Thursday, September 25, 2014

'Tak ada selera makan kalau orang miskin berlapar'


  • Chee Heng amat disayangi anak yatim yang dibantunya.Chee Heng amat disayangi anak yatim yang dibantunya.

WAJAHNYA sentiasa serius dan kelihatan tegas, namun tiada siapa menduga, Kuan Chee Heng yang bertubuh tegap dan sasa disenangi golongan tidak berkemampuan dan anak-anak kecil yang mengenalinya.

Melayan anak-anak yatim tidak kira bangsa dan agama seperti anak kandungnya sendiri, Chee Heng memberitahu, dia boleh tidur lena dan tersenyum puas jika dapat membantu orang yang dilanda kesusahan dan dihimpit kemiskinan akibat desakan hidup.

Hampir setiap hari, jika dia mendapat tahu ada dalam kalangan masyarakat yang menahan lapar kerana tiada barang makanan untuk dimakan, dia akan terus bergegas ke pasaraya dan menghantar makanan dibeli terus ke rumah keluarga miskin tersebut.

Mendapat sokongan rakan-rakan melalui laman web sosial, Chee Heng berkata, dia yakin kurniaan sifat membantu diberi tuhan dan prinsipnya sesuatu pemberian bukan diberi dengan tangan tetapi haruslah diberi dengan hati.

Meski kadangkala ada menerima cemuhan daripada sesetengah masyarakat terhadap kerja amal dilakukan, Chee Heng menganggap itu ujian dan cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia.

“Setiap kali hantar makanan dan melawat rumah orang miskin saya ada muat turun gambar di laman sosial. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk apa yang saya buat tapi lebih untuk memberitahu masyarakat bahawa ada orang lain yang hidup tidak
sesempurna mereka,” katanya.

Chee Heng berkata, dia pernah mengalirkan air mata melihat keadaan seorang kanak-kanak yang kudung tangan dan kaki namun mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupan.

Berbekal sokongan wang ringgit daripada rakan-rakan yang lebih berkemampuan, Chee Heng akan memandu ke rumah orang miskin dan OKU membawa bantuan makanan termasuk beras, tepung, minyak sayuran, ikan serta ayam.

Namun katanya, bukanlah semua yang mengaku miskin akan dibantu sebaliknya dia akan melakukan siasatan dahulu dan hanya memberi sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Saya lihat ramai ibu-ibu tunggal yang hidup susah kerana ditinggal suami sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Mereka kena teruskan hidup tanpa bekerja untuk besarkan anak-anak.

“Sebagai masyarakat, saya rasa inilah tanggungjawab saya membantu mereka. Kadangkala bila tahu ada orang miskin tak makan, saya pun tak selera makan selagi tak hantar makanan kepada mereka,” katanya.

Menganggap kesusahan orang lain adalah peluang untuk dirinya menabur bakti, Chee Heng tidak akan memberi kemewahan kepada mana-mana orang miskin yang dikenalinya.

Namun katanya, mereka yang dulu sering berkerut dahi memikirkan bagaimana membeli makanan dalam keadaan serba kekurangan kini dapat tersenyum lega apabila dibantu.

“Anggap keluarga yang susah seperti keluarga kita, anak-anak mereka jadikan bagaikan anak kita. Takkan kita sanggup biar mereka menahan lapar,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: