Wednesday, September 24, 2014

Terkejut terima duit palsu


  • Wang kertas palsu yang diterima mempunyai nombor siri yang sama selain kertasnya agak kasar. Wang kertas palsu yang diterima mempunyai nombor siri yang sama selain kertasnya agak kasar.

BATU PAHAT – Seorang pemilik pusat hiburan di daerah ini terkejut apabila diberitahu juruwangnya menerima wang palsu RM100 lebih daripada tiga keping.

Pemilik pusat hiburan yang mahu dikenali sebagai Johnny, 36, berkata, wang kertas itu hampir serupa dengan asli, tetapi mempunyai nombor siri yang sama.

Menurutnya, dia diberitahu ketika proses pengiraan wang selepas tamat menjalankan perniagaan.

“Kesemua wang kertas berkenaan diterima sepanjang minggu lalu dan saya terkejut apabila melihat wang kertas palsu terbabit selepas ditunjukkan pekerja.

“Saya dan pekerja tidak menyangka wang kertas berkenaan palsu pada mulanya, tetapi melihatkan kertasnya agak kasar, saya memeriksanya di bahagian depan dan belakang duit berkenaan.

“Setelah diteliti kesemua wang berkenaan mempunyai nombor siri yang sama,” katanya semalam.

Johnny berkata, dia akan menyiasat perkara berkenaan dengan melakukan pemeriksaan dan pemerhatian melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat hiburannya.

Katanya, dia juga belum dapat memastikan wang kertas palsu terbabit diterima daripada individu sama atau mereka yang bergerak dalam kumpulan sama.

“Saya nasihatkan peniaga perlu berwaspada apabila menerima wang kertas daripada pelanggan terutama yang melibatkan jumlah besar.

“Saya belum lagi membuat laporan polis berkaitan kes berkenaan, kerana ingin melihat rakaman CCTV terlebih dahulu dan mengambil langkah berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad menasihatkan pemilik pusat hiburan berkenaan agar membuat laporan polis segera supaya pihaknya dapat melakukan siasatan.

Katanya, melalui laporan diterima polis daerah ini, bermula Januari sehingga kini sebanyak 25 kes membabitkan wang kertas palsu di mana sebanyak 28 keping wang RM100 dan RM50.

“Saya nasihatkan semua peniaga di daerah ini supaya berhati-hati dengan kejadian seperti ini selain menyarankan mereka menggunakan alat imbas wang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: