Wednesday, June 25, 2014

DJ Dave Luah Rasa Kecewa YA1M Dipandang Sepi Artis Muda


DJ Dave kecewa sikap segelintir artis muda yang memandang sepi peranan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).
KUALA LUMPUR: Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave kesal tidak ramai artis generasi baharu berminat untuk memberikan sokongan terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh yayasan tersebut sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

DJ Dave atau nama sebenarnya  Irwan Shah Abdullah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menarik minat mereka untuk sama-sama melibatkan diri namun hanya segelintir yang sudi mengorbankan masa mereka.

"Saya sendiri tidak faham mengapa mereka enggan hadir apabila dijemput kerana yayasan ini ditubuhkan untuk kepentingan mereka juga pada masa depan.

"Bukan tidak ada artis baharu yang menyokong aktiviti kami tetapi penglibatan mereka masih kurang," katanya kepada mStar Online.

DJ Dave ditemui di pejabat YA1M di Kampung Attap di sini, Isnin.

YA1M yang ditubuhkan pada 25 Jun 2013 bertujuan untuk menjaga kebajikan dan memberi pembelaan kepada seluruh artis tempatan yang merangkumi penyanyi, pelakon dan pemuzik tanah air tanpa mengira agama dan bangsa.
DJ Dave.

Ia termasuk sumbangan kewangan kepada artis yang uzur, tiada punca pendapatan dan yang telah menjangkau umur 60 tahun ke atas.  Semua proses penyaluran sumbangan dibuat dengan telus selain dipantau oleh barisan pemegang amanah.

Dalam pada itu, DJ Dave berkata, sesetengah artis yayasan tersebut tidak mempunyai apa- apa kepentingan kepada mereka dan hanya memfokuskan kepada artis veteran.

Jelas DJ Dave, pihaknya sentiasa terbuka dalam menghulurkan bantuan kepada artis yang mempunyai masalah terutamanya kesihatan dan itu termasuk artis- artis baharu.

"Memang fokus kita memberi bantuan kepada artis veteran tetapi itu tidak bererti artis baharu dilupakan.

"Penglibatan mereka bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim dengan artis veteran malah boleh membantu dari segi kebajikan menerusi pelbagai cara dan tidak semestinya wang ringgit," ujarnya.

Sementara itu, DJ Dave berkata, pihaknya bersyukur apabila sentiasa mendapat sokongan daripada kerajaan dalam memastikan visi penubuhan yayasan tersebut tercapai.

Bagaimanapun kata DJ Dave, beliau tidak mahu terlalu bergantung kepada kerajaan dan akan berusaha menambah dana sedia ada menerusi pelbagai program yang bakal dijalankan selepas ini.

"Dana YA1M buat masa ini masih ada lebih daripada RM1 juta dan menerusi pelbagai program dan sokongan pihak korporat Insya-Allah akan membantu dalam menambahkan dana," katanya.

Barisan artis tempatan bergambar kenangan selepas majlis sidang media Kejohanan Badminton Piala YA1M yang bakal diadakan pada September depan.
Tambah DJ Dave, YA1M turut membantu golongan artis dengan menganjurkan ceramah seperti pengurusan masa, media sosial dan kewangan dengan menjemput penceramah profesional.
Dalam perkembangan lain, DJ Dave berkata, YA1M akan menganjurkan Kejohanan Badminton Piala YA1M bersama artis dan Media pada September depan.

Katanya, setakat ini ramai artis yang bergabung untuk memberikan sokongan dalam menjayakan aktiviti tersebut.

"Bermula Julai sehingga September ini kami akan mengadakan sesi latihan badminton kepada semua peserta terlibat.

"Selain beriadah aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara selebriti tidak kira veteran atau pun yang muda," katanya.

Tambah DJ Dave lagi, pihaknya juga akan mengadakan majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan nanti dengan pelbagai aktiviti kerohanian termasuk ceramah agama bersama ustaz Don Daniyal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: