Tuesday, May 27, 2014

ABPBH: Aaron Aziz Tidak Diam Diri Jika Kemenangan Dipertikai

Aaron tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang akan mempertikaikan kemenangannya dalam ABPBH 2013.
PUTRAJAYA: Pelakon Aaron Aziz tidak akan berdiam diri dan akan bersemuka sekiranya ada pihak yang mempertikaikan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) buat kali kedua pada Sabtu lalu.

Aaron bagaimanapun berkata, dia berharap kemenangannya itu tidak menjadi kontroversi seperti mana kemenangannya kali pertama pada 2011 kerana ia ditentukan oleh peminat.

"Harap-harap tiada pihak yang mempertikaikan kemenangan ini kerana ia adalah suara para peminat saya yang bertungkus lumus mengundi dalam memberi sokongan kepada kerjaya seni saya.

"Bagaimanapun sekiranya perkara itu berlaku saya tidak akan berdiam diri dan akan bersemuka dengan pihak berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Pada acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, Aaron memperoleh 76,742 undi sehingga melayakkannya merangkul trofi utama itu selain turut dipilih menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.
Aaron merangkul trofi Bintang Popular ABPBH buat kali kedua.

Dalam pada itu, Aaron berkata, dia tidak menyangka akan diumumkan sebagai Bintang Paling Popular kerana tidak banyak produk melibatkannya sejak akhir-akhir ini.

Malah kata Aaron, dia dapat merasakan popularitinya tidak segah dahulu namun menganggap ia satu fasa biasa sebagai dan sentiasa bersedia menghadapi zaman kejatuhannya.

"Saya benar-benar terkejut dan hilang kata-kata ketika diumumkan sebagai pemenang kerana saya merasakan populariti saya semakin pudar tambahan pula semakin ramai pelakon lelaki baharu muncul dalam industri membuatkan saya tidak mengharapkan sebarang kemenangan.

"Namun kemenangan ini adalah bukti peminat saya sentiasa memberikan sokongan pada mereka terhadap kerjaya saya di negara ini," ujarnya.

Pelakon berasal dari Singapura ini bersyukur masih mendapat sokongan peminat di Malaysia.

Sementara itu, Aaron berkata, kemenangan itu tidak memberikan tekanan kepadanya malah sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan karya terbaik buat peminat setianya.

"Alhamdulillah, sokongan peminat dan isteri saya yang banyak menguruskan kerjaya saya sehingga ke tahap ini akan terus menjadi penguat semangat untuk terus berkarya dengan lebih baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, dia kini sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran filem selain telemovie khas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: