Thursday, April 24, 2014

Mikail, Fadlan Pablo cari jalan keluar




MENGANGKAT sniper (penembak hendap) sebagai judul filem, ia satu percubaan berani yang dicuba oleh pengarah dan pelakon Pierre Andre.
Filem terbaharu itu turut membariskan tiga pelakon yang masih rapuh dalam dunia lakonan iaitu Mikail Andre, Fadlan Hazim dan Pablo Amirul.
Namun, subjek dan barisan pelakon yang disajikan dalam filem itu tidak seharusnya dipandang enteng sebelum ia disaksikan sendiri apabila ditayangkan di layar perak hari ini.
Menjelaskan sedikit mengenai ketiga-tiga pelakon utama filem Sniper itu, nama Mikail mula dikenali menerusi filem Highland Tower manakala Fadlan pula menerusi kumpulan VIP bersama Adam AF2 dan juga lakonannya dalam drama rantaian Jodoh 2.
Bagaimanapun, raut wajah jejaka bernama Pablo Amirul ini mungkin sedikit canggung di mata orang ramai. Jika ada yang sedar, Pablo sebelum ini merupakan pelagak ngeri untuk beberapa buah filem.
Ikuti cerita dan pengalaman Mikail, Fadlan dan Pablo berlakon dalam filem Sniper.
Sniper berkisar mengenai Ahmad (Mikail) dan Rafi (Fadlan) yang ditemukan dalam sebuah permainan pembunuhan yang dicipta oleh seseorang yang tidak dikenali.
Berbekalkan senjata penembak hendap dan beberapa peluru, mereka dikehendaki untuk membunuh antara satu sama lain bagi melepaskan diri masing-masing.
Mereka juga perlu mencari jalan keluar dan dalang di sebalik permainan berbahaya itu.
Mikail cedera
Biarpun namanya mula dikenali menerusi filem Highland Tower, namun nama Mikail masih asing dalam dunia lakonan.
Sedar dia perlu berjuang lebih dengan pelakon-pelakon baharu yang memiliki rupa paras kacak, akui pemuda berusia 22 tahun itu, lakonan bermutu menjadi pegangannya untuk mencipta nama dalam bidang lakonan.
"Saya sedar ramai pelakon baharu dalam industri lakonan di Malaysia ini. Bagi saya, itu satu saingan yang bagus kepada saya untuk lebih berjuang dari segi lakonan supaya menonjol daripada pelakon-pelakon lain," jelasnya yang meminati lakonan Sidi Oraza dan juga ibunya, Khatijah Tan.
NASKHAH Sniper diterajui tiga anak muda (dari kiri), Mikail Andre, Pablo Amirul dan Fadlan Hazim.


Empat tahun berada dalam industri lakonan, Mikail sedar momentum lakonannya semakin bagus.
Kalau dulu dia berlakon 'kosong' tetapi kini, ungkapnya, lakonannya semakin matang dengan asas lakonan yang tepat.
Berkongsi pengalaman berlakon dalam filem aksi itu, Mikail akui mengalami beberapa kecederaan.
"Kami berlakon di sebuah kawasan terbiar yang dulunya terkenal iaitu Mimaland, Selangor.
"Kawasan itu 'keras' dan banyak terdapat saluran lubang. Ketika menjalani penggambaran selama dua minggu di sana, kaki saya banyak kali terseliuh dan tercedera termasuk ke dalam saluran yang tidak kelihatan.
"Kami juga perlu berlari sambil membawa senjata api sniper yang beratnya mencecah 12 kilogram. Malah, kami juga memegangnya dalam tempoh masa yang lama dengan hanya dibekalkan walkie- talkie sepanjang berada di dalam hutan tersebut," jelasnya mengenai kawasan berbukit seluas 300 ekar yang ditutup pada tahun 1994 atas faktor keselamatan itu.
Fadlan sering kecundang
Berbekalkan wajah kacak bukan 'tiket' mudah buat Fadlan untuk menjadi seorang pelakon.
Menurut jejaka berasal dari Kuala Lumpur itu, nasibnya dalam bidang lakonan sering kecundang apabila tidak diterima sebagai pelakon biarpun kerap menjalani sesi uji bakat lakonan.
"Banyak kali kena tolak. Memang sangat kecewa tetapi saya tidak putus asa. Saya memperbaiki lakonan di depan cermin dan akhirnya diterima berlakon sebagai kameo," ungkapnya jujur menceritakan pahit maung menjadi pelakon.
Disoal sama ada dia ingin menjadi pelakon kerana populariti yang bakal dikecapi, Fadlan menolak cepat dakwaan tersebut.
Jejaka berusia 22 tahun itu mengakui minat dengan lakonan Datuk Rosyam Nor sejak kecil lagi dan menaruh impian untuk menjadi seperti pelakon itu suatu hari nanti.
Selain itu, tanggungjawab sebagai anak sulung dalam menjaga ibu dan adik-adiknya selepas ketiadaan bapanya mendorong kuat untuk Fadlan mencari kerja bagi menampung kehidupan keluarganya.
Menurutnya, selepas ibu bapanya bercerai ketika berusia 16 tahun, dia yang membantu keluarganya mencari rezeki.
Memegang watak sebagai Rafi iaitu atlet sukan menembak dalam Sniper, Fadlan bersyukur akhirnya dia diberi peranan utama dalam filem terbitan MIG itu.
"Sebelum ini saya sering ditawarkan watak kameo dan juga pembantu dalam drama. Syukur, saya diberi peluang untuk membawa watak utama dalam filem.
Ternyata peranan Rafi yang dibawa cukup mencabar apabila Fadlan terpaksa belajar menembak dan melakukan aksi lagak ngeri selama dua minggu.
"Mujur, Pablo banyak mengajar saya dalam menjayakan aksi lagak ngeri," ucapnya.

SATU babak dalam filem Sniper yang membabitkan Fadlan, Mikail dan Pablo.


Pablo anggap Farid, Bront mentor
Bermula sebagai pelagak ngeri sejak empat tahun lalu, Pablo Amirul atau nama sebenarnya, Amirul Hisyam Mohd. Syakri juga pernah berlakon sebagai 'pak pacak' dengan bayaran hanya RM60 hingga RM80 sahaja.
"Ketika itu apa sahaja tawaran saya ambil, waima menjadi hantu, orang yang kena pukul mahupun menjadi perempuan. Namun, semuanya berubah apabila saya menghadiri sesi uji bakat filem Anak Jantan yang dilakonkan oleh Bront Palarae dan Farid Kamil.
"Saya ditawarkan dengan watak pembantu dan sejak itu saya mula rapat dengan Bront dan Farid. Saya anggap mereka sebagai mentor kerana sikap mereka yang tidak jemu mengajar dan memberi nasihat mengenai lakonan kepada saya" luah jejaka berusia 29 tahun itu.
Malah, keputusannya menyertai keluarga MIG sejak Mei tahun lalu, membuka jalan untuk dirinya terus sukses dalam lapangan seni lakonan.
Menceritakan wataknya sebagai Jim, seorang anggota penembak tepat dalam pasukan keselamatan negara, Pablo memberitahu, wataknya tidak mempunyai dialog yang banyak.
Bagaimanapun, ia menyukarkannya kerana perlu bermain dengan ekspresi muka dan anggota badan untuk menterjemahkan karakter watak.
"Walaupun watak saya kurang dialog, lebih kepada anggota badan dan ekspresi muka yang menggerunkan, sebenarnya ia lebih sukar untuk dihayati," kongsinya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: