Wednesday, September 24, 2014

Timba tembaga masjid lesap lagi


  • Inilah contoh timba tembaga Masjid Haji Ishak yang hilang.Inilah contoh timba tembaga Masjid Haji Ishak yang hilang.

KAMPUNG DENGIR - Sebuah timba tembaga berusia lebih 82 tahun milik Masjid Haji Ishak di sini, hilang buat kali kedua dipercayai dicuri.

Pengerusi jawatankuasa masjid, Mohamad Husin berkata, kehilangan timba tembaga antik seberat kira-kira 30 kilogram yang disimpan di dalam stor masjid itu disedari oleh imam 2 masjid tersebut, Mamat Taib dan bilal, Saari Said kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Menurut Mohamad, timba tersebut pernah dicuri pada 28 Ogos 2012 ketika disimpan di bilik imam masjid sama dan ditemui tidak lama kemudian di sebuah kedai barang lusuh (besi buruk) dipercayai dijual pencuri terbabit.
“Selepas ditemui semula, timba itu disimpan di dalam bilik stor yang terletak bersebelahan mimbar masjid dan dikunci kemas termasuk terdapat pintu jeriji,” katanya.

Beliau berkata, kejadian kelmarin disedari Mamat dan Saari yang ke masjid tersebut untuk solat Asar serta dipercayai timba itu dicuri antara jam 2 hingga 4 petang iaitu selepas waktu Zohor hingga menjelang Asar.
Katanya, pencuri bertindak memotong pintu jeriji sebelum masuk ke dalam stor itu.
“Timba itu sudah tak digunakan, tapi jadi bahan sejarah kerana ia pernah digunakan untuk ambil air perigi masjid lama puluhan tahun lalu.
“Ia memang berat dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi buat masjid ini apatah lagi pada zaman dahulu dikatakan hanya tiga masjid di daerah ini yang mempunyai timba seperti itu, antaranya Masjid Kuala Besut,” katanya.
Mohamad berkata, pencuri dipercayai masuk ke ruang masjid kerana pintu utama tidak berkunci dan bertindak memecahkan jeriji besi dan pintu stor selepas jemaah selesai solat Zohor.
Ketika kecurian pertama dahulu tembaga itu ditemui semula selepas pihak berkuasa berjaya memberkas suspek yang merupakan penduduk sekitar.
Satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Besut dan Mohamad berharap sesiapa yang melihat timba tembaga bersaiz besar tersebut agar melaporkan segera kepada polis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: