Friday, April 25, 2014

Jus detoks sayur dan buah



RASULULLAH S.A.W bersabda: “Bahawasanya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat serta dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Pada hari ini, dunia global telah menemukan pelbagai ramuan ubat dan mencipta teknologi baharu untuk membantu merawat masalah kesihatan yang dihidapi. Ubat-ubat dalam bentuk pil atau tablet menjadi antara keperluan asas setiap klinik dan hospital bagi merawat pelbagai jenis penyakit.
Bagaimanapun, ada ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk dan muntah, malah jika diambil untuk tempoh masa panjang ia mampu menyebabkan masalah kegagalan fungsi organ tubuh.
Justeru, ingin membawa perubahan kaedah perubatan yang lebih selamat tanpa kesan sampingan, Pakar Terapi Jus atau dikenali sebagai cef diet, Na’ila Zakiyah M. Ariffin mendedahkan sejuta khasiat jus sayur-sayuran dan buah-buahan dalam Bengkel Berjus yang dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor.
Bengkel tersebut berlangsung pada 18 April lalu bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di Shah Alam. Kira-kira 120 peserta terdiri daripada ahli Perkep, anggota polis dan penjawat awam terlibat sama dalam bengkel tersebut.
Menurut Na’ila, jus antara kaedah perubatan paling baik kerana ia berbentuk cecair dan organ dalaman tidak perlu bekerja keras untuk menyerap zat-zat diperlukan badan, berbanding tablet.
“Selain itu, jus juga mengandungi khasiat yang padat, membantu mengurangkan berat badan dan membantu merawat penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, hati, dan buah pinggang,” jelasnya ketika ditemui di bengkel berkenaan.
Jus disarankan kerana mengandungi enam keperluan utama badan iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan zat galian serta air.
NAI'LA menawarkan kaedah rawatan menggunakan jus mengikut jenis komplikasi penyakit.


Karbohidrat
Ujarnya, kebanyakan rakyat Malaysia hanya mengambil karbohidrat ringkas seperti roti canai dan makanan segera. Tetapi, badan lebih memerlukan karbohidrat kompleks seperti kentang dan kacang.
Begitu juga jenis makanan mengandungi protein. Protein daripada sayur-sayuran lebih baik berbanding haiwan seperti daging dan ikan.
Mengisi slot selama tiga jam, Na'ila berkongsi beberapa resipi jus detoks yang membantu memperbaiki tahap kesihatan untuk hati, buah pinggang dan kulit.
Antara bahan-bahan diperlukan untuk jus detoksifikasi hati ialah sebiji peria katak dan separuh lemon. Dua bahan ini digandingkan bersama tanpa menambah air atau gula ke dalam jus.
Bagi detoksifikasi buah pinggang, antara bahan-bahan yang diperlukan ialah sebatang timun, tiga batang daun saderi dan separuh lemon yang diperah bersama dengan kulitnya. Detoks kulit pula memerlukan sebiji lada benggala, sebatang lobak merah dan sebiji epal.
Namun, Na'ila memberitahu, jus-jus tersebut perlu diperah menggunakan mesin pemerah jus khas tanpa bilah pisau. Ia bagi mengekalkan khasiat sayur-sayuran dan buahan-buahan serta jus diperah dapat tahan lebih lama.
Sambil membuat demonstrasi, sampel jus turut diedarkan kepada para peserta untuk memberi gambaran mengenai rasa sebenar minuman berkhasiat itu.
Rata-rata reaksi wajah peserta menggambarkan rasa pahit, manakala jus campuran timun, daun saderi dan lemon boleh ditelan dengan hanya sekali hirupan.

PESERTA tidak melepaskan peluang mencatat resipi-resipi khasiat yang dikongsikan dalam Bengkel Berjus.


Melawas
Na’ila turut memberitahu, timun baik untuk melawas pembuangan air kecil, sementara lemon mempunyai khasiat yang dapat membantu merawat penyakit batu karang.
Salah seorang peserta, Inspektor Hidayah Rosdan, 28, berkata, dia tidak menyangka beberapa bahan yang sering digunakan untuk memasak boleh dijadikan minuman berkhasiat.
“Apabila menyebut jus, apa yang terlintas adalah minuman daripada buah-buahan seperti epal, oren dan nanas. Bagaimanapun, di bengkel ini saya didedahkan dengan pembuatan jus daripada sayur-sayuran.
“Saya juga cuba dapatkan ramuan terbaik untuk pengurangan dan mengawal kolesterol dan diberitahu jus kekacang seperti walnut yang kaya dengan omega tiga adalah pilihan terbaik,” jelasnya yang memberitahu, selain jus, senaman juga diperlukan untuk menjamin tahap kesihatan diri.
Selain berkesempatan meminum jus, peserta turut diberi peluang bertanyakan beberapa soalan dan kebanyakan mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenai jenis penyakit yang boleh dirawat menerusi minuman tersebut.
Na’ila memberitahu, antara penyakit serius yang boleh dirawat dengan meminum jus ialah sakit jantung. Bahan seperti bawang putih dan kacang walnut membantu mencairkan darah, sekali gus melancarkan peredarannya ke seluruh tubuh. Namun, mereka yang sedang mengambil rawatan pil dinasihatkan tidak mengambil jus berkenaan.
Mengulas lanjut, gabungan nanas dan halia baik bagi masalah gout dan minyak zaitun boleh merawat penyakit kulit. Sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna oren bagus untuk mata dan memperbaiki masalah rabun.

SAMPEL jus turut diedarkan kepada peserta sebagai pengenalan rasa sebenar minuman berkhasiat.


Berkongsi
Dalam pada itu, Pengerusi Perkep negeri Selangor, Datin Umminajah Salleh memberitahu, bengkel itu dianjurkan bagi berkongsi rahsia kesihatan dengan harga yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa pun.
“Saya yakin ramai terutama ahli Perkep beranggapan hanya bahan-bahan organik yang dijual pada harga mahal mempunyai khasiat tinggi.
“Bagaimanapun, tanpa disedari mereka, bahan-bahan asas masakan seperti ubi kentang, halia dan madu juga kaya dengan khasiat sebenar dan mampu memperbaiki tahap kesihatan. Malah, harganya juga jauh lebih murah,” jelasnya ketika ditemui di bengkel tersebut. Katanya, bengkel tersebut merupakan anjuran pertama kali melibatkan isu kesihatan.
Tambahnya, pada Hari Polis Ke-207 baru-baru ini, ujian saringan kesihatan anggota polis Daerah Sungai Buloh telah dilakukan di Hospital Sungai Buloh. Keputusan pemeriksaan mendapati sebanyak 30 peratus anggota polis disahkan menghidap diabetes, hipertensi dan sakit jantung.
Ekoran itu, beliau berharap sesi pembelajaran pembuatan jus di rumah tersebut secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan anggota polis Selangor yang dilihat membimbangkan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: