Tuesday, September 30, 2014

Ramuan nasi kukus RizQ



AYAM goreng berempah ini mampu membuka selera pelanggan yang menikmati nasi kukus.


DARI jauh, bau nasi kukus sudah memenuhi ruang udara di sebuah kedai yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Menghampiri waktu makan tengah hari, Restoran RizQ Nasi Kukus mula dipenuhi para pelanggan yang rata-rata terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi berdekatan dan pekerja swasta.
Kebanyakan mereka memesan juadah utama iaitu nasi kukus manakala yang lain memilih nasi berlauk ikan tongkol.
Seorang pelanggan, Ramli Abu Bakar, 47, sedang menikmati nasi kukusnya dengan penuh berselera. Ujarnya, nasi kukus itu dimasak sempurna menggunakan beras berkualiti.
"Saya menikmati setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulut. Nasi kukus ini tidak terlalu lembik atau keras.
"Saya tidak menyukai nasi yang lembik kerana ia akan melekat pada pinggan jika bercampur dengan kuah," katanya.
Ramli memberitahu, dia sememangnya mementingkan keadaan nasi yang dimasak.
Dalam pada itu pemilik Restoran RizQ Nasi Kukus, Rosilawati Yaacob, 39, berkata, keistimewaan premisnya adalah hanya menjual juadah signatur masyarakat Kelantan.
Antara gabungan lauk yang disediakan dalam menu utama ialah kerutuk, gulai kawah, kuah kari ayam, kuah kari daging, ayam percik, sambal ikan bilis dan ulam timun.
"Restoran RizQ Nasi Kukus menyediakan hidangan yang dimasak menggunakan resipi asli turun-temurun keluarga 'Kak Yah'. Bahan-bahan masakan didatangkan khas dari Kelantan.
"Selain itu, sajian ini disediakan oleh ibu saudara saya, Hanizah Mohamad Noor yang berpengalaman dalam bidang katering sejak tahun 1995," jelasnya yang turut melayan pelanggan di restorannya.

RESTORAN RizQ Nasi Kukus ini menawarkan pelbagai pilihan masakan asli Kelantan.


Tambah Rosilawati, keaslian resipi yang ditawarkan dapat dinilai menerusi beberapa jenis masakan seperti sambal ikan bilis.
Jelasnya, terdapat kedai nasi kukus yang memasak sambal menggunakan belacan, namun gaya masakan sebenar masyarakat di Kelantan adalah dengan memasukkan cuka serta sedikit ikan bilis. Sambal itu juga dipanggil sambal jeruk atau sambal nasi berlauk.
Periuk kukus
Mengulas lanjut tentang nasinya, Rosilawati yang mesra dipanggil Shiela berkata, beras yang digunakan adalah beras berkualiti dari Thailand dan ia dikukus sepenuhnya menggunakan periuk kukus.
"Ada segelintir peniaga yang memasak nasi dalam periuk biasa sehingga separa masak. Ia dibiar menjadi nasi menggunakan periuk kukus.
"Teknik masakan seperti itu menyebabkan nasi menjadi lembik dan tidak sedap apabila dimakan bersama kuah kari," jelasnya.
Bagaimanapun, Hanizah berkata, menu utama yang menaikkan selera makan pengunjung ialah ayam goreng berempah. Sajian itu dihidangkan panas dari dapur.
Ayam yang digoreng juga diperap separuh hari sebelum digoreng bagi memastikan rasa bahan-bahan perapan seperti halia, serai, bawang merah, bawang putih, rempah ketumbar dan daun kari terserap. Menaikkan lagi aroma, nasi kukus itu dihidangkan di atas daun pisang.
Hidangan nasi kukus didatangkan dalam set air sirap berharga RM6.50 dan ala carte RM6.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: