Friday, March 14, 2014

Syuhada teruja diberi kepercayaan


KANAN: Nurul Syuhada mengakui teruja apabila dilantik sebagai duta jenama tudung terkemuka buat kali pertama dalam hidupnya.


MULA mengenali jenama tudung Ariani sejak tahun awal kemunculannya, personaliti wanita popular tanah air, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zain, 30, tidak pernah menyangka akan terpilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta bagi jenama tudung premium itu.
Menurut Nurul Syuhada, sewaktu bergelar wartawan penyiaran dan pengacara rancangan Nona di TV3, dia telah ditugaskan untuk membuat liputan mengenai butik Ariani yang baru dibuka ketika itu untuk dimuatkan dalam segmen fesyen.
“Selain itu, ibu juga merupakan peminat setia jenama tersebut dan mempunyai banyak koleksi tudung Ariani. Justeru, saya sering menghadiahkan tudung-tudung Ariani kepada ibu sebagai penghargaan daripada seorang anak.
“Malah, sebelum berhijab dahulu, saya pernah meminjam tudung berkenaan daripada ibu untuk menghadiri majlis-majlis tertentu. Namun, siapa sangka, jodoh saya dan Ariani ditemukan sekali lagi apabila dilantik sebagai duta,” ujar Nurul Syuhada ketika ditemui Kosmo! sewaktu majlis pelancaran Previu Eksklusif dari Galeri Ariani yang berlangsung penuh meriah di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Nurul Syuhada, beliau rasa amat teruja dan gembira kerana diberi kepercayaan sebagai wajah baharu Ariani bagi menggantikan Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot yang akan berhijrah ke Australia.
Eksklusif
“Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai duta fesyen wanita bertudung. Maka, pastinya dengan legasi Ariani sebagai pelopor fesyen wanita bertudung di Malaysia, saya berharap saya dapat meneruskan kejayaan yang telah diperoleh.

BARISAN pelanggan setia Ariani yang memenangi cabutan bertuah melalui peraduan yang diadakan akhir tahun lalu.


“Saya yakin, dengan jaminan mutu fabrik yang berkualiti tinggi, rekaan yang sopan, anggun dan mudah digayakan, Ariani mampu untuk pergi lebih jauh.
“Walaupun pasaran tudung semakin berkembang, kelebihan Ariani dengan penghasilan secara eksklusif dengan jahitan manik dan sulaman sukar disangkal sekali gus memuaskan hati pelanggan,” ujar Nurul Syuhada, isteri kepada Raja Amir Shah Raja Azwa yang mula memakai hijab pada bulan Ramadan 2012.
Dilantik secara rasmi sebagai Duta Ariani pada 6 Mac lalu, Nurul Syuhada memberitahu, penyampaian dan gaya kreatif industri fesyen dalam menjual tudung sebenarnya satu perkara yang baik.
Tidak kiralah apa cara yang dilakukan, niat sebenar mereka adalah untuk menarik minat wanita berhijab.
“Jika ada wanita yang membuat keputusan untuk bertudung kerana fesyen itu menarik, maka ia satu perkembangan yang positif. Mungkin daripada mengikut-ikut, akhirnya seseorang wanita itu sudah pasti akan berubah sepenuhnya.
“Jika ini berlaku, secara tidak langsung industri fesyen juga telah melakukan kebaikan kerana berjaya menarik minat wanita yang tidak bertudung untuk menutup aurat seperti yang dituntut dalam Islam.
“Namun, bagi wanita yang sudah pun berhijab atau mahu berhijab, mereka perlu memakainya dengan niat untuk mengikut syariat Islam dan bukan sekadar mengikut aliran fesyen,” tegas Nurul Syuhada yang mula dikenali selepas menjuarai program Malaysian Top Host pada tahun 2005.
Peningkatan positif
Mengulas mengenai industri tudung dan busana Muslimah di Malaysia, wanita yang berlesung pipit ini mengakui, ia semakin menunjukkan peningkatan yang positif.
“Kita dapat lihat di pasaran, banyak menawarkan koleksi tudung dari pelbagai jenis, material, warna dan corak.
“Secara tidak langsung, ia membuktikan golongan wanita bertudung kini semakin bijak bergaya dan memiliki cita rasa fesyen yang baik tetapi pada masa yang sama mengekalkan imej Muslimah,” ungkap Nurul Syuhada yang akan berusaha merealisasikan visi dan misi Ariani sebagai pengeluar tudung berkualiti tinggi dan eksklusif sekali gus memberi inspirasi kepada wanita yang mementingkan penampilan.
Mula bertapak di Jalan Masjid India bermula April 2008, Ariani pada ketika itu hanya sebuah premis kecil. Tetapi, dalam tempoh enam tahun, populariti jenama itu semakin mendapat tempat di hati pelanggan terutama wanita.

PERTUNJUKAN fesyen yang menampilkan koleksi selendang eksklusif Siti Nurhaliza by Ariani yang mampu menarik perhatian ramai.


Setakat ini, Ariani sudah mempunyai 20 cawangan di seluruh Malaysia dan pihak pengurusan merancang untuk menambah beberapa cawangan baharu menjelang akhir tahun 2015 termasuk di luar negara iaitu Brunei.
Pengarah Eksekutif Ariani, Norhana Sharkhan berkata, melalui rangka promosi yang dijalankan, jenama ini sentiasa menjadi perhatian ramai.
“Pada awalnya, kami mencipta revolusi tersendiri apabila pelapik tudung keras tudung daripada fabrik lycra dan Thai silk yang dihasilkan menjadi item wajib bagi wanita berhijab. Sejak itu, Galeri Ariani terus berusaha untuk tampil dengan pelbagai fesyen tudung bagi memenuhi gaya dan permintaan pengguna.
“Malah, gabungan dua figura terkenal iaitu Nora’asikan Rahmat atau Ekin dan Wardina Safiyyah sebagai duta Ariani berjaya menarik minat pelanggan dengan ketrampilan wajah baharu mereka bersama koleksi tudung Ariani.
“Kini, tugas tersebut digalas pula oleh Nurul Syuhada yang dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk bentuk wajahnya yang sesuai menggayakan apa jua jenis tudung dan personaliti beliau sendiri,” tutur Norhana sambil memberitahu, Ariani sering menghadiri pameran tekstil antarabangsa seperti di Paris, Perancis dan Jerman dalam usaha meningkatkan kualiti produk dan pemilihan fabrik seiring dengan fesyen terkini.
Pada majlis itu turut diadakan acara penyampaian hadiah kepada 66 pemenang cabutan bertuah dalam peraduan yang diadakan sempena jualan murah akhir tahun pada 2013 sebagai penghargaan buat pelanggan Ariani.
Hiburkan hadirin
Kesemua pemenang tersebut menerima hadiah berupa karpet eksklusif Iran bernilai RM5,500, telefon bimbit iPhone 5s dan baucar membeli-belah RM1,000.
Salah seorang pemenang, Afiah Ahmad, 40, memberitahu, dia telah membelanjakan kira-kira RM2,000 di butik Ariani cawangan Shah Alam.
“Terima kasih kepada Ariani di atas peraduan yang dianjurkan ini. Saya pasti, ia akan menambahkan lagi kepercayaan pelanggan terhadap mereka,” katanya yang berasal dari Johor.
Selain pertunjukan fesyen koleksi tudung terbaharu Ariani, majlis minum petang itu juga, diserikan dengan kehadiran penyanyi No. 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang menyampaikan dua buah lagu bagi menghiburkan para hadirin.
Lelongan amal tudung Ariani juga diadakan untuk tiga koleksi karya agung yang berjaya mengutip dana berjumlah RM23,000 untuk diserahkan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: