Thursday, April 24, 2014

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional


ISLAM itu indah malah tidak mengenal erti sempadan dalam menghubungkan umatnya di muka bumi ini.
Bahkan, Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dipilih sebagai destinasi sembilan belia Islam Antwerp, Belgium mengadakan lawatan muhibah ke Terengganu baru-baru ini.
Kunjungan mereka ke Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu itu terjalin hasil inisiatif Kelab Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama UMNO cawangan Kuala Terengganu dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).
Lebih membanggakan belia Islam Antwerp, Belgium merancang melaksanakan program pertukaran belia dengan komuniti kampung itu dalam masa terdekat bagi mengeratkan ukhwah kedua-dua negara.
Pertukaran belia
Penasihat Kelab Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan UNESCO UMT, Madzli Harun berkata, hasrat berkenaan telah dimaklumkan salah seorang wakil komuniti itu yang berpendapat inisiatif tersebut dapat meningkatkan integrasi dalam kalangan penduduk Islam Malaysia-Belgium.
“Dalam masa terdekat, mereka bercadang membawa seramai 30 orang lagi penduduk Islam Antwerp ke Terengganu dan berkunjung ke kampung tersebut sebelum program pertukaran belia dilaksanakan.
“Melalui program sebegini, penduduk Islam di Belgium dapat mengenali dan mengetahui keperluan budaya serta kaitannya dengan masyarakat Islam setempat,” katanya.
Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail.
Dalam lawatan muhibah itu, penduduk Islam Antwerp, Belgium yang pertama kali menjejak kaki di Terengganu dipersembahkan dengan demonstrasi silat.
Selain itu, mereka juga berkesempatan merasai juadah tradisional tempatan seperti nasi dagang, kuih tepung pelita, keropok lekor dan lain-lain lagi.

SEBAHAGIAN daripada kumpulan belia Islam Belgium bergambar bersama Mohd. Sabri (empat dari kanan) ketika melawat Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu baru-baru ini.


Penduduk kampung yang teruja dengan kedatangan belia Islam Belgium itu turut menampilkan pameran songket, wau dan batik dalam memperkenalkan budaya tradisional tempatan.
Terdapat kira-kira 450,000 masyarakat Islam di Belgium atau empat peratus daripada jumlah rakyatnya. Majoritinya berketurunan Turki dan Maghribi dengan sebahagian besarnya memegang kerakyatan Belgium.
Wakil Pertubuhan Islam Carpe Deen Antwerp, Walid Bouyouzan, 28, berkata, kunjungan komunitinya itu secara tidak langsung dapat memberi pemahaman berhubung ajaran Islam di Eropah dan di Malaysia.
“Malaysia merupakan negara Islam pertama yang dikunjungi dan kami amat berbesar hati dapat datang ke sini.
“Melalui usaha ini secara tidak langsung penduduk Islam yang merupakan kumpulan minoriti di Belgium dapat memahami, belajar dan mengetengahkan imej Islam,” katanya.
Saudara seagama
Walid yang merupakan seorang guru memberitahu, pihaknya akan mengunjungi Terengganu lagi pada masa hadapan dengan membawa lebih ramai masyarakat Islam Antwerp.
Katanya, dia ingin memberi pendedahan kepada masyarakat Islam Belgium mengenai Malaysia terutama budaya Islam.
Sementara itu, Mohd. Hanafiah, memberitahu, dia teruja dengan kedatangan saudara seagama dari Belgium ke kampung itu.
“Ini merupakan kali pertama masyarakat luar negara mengunjungi kampung kami.
“Ia merupakan satu penghormatan kepada penduduk kampung apatah lagi mereka semua ingin mendekati budaya Islam negara ini,” ujarnya.
Justeru, penduduk kampung amat mengalu-alukan kedatangan saudara-saudara kita masyarakat Islam Antwerp ke kampung berkenaan dalam masa terdekat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: