Tuesday, April 29, 2014

Pokok pisang bertandan tiga


  • Pokok pisang bertandan tigaPokok pisang bertandan tiga yang tumbuh di kebun Mohammad Dali.

KOTA TINGGI - Seorang peneroka pelik apabila mendapati pokok pisang embun yang ditanam di ladang kelapa sawit miliknya menghasilkan tiga tandan pisang.

Mohammad Dali Rosman, 56, berkata, keanehan itu disedari seorang pekerja pembersihan yang diupah menebas semak sekitar kawasan itu.

Menurutnya, sejak mengetahui mengenainya ramai kenalan berkunjung ke kebunnya meskipun jarak ke lokasi jauh iaitu kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

“Saya diberitahu pekerja bahawa salah satu pokok pisang saya mengeluarkan buah aneh. Pada awalnya saya tidak percaya, namun selepas melihat sendiri saya terkejut. Saudara mara dan kenalan juga sanggup ke kebun ini untuk melihat pokok ini," katanya.

Menurutnya, selain pokok pisang itu, dia turut menanam pelbagai jenis pisang antaranya pisang nipah, pisang nangka dan pisang raja di kebun sama.

Katanya, sejak dahulu lagi dia suka berkebun, malah sebelum ini dia pernah menanam cili sebelum bertukar kepada tanaman pisang.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia mendapat benih pisang tersebut daripada adiknya yang tinggal di Pasir Gudang sebelum menanamnya di kebun.

“Selain pisang bertandan tiga itu, ada salah satu daripada pokok pisang di kebun itu yang turut mengeluarkan jantung pisang pelik yang mana hampir menyerupai bentuk bunga," katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Dali sekeluarga beranggapan, kejadian aneh ini sebahagian tanda kebesaran ALLAH dan bersyukur dapat melihat kejadian berkenaan pada sebatang pokok pisang yang ditanamnya.

“Tambahan pula kejadian pelik ini merupakan pertama kali saya temui seumur hidup saya,” katanya yang merupakan Ketua Blok di Felda Simpang Waha, di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: