Saturday, May 24, 2014

KRU Nafi Punyai Masalah Dengan Wings


cwq
Wings pada pelancaran album mereka di Hard Rock Cafe pada Isnin lalu.
PETALING JAYA: Syarikat rakaman KRU Music menepis khabar angin pihaknya mempunyai masalah dengan legenda rock negara iaitu Wings gara-gara empat lagu kumpulan tersebut telah dicetak rompak secara digital sebelum album mereka, Menakluk Kosmos dilancarkan.

Naib Presidennya, Jaja Nadzir berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan syarikat tersebut turut menjadi mangsa keadaan cetak rompak selepas menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk projek album tersebut.
"Sejujurnya KRU Music tidak mempunyai masalah dalaman dengan Wings kerana mereka adalah artis kami dan juga rakan kongsi perniagaan KRU.
"Kami telah berusaha untuk menyekat penyebaran lagu tersebut di ruang digital tetapi malangnya ia telah dimuat turun dan telah dicetak rompak

"Lagipun inilah kali pertama album fizikal keluaran KRU dicetak rompak sebelum berada di pasaran. Diharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu ini dan pihak KRU akan membuat laporan polis dan kini sedang mengumpul maklumat berkaitan isu ini," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Pada Selasa lalu, Wings telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Malawati, Hulu Kelang, dekat sini berhubung empat lagu  dalam album terbaru mereka iaitu Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia, Bisa Yang Tertunda dan Hei Lihat Sini yang baru dipasarkan pada Khamis  telah dicetak rompak.

Lagu kumpulan itu bukan sahaja boleh dimuat naik secara percuma malah album itu juga boleh didengari menerusi aplikasi Spotify dan Deezer bagi pengguna telefon pintar sebelum sempat ia dilancarkan.
Perkara itu dikatakan berpunca daripada kelemahan pihak KRU sendiri.
Dalam pada itu vokalisnya, Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak KRU apabila pelancaran album mereka pada Isnin lalu dibuat seperti 'melepaskan batuk di tangga' dan tidak bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Jaja berkata, pihaknya juga sudah berhubung dengan anggota Wings untuk menjernihkan keadaan dan perjumpaan antara kedua-dua pihak akan diadakan tidak lama lagi  bagi menyelesaikan isu tersebut selain membincangkan langkah seterusnya bagi mempromosikan album Menakluk Kosmos. 

"Pihak kami akan berjumpa dengan Wings bagi menjernihkan keadaan. Mengenai isu pelancaran album Menakluk Kosmos yang gagal mendapat sambutan pihak media, saya mewakili KRU Music ingin memohon maaf kepada semua pihak termasuklah Wings  kerana sebarang kekurangan yang berlaku adalah diluar jangkaan kami," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: