Friday, May 16, 2014

Abang gigih sara enam adik


  • Abang gigih sara enam adikMohd Arif menerima sumbangan RM500 daripada Timbalan Pengerusi Pitu, Norfaridah Tamami sambil diperhatikan Miswan (belakang, kanan) ketika lawatan Pitu ke rumah keluarga berkenaan

HULU SELANGOR - Selepas kehilangan bapa tiga tahun lalu, kehidupan lapan beradik yang merupakan anak-anak kepada bekas tentera tambah memilukan apabila kehilangan ibu mereka pada April lalu.

Difahamkan kini, tanggungjawab terletak pada bahu anak kedua keluarga ini, Mohd Arif Nasuha Mohd Amran, 26, yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap.

"Saya hanya kerja sendiri. Untuk keperluan keluarga, kami hanya kumpul duit adik-beradik yang dah bekerja.

“Ada juga pemberian sagu hati untuk arwah ayah (daripada pencen bekas tentera),” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, abang sulungnya sudah berumah tangga manakala dua adiknya bekerja di Bukit Sentosa dan Rawang sementara empat lagi masih bersekolah.

"Tanggungjawab saya kini semakin berat kerana perlu memastikan keperluan adik-adik terutama yang masih bersekolah.

"Tapi demi keluarga saya akan berusaha memastikan keperluan mereka sentiasa mencukupi," katanya.

Mohd Arif berkata, Allahyarham bapanya, Mohd Amran Nek Abdul Halim meninggal dunia pada 2011 akibat penyakit tiga serangkai manakala Allahyarhamah ibunya, Faridah Mohd Jais meninggal setelah disahkan mengalami kekurangan sel darah merah.

"Kalau dua adik saya masuk asrama mungkin saya boleh terus bekerja tapi sekarang saya perlu jaga mereka kerana tiada orang di rumah.

“Tapi saya sebagai abang akan pastikan adik-adik yang bersekolah dapat teruskan sekolah. Pendidikan mereka lebih penting,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui terdapat bantuan yang boleh diterima daripada agensi berkaitan namun dia tetap akan berusaha menyara kehidupan keluarga bersama dua adik yang telah bekerja.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Bukit Sentosa (Pitu), Miswan Kaslan ketika menziarahi keluarga tersebut berkata, sebagai pertubuhan yang pernah bergerak bersama Allahyarhamah ibu mereka, Pitu akan berusaha memastikan kebajikan
keluarga itu terjaga.

“Kami akan beri sokongan, nasihat dan semangat kepada anak-anak arwah supaya terus bangun bersama-sama.

“Bagi yang sekolah, teruskan bersekolah begitu juga yang bekerja sebab kehidupan mereka perlu diteruskan,” katanya.

Katanya, Pitu juga akan berusaha menguruskan bantuan yang bersesuaian untuk keluarga tersebut daripada agensi kebajikan dengan memanjangkan permohonan dibuat.

"Keutamaan perlu diberikan terhadap bantuan persekolahan selain kebajikan atau keperluan makanan keluarga berkenaan," katanya.

Menurut Miswan, Allahyarhamah Faridah sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Pitu dan Timbalan Setiausaha Persatuan Serikandi Veteran Tentera Malaysia (PSVTM), Daerah Hulu Selangor.

“Pitu juga telah melancarkan tabung derma kilat untuk anak-anak yatim piatu ini dan berhasrat mengumpulkan sehingga genap RM1,000.

“Tapi, kutipan RM500 setakat ini akan diserahkan terus dan bakinya selepas dapat dikumpulkan sepenuhnya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PSVTM, Rogayah Ghazali akan berusaha memanjangkan permohonan keluarga berkenaan melalui Jabatan Hal Ehwal persatuan bagi meringankan beban ditanggung.

“Saya dah berjanji untuk membawa salah seorang anak ini untuk bawa berjumpa presiden pada 30 Mei ini untuk dapatkan bantuan yang bersesuaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: