Friday, May 16, 2014

Hijjaz terus gah


  • Hijjaz terus gah

SETIAP artis bukan saja perlu bekerja keras, tetapi juga harus bijak dalam mengatur strategi demi mengekalkan  populariti yang dicipta lebih-lebih lagi buat kumpulan nasyid.

Buktinya sehingga kini, kumpulan nasyid popular, Hijjaz masih berusaha membaiki kedudukan untuk memastikan mereka terus utuh di persada muzik.

Setelah 17 tahun mewarnai dunia muzik, kumpulan itu ternyata masih mempertahankan populariti hasil usaha gigih mereka.

Berkat usaha keras, lihatlah betapa kukuhnya nama Hijjaz di persada seni tanah air.

Hijjaz yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman sendiri, Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB), dianggotai empat jejaka, Isman Nadim Isam, Munif Ahmad, Faizal Osman dan Ariffin Rahim telah berkecimpung dalam dunia seni tanah air sejak 16 tahun lalu.

Mengakui ia bukanlah satu perkara yang mudah vokalis utamanya, Munif memberitahu, sokongan dan galakan daripada peminat adalah kekuatan buat Hijjaz.

"Kami berharap semua peminat teruslah menyokong kami.

"Apabila ada yang menyokong, industri nasyid di negara kita tidak akan jatuh merudum.

"Alhamdulillah, kami terus ‘hidup’ dengan sokongan dan galakan ini," katanya yang turut memberitahu HRSB juga telah melahirkan artis rakaman baharu seperti Taleeb Mizad dan Alidin.

Malah, kata Munif lagi, permintaan terhadap album nasyid secara amnya sentiasa menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan.


Dakwah menerusi nyanyian

Jika diselak-selak dan dipandang secara meluas, bidang nyanyian bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata.

Sebaliknya, ia mampu dijadikan wadah untuk berdakwah sekali gus menyampaikan sesuatu perkara yang baik kepada orang ramai.

Begitulah pandangan dan pendapat yang diutarakan oleh kumpulan nasyid popular, Hijjaz.

Dalam sibuk menyanyi dan menerima undangan persembahan pentas di merata-rata negara, kumpulan nasyid popular itu turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Vokalis utama Hijjaz, Munif Ahmad memberitahu, bersama Mapim, mereka pernah menghulurkan bantuan selepas menyaksikan sendiri kesusahan penduduk Gaza mengharungi hidup.

"Malah, sehingga kini, kami giat melakukan kerja kutipan dana secara berterusan ke mana sahaja lokasi yang mereka lawati dan sumbangan setakat ini sangat memberangsangkan," katanya.

Selain itu, atas bantuan NGO dan inisiatif Hijjaz, mereka kini sering berulang-alik ke Sabah bagi menjayakan aktiviti nyanyian sekali gus menyebarkan syiar Islam dengan gaya mereka tersendiri.

Kata Munif, selain menyanyi, aktiviti mereka juga diselang-seli dengan ceramah agama.

"Kehadiran kami sekadar membantu penceramah yang di undang untuk menarik perhatian penduduk setempat agar datang ke masjid mendengar ceramah," katanya.

Jelasnya, mereka lebih senang memilih kawasan luar bandar yang daif untuk didekati.

"Kami memilih kawasan yang agak daif untuk didekati. Di sana kami bukan sahaja membawa ilmu agama tetapi juga makanan seperti beras dan barangan lain.

"Bagaimanapun ada juga pihak yang tidak lepas tangan untuk turut membantu," katanya.


Sibuk berniaga

Begitu pun, Hijjaz tidak hanya bergantung kepada bidang nyanyian semata-mata sebaliknya kumpulan nasyid ini bijak menggunakan populariti dalam melebarkan sayap mereka.

Kumpulan ini pernah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan secara usaha sama dengan syarikat lain seperti mengendalikan perniagaan menguruskan Haji dan Umrah, menjual emas, busana Muslim dan lain-lain.

Tidak cukup setakat itu, ahli-ahli kumpulan ini juga sebenarnya mempunyai perniagaan mereka sendiri seperti pewangi, kopi. susu kambing, kedai kek, syarikat pengurusan majlis dan sebagainya.

"Kami pernah melalui banyak pengalaman pahit dalam dunia perniagaan.

"Justeru, kami bertekad untuk menjadikan pengalaman lalu sebagai landasan terbaik supaya terus maju," katanya.

Kata Munif, mereka membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan adalah sebagai jaminan masa depan.

"Bukan selamanya kami akan bergantung pada nyanyian dan perniagaan adalah persediaan yang sepatutnya dilakukan.

"Lebih-lebih lagi apabila kami semua sudah mencecah umur 40-an," katanya.

Jelasnya, kini, perniagaan adalah fokus utama buat Hijjaz.

"Biarpun kami sibuk dengan perniagaan yang diusahakan, tetapi bidang nyanyian masih tidak dilupakan.

"Setakat ini, pembahagian masa kami di antara urusan perniagaan dan nyanyian dapat diuruskan dengan baik," katanya.


Album untuk Palestin

Selepas melancarkan album ke-17, Janji, Hijjaz kini tampil dengan buah tangan terbaharu mereka, Pelita Hidup 6.

Pelita Hidup 6: Demi Islam dan Perjuangan  adalah album kesinambungan siri Pelita Hidup yang sangat sinonim dengan kumpulan nasyid popular itu.

Seperti siri-siri sebelum ini, Hijjaz masih lagi mengekalkan konsep zikir dan doa serta pemilihan subjek yang berbeza dalam setiap album Pelita Hidup.

Kali ini, mereka tampil dengan membawakan isu Palestin sebagai teras utama dan turut diterbitkan dengan kerjasama Mapim.

Selain lagu-lagu seperti Bersatu Kita Teguh, Pejuang Al-Qasam dan Anak Gaza, album tersebut turut memuatkan bacaan al-Quran dari surah al-Imran dan doa Qunut Nazilah.

"Kami sangat teruja dengan kelahiran album ini terutamanya dari segi kualiti muzik dan keseluruhan.

"Penghasilan album ini adalah yang terbaik, malah, kami sentiasa optimis untuk terus menghasilkan album selepas ini," katanya.

Pelita Hidup 6: Demi Islam dan Perjuangan sudah berada di pasaran sejak pertengahan November tahun lalu dengan harga RM25.90 di seluruh negara.

"Keuntungan dari album berkenaan akan disalurkan kepada Tabung Gaza Palestin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hijjaz kini dalam proses menyiapkan album terbaharu mereka, Selawat Nabi Volume 2, yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: