Monday, September 29, 2014

Nilai seorang Hamid Gurkha


KATA Hamid Gurkha, selagi hayat di kandung badan, beliau masih mahu menghiburkan penonton dengan bakatnya.


HARUS diakui, raut wajah seorang anak wayang dengan mimik muka lucu mempamer susunan gigi yang sedikit rompong pada sekitar tahun 80-an bernama Hamid Gurkha ini cukup mengesankan.
Paling mengesankan apabila beliau membawa watak seorang pemandu bas di dalam filem komedi seram Main-Main Hantu. Humor yang dilontar Hamid begitu bersahaja. Ini termasuklah di dalam deretan naskhah lain lakonannya seperti Konstabel Mamat, Gila Gila, Alamak Toyol dan Zombie Kampung Pisang.
Namun, selepas lebih 20 tahun menjadi anak seni, baru kini beliau diberi pengiktirafan.
Pemilik nama sebenar Abdul Hamid Abdul Rahman, 82, nyata terharu dengan penghargaan yang diberikan kepadanya memandangkan itu kali pertama dirinya berdiri di atas pentas sebagai penerima Anugerah Lawak Warna. Turut menerima anugerah sama ialah pelawak veteran terkenal, Datuk Jamali Shadat.
“Saya memang tidak sangka dan terharu atas penganugerahan ini. Saya sangat bersyukur dan gembira kerana sebelum ini saya tidak pernah memegang apa-apa anugerah. Tidak tergambar perasaan ini sebab masih ada pihak yang mengingati saya dan Jamali Shadat sebagai seorang pelawak.
“Walaupun kami berdua menerimanya pada hujung-hujung usia dan sebelum menutup mata, Alhamdulillah dapat juga merasa menerima pengiktirafan seperti ini. Apa pun saya tetap menghargainya,” ujar bapa kepada lapan anak dan datuk kepada 30 cucu itu dengan ceria.
Masih berlakon
Pelakon veteran itu turut menyuarakan pendapat mengenai kebanjiran pelawak pelapis yang semakin ramai.
“Saya dapati lawak jenaka pada masa sekarang agak kurang berbanding dahulu. Lawak jenaka pada zaman dahulu banyak menyelitkan mesej yang berguna untuk penonton, misalnya soal kehidupan bermasyarakat berbilang bangsa dan agama.
“Dahulu sangat berbeza kerana kami sangat mementingkan kualiti berbanding sekarang. Lawak jenaka yang dibuat adakalanya kosong tanpa mesej yang membina. Namun, bukan bermaksud saya mengkritik pelawak zaman sekarang.
“Saya juga sangat seronok melihat perkembangan positif dengan kehadiran banyak pelawak baharu melalui program realiti yang dianjurkan pelbagai stesen televisyen tempatan,” ujar Pak Hamid yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia dari tahun 1952 hingga 1959.
Berdirinya Pak Hamid sebagai seorang veteran dalam dunia seni juga tidak dapat lari daripada terkena tempias sikap segelintir syarikat produksi yang mengambil mudah kebajikan artis lama sepertinya.
Mengakui sering dilayan sebegitu rupa, Pak Hamid nyata tidak terkilan atau berkecil hati dengan pihak yang pernah memberi layanan yang kurang.
“Kadangkala ada juga kes yang mana pihak sesebuah syarikat produksi itu tidak membayar harga yang setimpal dengan lakonan yang saya lakukan. “ ”Namun, saya sikit pun tidak kecil hati sebab saya faham, dalam industri kini mungkin kuota untuk pelakon veteran seperti saya sudah tidak banyak dalam mana-mana drama atau filem.
“Mahu buat macam mana kalau ini sahaja rezeki yang Allah bagi kepada saya. Lagipun, itu perkara biasa jika pelakon veteran kurang dipanggil berlakon. Saya tidak kisah tentang bayaran kerana saya juga berlakon semata-mata untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah, itu sahaja,” ujar Pak Hamid telus.
Sebaliknya, Pak Hamid tetap bersyukur kerana sehingga ke hari ini, dirinya masih menerima tawaran berlakon. Berkat menjaga pemakanan dan kesihatan tubuh badan, dirinya juga masih gagah melangkah ke set penggambaran.
“Alhamdulillah, sekarang saya masih ada terima tawaran berlakon walaupun tidak banyak. Mereka panggil, saya pergi. Saya suka melakukan kerja-kerja lakonan sebab ia sudah menjadi darah daging saya. Lagi pula, dengan menghiburkan orang, saya juga rasa terhibur,” ujarnya mengakhiri perbualan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: