Monday, April 28, 2014

Makin ramai datang tadah air bukit


  • Makin ramai datang tadah air bukitJamilah sabar menadah air dalam botol kecil untuk stok tiga minggu.

ULU YAM - Sebelum ini, kawasan kaki bukit menghala ke Ulu Yam berhampiran pusat rekreasi Hutan Lipur Sungai Tua, menjadi tumpuan kerana keinginan mereka yang mahukan air bersih dan semula jadi.

Tetapi, selepas proses catuan bekalan air dilaksanakan, kawasan tadahan ini menjadi semakin popular dan dikunjungi kerana keperluan harian.

Mereka yang datang ke sini sanggup berbaris lama menunggu giliran menadah air bukit dari saluran yang disediakan untuk dijadikan bekalan keperluan sepanjang musim catuan.

Seorang pesara, Nik Halim Nik Omar, 57, dari Kepong sanggup ke sini untuk mendapat bekalan air bagi stok kegunaan keluarga.

Dia yang tinggal bersama isteri dan empat anaknya sanggup berulang-alik berkali-kali dalam masa sehari untuk mendapatkan air di situ ketika dicatu.

“Tak kisahlah jauh pun, tak apa tunggu berjam-jam janji dapat air. Bila air terputus ganggu semua keperluan.

“Sejak catu boleh dikatakan hampir setiap hari saya datang sini. Pernah tunggu giliran sampai dua jam sebab ramai yang nak ambil air,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang mekanik,  Chan Peng Hoi, 46 berkata, dia dan keluarga juga antara pengguna tegar sumber air bukit itu.

“Dulu datang sini tiga minggu sekali tapi sekarang setiap minggu saya datang ambil bekalan.

“Isteri saya suka minum air bukit sebab katanya sakit badan dan lenguh-lenguh hilang lepas minum,” katanya yang datang dari Batang Kali.

Jamaliah Nasir, 55, pula telah beberapa kali pulang dengan botol kosong apabila kawasan tersebut mula jadi perhatian.

“Saya cuba nasib hari ini (Sabtu) ajak suami pergi ambil air sebab risau esok (Ahad) lagi ramai. Nasib kami baik hari ini tak perlu tunggu lama.

“Rumah saya memang tak kena catu tapi memang selalu datang sini ambil air untuk minum, Air bukit ni baik untuk kesihatan dan bersih tak perlu pakai penapis,” katanya yang tinggal di Selayang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: