Tuesday, July 8, 2014

Selero nogori di Banquet UPM


RUBIAH menunjukkan sebahagian lauk-pauk yang disajikan kepada pelanggan.


BAGI penggemar masakan Negeri Sembilan, selera anda pasti terpikat dengan juadah bufet Ramadan yang disajikan di Dewan Banquet Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor ini.
Menu seperti gulai lemak cili api, gulai pucuk ubi masak tempoyak dan daging masak kicap bersama ulam-ulaman antara lebih 60 jenis masakan Melayu yang boleh dipilih pelanggan.
Lebih menarik, bufet Ramadan bertaraf hotel ini disediakan oleh Alya Catering Services (Alya Catering) yang bekerjasama dengan UPM Consultancy & Services Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat UPM Holdings.
Pengurus Besar Alya Catering Services, Abdul Aziz Shaari berkata, hidangan yang disajikan adalah berbeza setiap hari bagi memberi kelainan selera kepada pelanggan.

ASAM pedas ikan pari bersama bendi ini dimasak cara orang Negeri Sembilan.


"Setiap hari, kita turut menyediakan 10 jenis kuih dan pelbagai jenis bubur, antaranya, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam serta bubur jagung selain cendol dan air batu campur.
"Pelengkap bufet adalah penghilang dahaga seperti teh ais limau dan teh tarik yang merupakan minuman signatur Alya Catering," ujarnya.
Semua hidangan disediakan oleh Pakar Masak Alya Catering, Rubiah Mohd. Sari.
Sambil menikmati hidangan, pelanggan turut dihiburkan dengan persembahan muzik oleh kumpulan Dino Classic yang mendendangkan lagu-lagu Melayu tradisional dan moden.
Bagi pelanggan yang tinggal atau bekerja di sekitar Serdang, Bangi, Kajang dan Putrajaya, Bufet Ramadan@Banquet Hall UPM ini merupakan pilihan terbaik kerana lokasinya di dalam kampus UPM selain menyediakan tempat letak kereta percuma.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: