Friday, May 16, 2014

Tukar pandangan geopolitik dunia




SEKERAS-KERAS hati ketua kabilah Taliban, namun beliau berjaya mendapatkan kebenarannya untuk memberi penjagaan perubatan kepada kaum wanita dalam kabilah itu.
Ketika bertugas di sebuah kawasan kampung di Iraq, pinggulnya ditembusi peluru. Dengan pantas beliau menjahit luka tembakan dan meneruskan tugasnya untuk membantu seorang wanita yang hendak bersalin.
Wanita yang tersemat keberanian dalam dirinya, cabaran tersebut merupakan rutin hariannya.
Beliau betah berada di zon perang. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood seorang pakar ginekologi yang juga pejuang kemanusiaan. Perang Kosovo meletus di selatan Eropah semasa berakhirnya satu lagi alaf.
Di tanah air, bisnes klinik Jemilah dan suaminya, Dr. Ashar Abdullah berjalan lancar.
Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk memuaskan hatinya. Jauh di lubuk hatinya, ada misi lebih besar yang perlu dilakukannya. Beliau membuat keputusan untuk ke Kosovo bagi membantu mangsa perang di sana.
Penubuhan
Jemilah menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan untuk menyatakan hasratnya. Namun, tidak ada satu pun yang memberi jawapan, justeru suaminya mencadangkan kepadanya agar menubuhkan sebuah badan dan menyusun sendiri pasukan sukarelawannya.
Cadangan suaminya itu menjadi titik tolak kepada penubuhan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).
"Satu daripada kelebihan menjadi pejuang kemanusiaan dan membentuk pertubuhan ialah saya boleh menyakinkan rakyat Malaysia bahawa sekiranya kita mahu menjadi negara maju, ia bukan tentang membina bangunan atau lebuh raya.
"Ia tentang membantu orang, berbelas kasihan terhadap semua orang. Kenapa mesti mengehadkan diri kita sebagai orang Asia atau rakyat Malaysia untuk memainkan peranan di peringkat global?" soalnya pada sebuah forum di Kelab Golf Diraja Selangor sewaktu berlangsungnya Kejohanan Tenis WTA Terbuka Malaysia BMW di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JEMILAH menjadi model Doktor Tanpa Sempadan dan menabur bakti di segenap dunia.


Bermula secara sederhana dengan beroperasi dari klinik Jemilah, Mercy Malaysia kini disegani sebagai sebuah badan yang banyak menabur jasa kepada masyarakat dan usaha murni tersebut masih berterusan.
Selepas Kosovo, tenaga sukarelawan yang diketuai oleh Jemilah bergerak ke Iraq, Afghanistan, Indonesia (Acheh), Somalia, Kemboja dan banyak lagi negara yang dilanda masalah untuk menghulurkan bantuan.
Jemilah mendedahkan, beliau membesar dalam keluarga daripada ibu bapa yang berlainan kaum dengan 13 adik-beradik termasuk saudara tiri. Keluarganya mengamalkan pelbagai kepercayaan seperti Islam, Kristian dan Buddha yang membolehkan beliau menyesuaikan diri dengan semua orang.
Erti kemanusiaan
Baginya, hormat menghormati, kasih sayang amat penting, tanpa mengira warna kulit, agama atau kepercayaan.
Semasa berusia belasan tahun, ibunya mengajar beliau erti kemanusiaan dengan menyuruhnya melakukan beberapa urusan. Menurut Jemilah, beliau diminta ke Singapura untuk membantu membeli buku sekolah dan keperluan lain untuk diberikan kepada saudara-mara sebelah ayahnya.
Ini berlaku selepas ayahnya meninggal dunia dan ketika itu beliau berusia sembilan tahun.
"Pada mulanya, saya memang memberontak. Saya fikir ibu tidak sayangkan saya kerana menyuruh saya pergi semasa cuti sekolah. Pada saya, ibu tidak mahu saya berada di rumah.
"Fikiran saya berubah apabila mengetahui tindakan ibu itu kerana beliau nampak kelainan dalam diri saya. Semasa ibu nazak, dia beritahu amat sayangkan saya dan dia tahu saya ini lain daripada yang lain.
"Ibu beritahu buatlah ikut kata hati nurani saya. Katanya, memang saya seorang doktor tetapi beliau tahu apa yang saya cari," cerita Jemilah mengenang kisah silamnya.
Ibu kepada dua anak lelaki itu menyifatkan cabaran paling hebat sebagai pejuang kemanusiaan dan kehidupan ialah mengekalkan motivasi.
Beliau berkongsi kisahnya semasa dilanda kemurungan akibat kejadian tembakan di Iraq.

WAJAH kanak-kanak yang menjadi mangsa persengketaan kuasa dunia menguatkan lagi semangat Jemilah yang menghulurkan bantuan.


Dua pekerjanya terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.
"Berkali-kali saya mengenang kembali apa yang telah kami lakukan dan baru saya boleh terima hakikat, apa yang berlaku bukan salah saya. Malah, pasukan Palang Merah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pernah dibom dan mereka itu diberi kawalan keselamatan yang ketat.
"Bagi saya, apa yang terus memotivasi saya ialah mereka yang terkorban dan cedera semasa misi. Saya tidak boleh mengecewakan mereka. Saya lakukan untuk pertubuhan ini dan untuk mereka yang saya cuba bantu dan kami akan teruskan usaha ini," katanya.
Menurut Jemilah, agama memberinya kekuatan dalam menjalankan misinya di samping suami yang senantiasa memberi sokongan.
Beliau juga amat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memahami keperluannya untuk berada jauh dari mereka.
Penghargaan
Tidak lupa juga, beliau menyatakan penghargaan kepada ramai pihak yang yakin dengan visinya.
Pada tahun 2009, sedekad selepas beliau mengasaskan Mercy Malaysia, Jemilah menyerahkan pertubuhan itu kepada orang lain untuk membolehkannya memberi bimbingan kepada para pemimpin muda di samping menulis.
"Kini, saya amat teruja dengan kepimpinan, tentang memupuk orang muda. Saya juga ingin menukar pandangan geopolitik dunia.
"Saya mahu kita yang dikenali sebagai global Selatan, mempunyai suara dalam isu global. Saya mahu kita mempengaruhi polisi selain mampu membentuk masa hadapan," tegas Jemilah.
Beliau akan meninggalkan Malaysia kerana ditawarkan jawatan yang membolehkannya melakukan tugas itu. Jemilah telah dilantik bagi mengetuai Sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di ibu pejabat PBB di New York.
BELIAU menjadi Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 2009.


Kepada anak-anak muda, beliau menggesa mereka mencari sesuatu yang mahu dilakukan.
Mungkin proses itu akan mengambil masa kerana beliau sendiri mengalaminya.
Beliau menasihatkan mereka supaya jangan takut untuk menukar karier apabila melakukan sesuatu yang mereka tidak suka.
"Walaupun masyarakat berasa skeptikal, lakukanlah. Dalam kehidupan, anda perlu mengambil risiko, risiko yang sudah difikir dengan semasak-masaknya.
Sekiranya anda tidak mengambilnya, sudah tentu anda akan terlepas peluang," nasihat Jemilah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: