Sunday, July 6, 2014

Kanak-kanak terlibat jenayah boleh dikena tindakan


  • Gambar hiasanGambar hiasan

SHAH ALAM - Tindakan boleh diambil terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang pernah ditahan beberapa kali kerana terlibat dalam jenayah pecah rumah, walaupun dia masih di bawah umur.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, dalam kes seperti itu dua perkara boleh dijadikan panduan sebelum tindakan diambil.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa kanak-kanak itu tahu perbuatan anak mereka dan mendapati ia tidak terkawal, ibu bapa perlu disarankan menulis surat atau membuat laporan kepada mahkamah bagi kanak-kanak (MBKK).

"Apabila mahkamah itu menerima laporan, seorang pegawai akhlak akan dihantar untuk bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan untuk membuat siasatan mengikut Seksyen 46 Akta Kanak-kanak 2001.

"Di bawah akta sama, jika mahkamah berpuas hati, kanak-kanak itu boleh dihantar ke mana-mana sekolah akhlak atau asrama akhlak bawah JKM," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, biasanya tempoh bagi kanak-kanak yang dihantar ke sekolah akhlak adalah tiga tahun atau hingga mencapai umur 18 tahun, manakala asrama akhlak selama setahun.

Beliau berkata, sepanjang ditempatkan di sekolah atau asrama akhlak ini, kanak-kanak itu akan diberi kaunseling dan didedahkan dengan pelbagai program berbentuk kerohanian dan kemahiran.

Katanya, kanak-kanak yang bersekolah akan dihantar ke sekolah luar seperti biasa dan segala kebajikan, termasuk makan minum, ditanggung JKM.

Nik Omar berkata, dalam situasi kedua, sekiranya kanak-kanak ini ditahan polis ketika melakukan jenayah, di bawah Seksyen 83/84, dia boleh diserahkan ke MBKK  dalam tempoh 24 jam untuk tindakan lanjut.

Katanya, pegawai akhlak akan membuat siasatan, sebelum tindakan boleh diambil ke atas kanak-kanak itu mengikut kesalahan tertakluk bawah Seksyen 91 akta sama.

"Mengikut Seksyen 91 terdapat tujuh tindakan yang boleh diambil iaitu diberi amaran dan dilepaskan, dilepaskan dengan bon berkelakuan baik, diletakkan dalam pemuliharaan orang yang layak dan sesuai seperti saudara-mara yang boleh mengawal
perlakuannya dalam tempoh tertentu.

"Kanak-kanak ini boleh juga dikenakan denda, pampasan atau kos. Dia juga dihantar untuk menjalani perintah percubaan akhlak atau dihantar ke sekolah akhlak," katanya.

Nik Omar berkata, kanak-kanak lelaki boleh juga disebat tidak lebih 10 kali dengan rotan ringan.

Mengenai sama ada ibu bapa boleh dikenakan tindakan, Nik Omar berkata, tindakan hanya boleh diambil jika wujud penganiayaan fizikal dan mental ke atas kanak-kanak itu.

Menurutnya, jika kanak-kanak itu melakukan jenayah tetapi dia sihat, cukup makan minum, tiada tindakan boleh diambil terhadap ibu bapa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: