Wednesday, September 24, 2014

Misteri wang tabung hilang terungkai


  • Antara tabung yang rosak disebabkan kecurian.Antara tabung yang rosak disebabkan kecurian.

TAIPING – Misteri kehilangan wang tabung masjid sejak beberapa bulan lalu terungkai apabila perangkap dipasang jawatankuasa di Masjid Al-Hidayah, Assam Kumbang berjaya mencekup dua lelaki.

Pengerusi masjid, Mustafa Bakar berkata, sebelum ini, pengurusan masjid sangsi dengan kehilangan duit tabung hasil derma jemaah, namun tiada bukti pelakunya.

"Atas dasar prihatin, kami pasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menjalankan rondaan di masjid, terutama pada lewat malam.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama semua kita dapat mengesan individu tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu, enam jawatankuasa masjid dan ahli rukun tetangga yang melakukan rondaan berjaya menangkap dua suspek yang mengumpil besi tingkap dipercayai mahu menceroboh dan mencuri.

Mustafa berkata, kegiatan lelaki terbabit yang beberapa kali memecah masuk masjid telah lama diperhatikan.

"Mereka dikesan menggunakan teknik pancing untuk mencuri wang berdasarkan penutup tabung yang rosak.

“Kami bersyukur kerana akhirnya individu yang bertanggungjawab berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian kedua-dua suspek menceroboh diri ke dalam premis, namun atas kecekapan penduduk, mereka berjaya diberkas sebelum sempat mengambil wang tabung.

“Sikap tanggungjawab penduduk dan rukun tetangga di kawasan itu berjaya menahan kedua-dua suspek.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk rumah tanpa kecurian dan kesalahan terbabit boleh membawa hukuman penjara sampai dua tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: