Saturday, May 17, 2014

Lana bosan jadi penggoda

LANA NODIN memberitahu, kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia selepas menunaikan umrah pada Februari lalu.


SEJAK pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada bulan Februari lalu, Sabtu lalu barulah Kosmo! berkesempatan bertemu dengan pelakon sensasi, Lana Nodin.
Menariknya, ketika Lana, 35, meluangkan masa untuk hadir ke acara Potret Bersama Selebriti sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2014 yang berlangsung di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas, pelakon filem Chow Kit itu turut ditemani ibu tersayang, Zaimah, 60.
Malah, dia juga turut meluangkan masa sekitar 30 minit untuk beramah mesra serta bergambar dengan peminat di studio mini khas Kosmo! yang disediakan.
Kosmo! berbicara bersama Lana tentang kehidupannya kini dan perkembangan kariernya.
Kosmo!: Boleh ceritakan tentang pengalaman Lana sepanjang mengerjakan ibadah umrah di Mekah pada bulan Februari lalu?
LANA: Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan sudah menjadi rezeki saya apabila dapat mencium batu Hajarul Aswad.
Cuma, tempoh selama 12 hari mengerjakan umrah dirasakan tidak puas dan seboleh-bolehnya saya mahu berada di sana lebih lama lagi.
Apakah doa anda ketika berada di depan Kaabah?
Sudah tentu doa saya di depan Kaabah itu adalah rahsia diri saya sendiri. Bagaimanapun, saya akui memang ada berdoa untuk mendapatkan jodoh ketika di Jabal Rahmah.
Bagaimanakah dengan perkembangan terbaharu kerjaya lakonan anda sekarang?
Setakat ini tawaran berlakon memang banyak yang diterima, tetapi kebanyakannya masih belum muktamad lagi. Selagi tidak menandatangani apa-apa kontrak, saya tidak berani untuk bercerita. Namun begitu, saya mungkin akan terlibat dengan sebuah drama bersiri untuk terbitan RTM dan sebuah lagi super telemovie.
Adakah sejak pulang dari menunaikan ibadah umrah, anda menjadi selektif untuk memilih tawaran lakonan?
Kalau diikutkan sebelum menunaikan ibadah umrah pun saya sudah selektif memandangkan sering kali ditawarkan watak yang sama iaitu perempuan penggoda, sedangkan saya ingin watak yang lebih mencabar untuk perkembangan karier lakonan saya.
Seboleh-bolehnya, saya meminta supaya penerbit atau pengarah dapat menawarkan watak yang belum pernah saya bawakan lagi. Kalau untuk watak penggoda pula, rasanya lebih sesuai diberikan kepada pelakon baharu.
Selain lakonan, apakah aktiviti lain yang anda lakukan sekarang?
Sebenarnya, saya bakal melancarkan sebuah pusat kecantikan dalam tempoh terdekat ini dan sekarang ia masih lagi dalam proses perbincangan untuk fasa terakhir. Sekiranya semua proses sudah selesai, saya akan membuat satu majlis pelancaran produk terbaharu saya ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: