Friday, April 25, 2014

DBLK tampil barisan pelakon baharu


DARI kiri: Dayana, Zahid dan Yasmin Hani teruja untuk terbabit di dalam DBLK.


EMPAT pelakon baharu telah dipilih sebagai peneraju bersama bagi pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 9 hingga 18 Mei depan.
Berkongsi pentas bersama Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira Loy dan Dafi Ismail Sabri, pelakon-pelakon tersebut ialah Zahid Baharuddin (memegang watak Tuan), Yasmin Hani Richardson (Rosnah dewasa), Dayana Baharin (Rosnah remaja) dan Alina Hassan (Mak Hamid).
Penerbit DBLK, Siti Rohayah Attan berkata, keempat-empat pelakon itu dipilih kerana watak-watak yang bakal digalas oleh mereka masih kosong dan perlu diisi.
"Berbanding pelakon lain, Alina mempunyai pengalaman dalam bidang pementasan teater. Walaupun ini merupakan pentas teater pertama bagi Zahid, Yasmin Hani dan Dayana, namun saya percaya dengan kemampuan mereka.
"Seperti kita semua sedia maklum, ketiga-tiga pelakon tersebut begitu aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian sebelum bersetuju untuk menyertai teater ini," ujar Siti Rohayah yang mementingkan aspek lakonan dan nyanyian dalam kalangan pelakon pilihannya.
Mengakui memilih sendiri barisan pelakon-pelakon yang terlibat dalam teater DBLK, Siti Rohayah percaya gandingan pelakon teater dan artis popular yang berpengalaman dapat memantapkan lagi persembahan tersebut.
"Mazlan Tahir, Shahrul Mizad dan Alina Hassan memang cukup terkenal dengan kemampuan mereka beraksi di pentas teater.
"Jadi, apabila barisan pelakon teater berpengalaman ini digandingkan dengan pelakon-pelakon popular tanah air, gabungan yang bakal ditampilkan pasti menjadi luar biasa," tambah Siti Rohayah.

ANTARA babak yang akan ditonjolkan dalam DBLK pada pementasan yang bakal bermula dari 9 hingga 18 Mei depan.


Melanjutkan perbualan mengenai penajaan bagi penganjuran teater ini, Siti Rohayah berkata, maklum balas yang diterima daripada syarikat-syarikat korporat tidak memberansangkan.
Katanya, buat masa ini, hanya dua syarikat sahaja yang tampil sebagai penaja rasmi pementasan iaitu Fareeda dan Felda Global Ventures Berhad (FGV). Manakala, akhbar Kosmo! dan Kumpulan Utusan bertindak sebagai media rasmi persembahan teater yang berbajet RM2.4 juta itu.
DBLK yang diadaptasi daripada novel Allahyarham Prof. Hamka dari Padang, Indonesia ini mengisahkan tentang kisah cinta yang tidak kesampaian antara Zainab dan Hamid.
Akibat tidak berterus-terang tentang perasaan mereka, Zainab dan Hamid terpisah sehingga tidak pernah berjumpa kembali sehingga kedua-duanya meninggal dunia.
Barisan pelakon teater ini kini giat menjalani latihan bagi memberi sebuah persembahan mantap saat ia dipentaskan kepada audiens pada bulan Mei nanti.
Tiket-tiket berharga RM35 hingga RM256 telah mula dijual dan penonton boleh mendapatkannya menerusi laman web www.airasiaredtix.com atau hubungi kaunter tiket Istana Budaya. Hubungi 03-8775 4666, 03-6186 6592 atau 012-297 7220 untuk keterangan lanjut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: