Friday, September 26, 2014

Dua suspek kes ugut ditahan


  • WhatsApp yang mendakwa kejadian ugut berlaku di R&R Tapah.WhatsApp yang mendakwa kejadian ugut berlaku di R&R Tapah.

TAPAH - Polis berjaya menahan dua lelaki didakwa terlibat kes ugutan di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Tapah yang menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp dan laman sosial.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pada 23 September lalu, pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita yang membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya berjaya menahan dua penarik kereta di Bidor kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

"Dua lelaki itu didakwa mengugut mangsa di Pekan Tapah dan bukan di R&R Tapah seperti yang dihebahkan dalam laman sosial.

"Dengan penahanan dua lelaki itu kami percaya kes itu selesai,” katanya.

Som Sak berkata, kedua suspek dikatakan mahu menarik kereta milik mangsa yang didakwa tidak melunaskan hutang dengan pihak bank.

Namun begitu, katanya, dua lelaki itu tidak membawa surat daripada pihak bank yang mengatakan mereka dibenarkan menarik kereta mangsa.

Menurutnya, kedua lelaki itu juga turut mengugut mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari Kota Damansara ke Kedah bersama tunangnya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan reman hingga 28 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: