Tuesday, September 30, 2014

Rozel beri pulangan lumayan


  • Petani wanita yang mengusahakan tanaman rozel gembira melihat hasil tuaian tanaman tersebut sebelum diserah kepada Fama untuk dipasarkan.Petani wanita yang mengusahakan tanaman rozel gembira melihat hasil tuaian tanaman tersebut sebelum diserah kepada Fama untuk dipasarkan.

ROMPIN – Projek tanaman rozel yang diusahakan oleh 30 petani secara bermusim mampu memberi pendapatan tambahan antara RM700 hingga RM1,500 sebulan kepada golongan berkenaan yang berpengalaman lebih tujuh tahun mengusahakan tanaman tersebut.

Dua kawasan di daerah ini iaitu Desa Murni dan Tebu Hitam menjadi lokasi utama projek terbesar di Pahang itu yang mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Petani, Halijah Sulong, 44, berkata, mengusahakan tanaman rozel mudah selain mampu memberi pulangan lumayan walaupun pokok berkenaan hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas ditanam, bergantung kepada keadaan cuaca pokok rozel akan mengeluarkan hasil secara berperingkat tanpa henti sehinggalah tanaman berkenaan mati.

“Kebanyakan projek tanaman rozel di sini diusahakan wanita sebagai usaha menambah pendapatan keluarga selain ia sejenis tanaman yang tidak banyak memerlukan perhatian berbanding tanaman sayuran lain.

“Kita hanya perlu pastikan tiada rumpai dalam kawasan kebun bagi mengelak serangan serangga dengan menyembur racun sekali hingga dua kali sahaja sepanjang tempoh projek diusahakan,” katanya.

Beliau yang mengusahakan tanaman berkenaan seluas kira-kira 0.5 hektar itu berkata, disebabkan buah rozel yang masam menyebabkan haiwan seperti kera, tupai dan kambing tidak berminat untuk menyerang apabila tiba musim menuai.

“Aktiviti menuai buah rozel dilakukan dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan daripada pihak Fama yang bertanggungjawab membantu pasarkan hasil," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang rakannya, Sarimah Abdullah, 49, berkata, tanpa bantuan dan sokongan Fama serta Jabatan Pertanian mustahil projek tanaman rozel dapat berjaya seperti sekarang.

“Dengan keluasan 0.5 hektar saya mampu meraih lebih RM7,000 semusim melalui aktiviti jualan diuruskan pegawai Fama yang dilakukan dua hingga tiga kali seminggu.

“Di peringkat awal projek suami dan anak-anak turut sama membantu saya, namun apabila tiba musim menuai saya akan lakukan sendirian kerana ianya tidak terlalu membebankan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: