Wednesday, June 18, 2014

Kesenian asli Kuala Pilah


TOK SHAH menyampaikan lagu Bongai irama Potasih dibantu isterinya, Norpipah yang bermain gong dalam satu sesi demonstrasi muzik itu di Seri Menanti baru-baru ini.


PERJALANAN seni Mohd. Shah Abd. Rahman bermula sejak dia berusia 12 tahun. Bermodalkan RM15, Mohd. Shah membeli sebuah biola daripada seorang rakannya yang tinggal di Kampung Batang Pilah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sejak itu, dia mempelajari teknik bermain biola secara tidak formal di kediamannya di Kampung Tengkek, Kuala Pilah. Tamat zaman persekolahan, Mohd. Shah menubuhkan Kumpulan Gitar Rancak (Kugiran) Gemariah Hiburan Parti bersama rakan-rakannya.
Kugiran tersebut aktif mengadakan persembahan di majlis-majlis keramaian di sekitar daerah Kuala Pilah pada tahun 1960-an. Bukan sekadar biola, Mohd. Shah juga bermain akordian dan saksofon dalam kugiran itu.
Masa berganti masa, Mohd. Shah kini tidak lagi aktif dalam kugiran tersebut kerana faktor usia.
Namun begitu, minatnya terhadap muzik tidak pernah padam. Mohd. Shah yang kini berusia 75 tahun dan lebih dikenali dengan panggilan Tok Shah atau Pak Lang merupakan individu penting yang memartabatkan muzik Bongai iaitu irama kesenian tradisi Negeri Sembilan.
"Mohd. Shah merupakan guru kepada ramai murid yang terlibat dalam muzik Bongai di daerah ini termasuk saya. Setiap kali sesi latihan, Mohd. Shah akan memberi panduan kepada saya untuk menghayati muzik yang dimainkan," ujar Ahmad Mansor, 64.
Ahmad yang berasal dari Kampung Tengkek merupakan pemain rebana dalam Kumpulan Bongai Seri Tengkek yang diterajui oleh Tok Shah sejak 24 tahun lalu. Perkenalan Ahmad dengan Tok Shah sudah lama.
Selain itu, Ahmad juga merupakan pemain dram Kugiran Gemariah Hiburan Parti dan kerap mengadakan persembahan bersama Tok Shah suatu ketika dahulu.
Pewaris tunggal

KUMPULAN Bongai Seri Tengkek menghiburkan pelanggan yang sedang menjamu selera di Restoran Warisan.


Kebanyakan penggiat kesenian tradisi di Negeri Sembilan mengangkat Tok Shah sebagai pewaris tunggal Bongai di daerah Kuala Pilah. Kini, Tok Shah merupakan penyanyi, pemain biola dan akordian Kumpulan Bongai Seri Tengkek.
Sebuah karya penerbitan bertajuk Bongai Nyanyian Tradisional Negeri Sembilan yang dikarang oleh Ismail Abdul Hadi pada tahun 1996 telah merungkai sejarah dan asal-usul muzik itu.
Bongai berasal daripada perkataan Bong dan Aye. Bong bermaksud seseorang yang dihormati manakala Aye pula ditakrifkan sebagai saya. Muzik ini berasal dari Sumatera Barat, Indonesia dan ia dibawa oleh masyarakat Minangkabau semasa berhijrah ke Negeri Sembilan.
Tok Shah merupakan generasi kedua yang masih aktif mendendangkan irama Bongai selepas Udin Husin, 80-an. Udin atau lebih mudah disapa dengan panggilan Tok Din merupakan penggiat generasi pertama muzik Bongai di daerah Kuala Pilah.
Tok Din juga merupakan guru Tok Shah. Tok Din tidak lagi aktif mengadakan persembahan kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Kini, hanya Tok Shah yang meneruskan legasi Tok Din memperjuangkan irama Bongai asli.
Bapa Tok Shah mempunyai kumpulan Bongai suatu ketika dahulu. Bapanya juga sering mengajar teknik-teknik nyanyian dan instrumen Bongai kepadanya sejak kecil lagi.
Berbalas pantun
Jelas Tok Shah, Bongai merupakan nyanyian berbalas pantun pihak lelaki dan wanita dalam majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan dan berkhatan.
Bongai merupakan cara untuk menghiburkan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut suatu ketika dahulu. Dengan alunan nyanyian yang asyik, Bongai turut dinyanyikan untuk mendodoi bayi.
Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, Bongai dimainkan oleh penduduk di daerah Kuala Pilah, Jempul dan Jelebu sejak 90 tahun lalu.
"Alunan nyanyian Bongai mempunyai ciri-ciri sama seperti berpantun. Alunan daripada instrumen asas iaitu rebana, sebuah biola, gong dan tamborin merupakan tunjang belakang dalam penyampaian pantun dalam dialek Negeri Sembilan itu," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Seri Menanti baru-baru ini.
Dengan alat muzik yang asas, Bongai dibezakan dengan irama nyanyian pantun yang disampaikan. Irama Bongai terbahagi kepada 10 jenis iaitu potasih, aduh, rentak kuda, gogar bacang, hitam manis Jempol, umpan bocik, dodoi anak, comporai, budu landai dan hitam manis.
Jelas Tok Shah, perbezaan irama dan rentak dapat diketahui melalui jenis pantun yang disampaikan serta lenggok nyanyian.
"Irama potasih, liriknya berunsurkan pantun budi yang menceritakan mengenai nilai-nilai dalam masyarakat. Irama aduh pula menyentuh elemen-elemen berkasih sayang yang sesuai untuk pasangan suami isteri mahupun kekasih," ujarnya.

POSTER persembahan Kumpulan Bongai Seri Tengkek yang diterajui Tok Shah dipaparkan di pintu masuk Restoran Warisan, Kampung Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Setiap bait lirik yang dinyanyikan oleh Tok Shah dalam persembahan merupakan hasil nukilannya sendiri berdasarkan pengalaman hidup. Tok Shah tetap mengekalkan rentak dan irama Bongai seperti yang dipelajari sejak turun temurun.
Penglibatan Tok Shah dalam muzik Bongai turut mendapat sokongan padu daripada isterinya, Norpipah Mohd. Noor, 65.
Setiap malam minggu, Tok Shah akan mengadakan persembahan bersama kumpulannya di Restoran Warisan, Kampung Terachi, Kuala Pilah sejak tiga tahun lalu.
Selain alat muzik, Tok Shah turut membawa lirik 10 irama Bongai tulisan jawi yang disimpan rapi dalam fail miliknya untuk ke pentas persembahan.
Norpipah juga merupakan penyanyi utama Kumpulan Bongai Seri Tengkek sewaktu mengadakan persembahan di Restoran Warisan.
Penglibatan Tok Shah dalam muzik Bongai tidak pernah dipandang enteng. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan mengiktiraf Tok Shah sebagai Tokoh Bongai 2013 kerana usaha tanpa jemunya memperjuangkan kesenian asli dari negeri itu.
Tok Shah dilantik sebagai jurulatih muzik Bongai di Sekolah Padang Lebar, Kuala Pilah dalam Program Perantisan yang dianjurkan oleh JKKN sepanjang tahun lalu.
Memulihara
Program Perantisan merupakan usaha JKKN untuk memulihara kesenian dan kebudayaan yang semakin pupus dengan kaedah mengajar golongan generasi muda di sekolah dan di kawasan kampung.
Selain mengadakan persembahan di Restoran Warisan, Tok Shah dan Kumpulan Bongai Seri Tengkek turut diundang ke majlis-majlis keramaian di Negeri Sembilan.
Walaupun berstatus ikon, Tok Shah tidak pernah memilih apatah lagi menetapkan harga untuk setiap persembahan. Sifat rendah dirinya itu membuatkan ramai penganjur persembahan kebudayaan mengambil kesempatan.
Kebanyakan penganjur hanya membayar kadar rendah kepada Tok Shah. Sudahlah bayaran yang sedikit, jumlah itu terpaksa diagihkan kepada ahli kumpulan yang lain.
"Saya menyertai Tok Shah dalam Kumpulan Bongai Seri Tengkek sejak dua tahun lalu. Saya kenal Tok Shah sebagai seorang yang komited tidak kira sewaktu latihan atau persembahan. Soal bayaran tidak pernah diambil peduli. Baginya, dia mahu persembahan Bongai ditonton oleh setiap lapisan masyarakat," ujar Ruswan Abd. Latib, 33.
Ruswan yang juga merupakan penyanyi lagu-lagu rakyat Negeri Sem
bilan banyak belajar teknik nyanyian Bongai daripada Tok Shah. Baginya, bukan semua penyanyi dapat mengalunkan irama Bongai sambil bermain biola atau akordian dengan sempurna seperti Tok Shah.
Baginya, walaupun peranan Tok Shah dalam muzik Bongai dipandang mudah oleh masyarakat, Ruswan tetap menyanjung ikon kebudayaan itu.
"Sebagai generasi belia, saya bertanggungjawab untuk meneruskan legasi Tok Shah. Bongai terkenal sebagai seni dari Kuala Pilah. Sebagai anak jati daerah ini, saya tidak mahu kesenian Bongai sekadar tinggal nama sahaja suatu hari nanti," ujar Pembantu Bahagian Bimbingan Seni Kebudayaan JKKN Negeri Sembilan itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: