutan dua nama ahli secara ra­wak untuk menunaikan umrah,” kata Kismah yang memberitahu, yayasan itu mendapat dana daripada pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan.
Salah seorang artis veteran yang menjadi ahli persatuan ialah pelakon Norlia Ghani. Ujarnya, apabila semakin kurang tawaran berlakon, masanya ba­nyak dipenuhi dengan aktiviti yang dianjurkan oleh yayasan berkenaan.
“Pihak yayasan tidak sahaja menganjurkan aktiviti kesenian yang memberikan pendapatan kepada ahli, tetapi juga aktiviti keagamaan. Biasalah bila sudah berusia, kita mahu ubah diri menjadi lebih baik serta memperbanyakkan ilmu agama,” kata Norlia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: