Thursday, April 24, 2014

Mural Dulux ceriakan sekolah

Sekolah Kebangsaan Puteri, Seremban, Negeri Sembilan dipilih sebagai perintis program Sekolah Lestari Bersama Dulux sebagai satu cara memberi kesedaran dan didikan kepada generasi muda.

DULUX berusaha memelihara alam sekitar menerusi Program Sekolah Lestari Bersama Dulux.


BAGI mewujudkan suasana hijau dalam kawasan persekitaran sekolah, Dulux di bawah syarikat pembuatannya, AkzoNobel melancarkan program Sekolah Lestari Bersama Dulux sebagai satu cara memberi kesedaran dan didikan kepada generasi muda.
Ia diadakan bagi meningkatkan pengetahuan mereka mengenai pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bermula dari akar umbi.
Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri, Seremban, Negeri Sembilan dipilih sebagai perintis program tersebut yang dilancarkan oleh Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Datuk Redza baru-baru ini.

MURAL bertemakan alam sekitar dilukis di dinding-dinding kelas oleh guru SK Puteri dan pelajar UiTM menggunakan cat yang disediakan oleh Dulux.


Antara aktiviti yang diadakan ialah ceramah mengenai penjimatan sumber air dan elektrik, larangan pembakaran terbuka dan penanaman pokok di sekitar kawasan sekolah.
Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada penggunaan produk mesra alam serta amalan 3R iaitu Reduce (Kurang), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula).
Pada masa sama, sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor turut serta dalam aktiviti gotong-royong dan mengecat kelas-kelas menggunakan bahan-bahan yang disediakan oleh kilang Dulux di Nilai.
Mereka membantu guru-guru selama enam hari di sekolah terbabit.

SK Puteri menjadi perintis kepada program alam sekitar yang dianjurkan oleh Dulux.


Pengarah Urusan Akzo Nobel Paints (Malaysia) Sdn. Bhd., Goh Cheok Weng berkata, program tersebut menunjukkan komitmen Dulux dalam membina masyarakat yang mementingkan penjagaan alam sekitar.
"Sokongan menyeluruh daripada masyarakat amat digalakkan bagi meningkatkan kesedaran tersebut kerana ia memberi kesan kepada kehidupan sejagat," ujarnya.
Dia menambah, perkara tersebut sentiasa menjadi keutamaan kepada Dulux dengan memastikan proses pengeluaran dan operasi tidak merosakkan sumber dan alam sekitar.
Program berkenaan mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendidikan Negeri melalui perkongsian sumber dan pengetahuan dalam hal-hal berkaitan.
Versi Sekolah Lestari Dulux merupakan adaptasi daripada konsep Sekolah Lestari yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pendidikan beberapa tahun lalu.
Strategi pelaksanaan program akan melalui empat peringkat bermula Fasa 1 iaitu ceramah kesedaran, Fasa 2 (aktiviti promosi), Fasa 3 (pelaksanaan menyeluruh melalui sistem dan amalan mesra alam) dan Fasa 4 (penambahbaikan melalui perkongsian atau penanda aras).
Selain pendedahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, Dulux turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta masyarakat sekeliling bagi mewujudkan kesedaran secara keseluruhan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: