Friday, May 16, 2014

Beri atau ambil apa sahaja!


  • Beri atau ambil apa asahaja!Aktivis FreeMarket sibuk melayan pelanggan pada program terdahulu.

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu (Mcoba) bersama FreeMarket akan menganjurkan Inisiatif Ekonomi Hibah iaitu program pemberian barangan oleh individu secara percuma kepada pihak memerlukan, Ahad ini.
Menurut wakil Mcoba, Muhammad Zahid Abd Aziz, ia merupakan aktiviti Mcoba yang pertama dengan kerjasama FreeMarket dalam menyediakan satu ruangan ’beri atau ambil apa sahaja’ secara percuma.
"Sebelum ini, aktivis FreeMarket menjalankan inisiatif itu di beberapa tempat sekitar Lembah Klang selama dua hari dan sambutannya hangat.
“Tujuan kita adakan program ini untuk luaskan sedekah kepada pihak memerlukan terutama asnaf dan orang kurang mampu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Muhammad Zahid berkata, aktiviti di Bangunan Mcoba, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, yang akan bermula jam 9 hingga 11 pagi itu, diharap dapat menceriakan golongan itu yang mahu memiliki sesuatu barangan secara percuma.
"Barangan itu akan diberikan oleh individu baik hati yang tidak mahu lagi menggunakannya. Sekiranya barangan itu mahu dijual, adakah akan menguntungkan, atau memberikan kepada orang lebih memerlukan akan lebih memuaskan hati?
"Namun barangan yang mahu diberikan mestilah masih berkeadaan baik dan telah dibersihkan.
Mereka yang ingin memberi barangan digalakkan berada di bangunan Mcoba seawal jam 7 pagi Ahad ini bagi memudahkan penyusunan barangan," katanya.
Sementara itu Zahid berkata, pihak FreeMarket akan membawa beberapa asnaf sekitar Lembah Klang dan orang kurang berkemampuan bagi memilih barangan disukai.
"Program ini bukan saja terbuka kepada golongan tersebut, malah kepada orang ramai yang berminat mendapatkan barangan percuma.
"Antara barangan yang boleh disumbangkan dan boleh dibawa pulang seperti, alat elektronik, buku, pakaian, aksesori, novel, perabot, kasut, anak patung dan banyak lagi," katanya.
Selain mengumpulkan barangan percuma, pemeriksaan kesihatan percuma dan kiosk penjagaan diri turut disediakan nanti.
Lebih menarik, penganjur juga menyediakan makanan dan minuman percuma kepada pengunjung.
"Kami tidak benarkan sebarang bentuk jual beli pada program tersebut kerana semuanya adalah percuma," katanya.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Yusuf Harun, 0192573501 atau Zahid Aziz, 0122125405 atau Hayati, 0193185667.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: