Sunday, June 29, 2014

Tetamu dilayan bak raja




BERMUSAFIR untuk menghayati keindahan alam ciptaan Allah mampu membawa kesan positif dalam kehidupan umat Islam.
Merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 20 yang bermaksud: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Ayat di atas jelas menunjukkan kepentingan bermusafir untuk mengambil iktibar di atas setiap kejadian yang berlaku mengikut kehendak-Nya.
Berpegang pada prinsip inilah, maka Muhammad Ridhwan Mohd. Huzairi, 26, tidak melepaskan peluang berbuat demikian ketika melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk, Jordan.
Menurut Muhammad Ridhwan atau lebih mesra dengan panggilan Ridhwan, tahun 2006 merupakan kali pertama dia bermusafir ke Jordan sekali gus merasai pengalaman pertama menaiki pesawat penerbangan.
Ironinya, pemergian Ridhwan ke sana dilakukan sewaktu pertengahan bulan Ramadan dengan niat yang murni untuk menuntut ilmu di bumi yang penuh keberkatan. Justeru, banyak cabaran yang dihadapi oleh anak muda ini dalam musafir pertamanya ke negara orang.
"Bagi mereka yang kali pertama menaiki kapal terbang, sudah tentu ingin merasai makanan yang dihidangkan oleh kru kabin.
"Begitu juga saya. Namun, saya cuba bertahan kerana ingin melalui pengalaman berpuasa dalam keadaan bermusafir yang hakikatnya pasti lebih indah daripada pengalaman menikmati makanan dalam pesawat," ujar Ridhwan ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SALAH seorang pekerja memasak roti yang dikenali sebagai qatayef untuk hidangan berbuka puasa di sebuah restoran di Riyadh, Arab Saudi.


Menahan diri
Tambah anak kelahiran Gombak, Selangor ini, apabila melihat penumpang yang duduk di sebelahnya begitu asyik menjamu selera dengan sajian nasi beriani Arab yang dihidangkan bersama jus oren, keinginan untuk berbuka puasa begitu membara.
Apatah lagi, merasakan dirinya dalam keadaan musafir yang diberi kelonggaran untuk berbuka. Bagaimanapun, semangat rakan-rakan yang bermusafir atas tujuan yang sama untuk meneruskan puasa membuatkan Ridhwan menahan diri daripada berbuka.
"Saya bertekad untuk mengambil ibrah daripada kisah Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat yang berperang pada bulan Ramadan seperti Perang Badar yang dikenali sebagai peperangan menegakkan yang hak dan batil.
"Jika mereka boleh bertahan dan mencapai kemenangan, mengapa tidak kita? Alhamdulillah, ia memberi kekuatan yang sangat bermakna dalam diri. Lagipun penerbangan kami berlepas pada waktu pagi.
"Sehubungan itu, bagi mengatasi cabaran untuk berbuka, saya memberi tumpuan menyaksikan pemandangan awan di luar pesawat yang sangat indah, menonton televisyen melalui skrin di belakang tempat duduk dan tidur," imbau Ridhwan yang kemudian berbuka dengan kurma dan air masak sebaik tiba di Lapangan Terbang Amman, Jordan kira-kira sembilan jam kemudian.
Sepanjang enam tahun berada di Jordan kerana melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Sarjana Usuluddin, Ridhwan berpeluang mengembara ke lebih 22 buah negara secara backpackers.
RIDHWAN berpeluang mengembara ke lebih 22 buah negara sepanjang mengikuti pengajian selama enam tahun di Jordan.


Raikan tetamu
Antaranya termasuklah Jerman, Perancis, Itali, England, Sri Lanka, Syria, Mesir, Turki, Mekah dan Madinah. Malah, setiap tahun anak sulung daripada empat beradik ini dapat mengerjakan umrah di Tanah Suci dengan kos sekitar RM500 bagi tempoh 10 hari sembilan malam.
Jelas Ridhwan, kebanyakan negara sangat menghormati dan meraikan golongan pengembara tidak kira ia sebuah negara yang moden atau mundur.
Di negara-negara Islam terutamanya di Asia Barat, mereka terkenal sebagai golongan yang sangat meraikan tetamu lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslim dan berasal dari Malaysia.
"Jika kita bermusafir ke tempat mereka pada bulan Ramadan, ketahuilah bahawa kita akan dilayan seperti raja. Mereka akan menjemput kita makan dan tidur di rumah.
"Tempat tidur disediakan, santapan sahur dan berbuka puasa juga akan disajikan dengan hidangan yang lazat. Apa yang mengujakan, suasana Ramadan dan solat tarawih di Jordan, Syria, Mesir dan Arab Saudi begitu meriah," tutur Ridhwan yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam dan penulis di Telaga Biru Sdn. Bhd.
Sementara itu, bagi Mohd. Nazul Abdul Kadir, 26, yang kini menetap di daerah Higashi, Hiroshima, Jepun mempunyai pengalaman tersendiri apabila berpuasa sewaktu bermusafir ke kota urban Saitama pada tahun 2008.
Ketika itu, Nazul merupakan pelajar tahun satu Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Hiroshima, Jepun yang ingin merasai percutian musim panas di sana.
"Selama dua minggu bermusafir, saya turut mencari peluang bekerja secara separuh masa di sebuah kilang pembungkusan majalah di bandar tersebut.
"Pada mulanya, memang terfikir untuk berbuka terutama pada tiga hari pertama bermusafir pada bulan Ramadan. Tambahan pula, persekitaran yang dikelilingi orang-orang bukan Islam membuatkan saya perlu banyak bersabar," cerita Nazul yang dihubungi melalui laman sosial Facebook.
BERADA di persekitaran orang-orang bukan Islam menguji kesabaran muslim terutama pada bulan Ramadan.


Bagaimanapun, ujar Jurutera Rekaan Alat Penukar Haba di Shin Nippon Machinery Co. Ltd. di Hiroshima ini teringatkan pesanan ustaz yang mengajar bahawa puasa Ramadan tidak sama dengan puasa qada' yang diganti jika seseorang itu meninggalkan puasa, dia terus memadamkan niat untuk berbuka walaupun agak penat.
"Masa itu, saya bermonolog sendiri, sama ada puasa diteruskan atau ganti puasa, akhirnya saya meneruskan puasa.
"Jadi, lebih baik saya berpuasa pada bulan Ramadan yang pahalanya lebih banyak berbanding puasa pada bulan-bulan biasa," ungkap Nazul yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: