Thursday, September 25, 2014

Populasi kubong makin pupus


  • Ramlan Ros (kanan) mengusap kepala kubong sebelum menyerahkannya kepada Jabatan
Perhilitan, semalam.Ramlan Ros (kanan) mengusap kepala kubong sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Perhilitan, semalam.

PASIR PUTEH - Kemungkinan besar dalam tempoh kurang 15 tahun lagi haiwan unik, kubong atau nama sebenarnya sunda flying lemur akan pupus kerana populasinya dikatakan semakin mengecil dari tahun ke tahun.

Pengkaji haiwan, Zainal Mat Amin, 47, berkata, kubong tidak berupaya terbang jauh kerana ia hanya melompat dan meluncur dari pokok ke pokok menggunakan ‘kepak’ seperti cicak kubing atau tupai terbang.

Katanya, haiwan itu sukar ditemui kerana ia hanya aktif pada waktu malam khusus untuk mencari makanan seperti pucuk, daun dan buah-buahan.

“Kubong adalah pendaki yang mahir dan tidak berdaya apabila di atas tanah, ia boleh meluncur pada jarak 100 meter serta berupaya mengemudi untuk mengalih arah sedikit sekiranya perlu ke pokok yang tidak dijangka," katanya.

Sabtu lalu, seekor kubong tersesat memasuki kawasan penduduk di Kampung Telosan sebelum tersangkut pada jaring reban ayam.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pasir Puteh yang menerima aduan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan berjaya menangkapnya.

Pegawai JPAM Pasir Puteh, Ramlan Ros Wahid berkata, ia kes pertama membabitkan kubong kerana selama ini JPAM banyak terlibat dengan penangkapan ular.

“Kita lebih banyak terlibat dalam kes panggilan ancaman ular iaitu sebanyak 338 kes dari Januari hingga Julai tahun ini, kubong ini merupakan kes pertama yang kita tangani.

“Walaupun tidak berbahaya, kukunya yang tajam boleh mendatangkan kecederaan tetapi anggota kita berjaya menjinakkannya, hari ini kita menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Beliau berkata, dalam kalangan generasi baharu, ramai yang tidak pernah melihat kubong dengan sebahagiannya tidak dapat memberi gambaran apabila disebut nama haiwan tersebut.

“Mereka mungkin pernah dengar tapi mereka tidak dapat bayangkan rupanya, ada yang menyangka ia tupai terbang dan ada yang mengatakan ia haiwan ganjil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: